Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Muzium Aiskrim lebih sekadar gedung bergambar; ketahui perkara ini sebelum ke sana

Gedung serba merah jambu yang menduduki kawasan seluas 60,000 kaki persegi di Dempsey itu pastinya daya tarikan yang tepat jika anda mahu mengemas kini ruang Instagram anda dengan 'perisa' baru lagi segar.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium Aiskrim lebih sekadar gedung bergambar; ketahui perkara ini sebelum ke sana

Muzium Aiskrim di Dempsey dibuka pada 19 Ogos 2021 di Singapura. (Gambar: Kelvin Chia)

Diterbitkan : 23 Aug 2021 08:33PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 08:37PM

SINGAPURA: Anda mungkin sudah maklum bahawa Muzium Aiskrim - yang terkenal di seluruh dunia - akhirnya membuka pintunya di Singapura pada 19 Ogos lalu. Gedung serba merah jambu yang menduduki kawasan seluas 60,000 kaki persegi di Dempsey itu pastinya daya tarikan yang tepat jika anda mahu mengemas kini ruang Instagram anda dengan 'perisa' baru lagi segar.

'Museum of Ice Cream', atau singkatannya MOIC, berasal dari Amerika Syarikat. Daya tarikan yang amat dinanti-nantikan itu menyediakan 14 pemasangan imersif yang cukup menakjubkan.

Muzium Aiskrim di Dempsey dibuka pada 19 Ogos 2021 di Singapura. (Gambar: Kelvin Chia)

Dari 'terowong' menggunakan 10,000 pisang dan bilik yang dihiasi cermin merata hinggalah kolam dibanjiri taburan aiskrim - setiap sudut di muzium itu tidak akan membuat anda berhenti menangkap gambar.

Lebih dari sekadar menyediakan latar menarik untuk bergambar, muzium itu juga diterapkan dengan ciri-ciri menyeronokkan untuk seisi keluarga atau teman-teman. Misalnya, sebuah permainan istana melompat untuk membakar kalori.

Harga tiket bermula dari S$38 untuk dewasa. Sekalipun ia bukanlah daya tarikan yang paling murah di sini, tiket-tiket sudah laris dijual sejak pembukaannya diumumkan pada awal tahun ini.

Muzium Aiskrim di Dempsey dibuka pada 19 Ogos 2021 di Singapura. (Gambar: Kelvin Chia)

Namun, jika anda tidak pasti sama ada berbaloi untuk berbelanja bagi tiket ke MOIC, berikut kami bawakan jawapan bagi soalan-soalan yang ditanya mengenai pengalaman di muzium itu.

Perlukah anda divaksin sepenuhnya untuk mengunjungi MOIC?

Jawapan: Ya, untuk masuk, pemegang tiket perlu lengkap divaksin atau menunjukkan hasil negatif yang sah bagi ujian praacara COVID-19 yang diambil dari sebuah klinik. Ia mestilah diambil dalam tempoh 24 jam sebelum lawatan ke MOIC.

Kumpulan sehingga lima orang dibenarkan dan kanak-kanak tidak divaksin berusia 12 tahun dan ke bawah boleh menyertai kumpulan itu jika semuanya datang dari isi rumah yang sama.

Pemegang tiket yang belum divaksin sepenuhnya boleh membuat penjadualan semula kunjungan mereka ke suatu tarikh kemudian.

Muzium Aiskrim di Dempsey dibuka pada 19 Ogos 2021 di Singapura. (Gambar: Kelvin Chia)

Perlukah anda memakai pelitup ketika bergambar?

Jawapan: Pelitup hanya boleh ditanggalkan apabila anda sedang makan atau minum sepanjang anda berada di dalam premis. Pelitup juga boleh ditanggalkan semasa anda berada di salah satu daripada lima bilik 'Yum yum Zones' yang dikhususkan di mana aiskrim disediakan.

Cari tempat duduk yang dilabel 'Yum Yum Zone'.

Berapa banyak aiskrim yang boleh anda makan sebenarnya?

Jawapan: Seberapa banyak yang terdaya kerana tiada had dikenakan! Kos aiskrim sudahpun termasuk dalam harga tiket.

Terdapat perhentian di sepanjang laluan sehala di mana pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis aiskrim - ada yang menawarkan perisa tempatan. Perisa-perisa aiskrim akan ditukar pada setiap tiga bulan.

Adakah ia sesak? Adakah kapasiti pengunjung dikurangkan?

Jawapan: Berdasarkan laporan-laporan, buat masa ini, MOIC beroperasi pada kapasiti 25 peratus iaitu lebih rendah berbanding kapasiti 50 peratus yang dibenarkan untuk daya tarikan pada masa sekarang.

Bagaimana pula dengan prosedur pembasmian kuman?

Jawapan: Permukaan kerap dibersihkan dan disembur cecair pembasmi kuman.

Pekerja pembersihan di setiap ruang akan mengelap permukaan setiap dua jam. Cecair pembasmi kuman untuk tangan juga disediakan di kebanyakan sudut muzium itu untuk kegunaan tetamu.

Apa lagi yang patut saya tahu sebelum pergi ke sana?

Jawapan: MOIC sarat dengan pengalaman deria. Seperti yang dinyatakan di atas, ia lebih dari sekadar tempat bergambar. Sebagai contoh, telefon di ruang 'Scream’s Diner' bukan perhiasan gambar semata-mata - cuba anda angkat dan dengar.

Muzium Aiskrim di Dempsey dibuka pada 19 Ogos 2021 di Singapura. (Gambar: Kelvin Chia)

Pendek kata, apa yang anda lihat di sana mungkin berfungsi sepenuhnya seperti buai buah-buahan di 'Playscape'.

Sementara itu, di satu lagi ruang yang diilhamkan oleh taman permainan lama, anda boleh melompat tingting atau bermain gelang hula hoop.

'Museum of Ice Cream' terletak di 100 Loewen Road. Dibuka dari Khamis hingga Ahad, 10.00pagi hingga 11.00 malam (ditutup Isnin-Rabu). Tiket berharga dari S$38. Lebih banyak info boleh didapati di sini

Sumber : Today/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa