Skip to main content

Gaya Hidup

Muzium al-Quran dibuka di Gunung Hira, Makkah, di mana wahyu pertama diturunkan

Timbalan Gabenor Makkah, Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz, baru-baru ini merasmikan Muzium Al-Quran di Daerah Kebudayaan Hira, Makkah.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium al-Quran dibuka di Gunung Hira, Makkah, di mana wahyu pertama diturunkan

Muzium al-Quran di Makkah menonjolkan peranan kitab suci tersebut sebagai sumber panduan utama bagi umat Islam. (Gambar hiasan: Pixabay/Essam5)

Diterbitkan : 06 Mar 2025 12:00AM Dikemas Kini : 06 Mar 2025 12:01AM
MAKKAH: Timbalan Gabenor Makkah, Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz, baru-baru ini merasmikan Muzium Al-Quran di Daerah Kebudayaan Hira, Makkah.

Dibangunkan di bawah pengawasan serta sokongan daripada Suruhanjaya Diraja untuk Kota Suci Makkah dan Tapak Suci, muzium tersebut menonjolkan Al-Quran sebagai sumber panduan utama bagi umat Islam dan direka untuk memperkayakan pengalaman keagamaan serta kebudayaan bagi penduduk tempatan dan pelawat.

Ia menempatkan manuskrip yang jarang-jarang dilihat, salinan bersejarah Al-Quran, dan pameran interaktif yang membolehkan pengunjung meneroka sejarah perjalanan penulisan serta pemeliharaan Al-Quran, menurut laporan Agensi Berita Saudi.

Dengan keluasan sekitar 67,000 meter persegi, Daerah Kebudayaan Hira menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin merasakan semangat serta mengetahui sejarah Makkah. Terletak di Gunung Hira, di mana wahyu pertama diturunkan, ia merangkumi pelbagai kemudahan yang direka untuk mempertingkatkan pengalaman keagamaan dan pendidikan, lapor Arab News.

Antaranya ialah Pameran Wahyu, yang menawarkan gambaran interaktif mengenai penurunan wahyu, serta satu lagi pameran yang membolehkan pengunjung mendaki ke Gua Hira, lokasi di mana wahyu diturunkan.

Antara artifak yang dipamerkan ialah salinan gambar manuskrip Al-Quran milik khalifah Uthman bin Affan dan beberapa inskripsi batu purba yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran.

Projek tersebut juga merangkumi Muzium Kopi Saudi, Perpustakaan Budaya, dan Taman Hira, lapor Arab News.

Muzium Al-Quran itu akan terus dibuka sepanjang bulan Ramadan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita