Skip to main content

Gaya Hidup

Mulakan tahun 2026 dengan gaya hidup sihat

Setiap kali tibanya tahun baharu, ramai antara kita yang menanam tekad untuk memperbaiki diri, tidak kiralah sama ada dari segi kerjaya, kewangan, hubungan, kesihatan, atau sekadar cara menjalani hari-hari dengan lebih bermakna. Dan, antara azam yang sering menjadi pilihan ramai adalah usaha untuk menurunkan berat badan dengan harapan untuk memperolehi bentuk tubuh yang lebih ideal.
Anggaran Waktu Membaca:
Mulakan tahun 2026 dengan gaya hidup sihat
Rahsia berat badan ideal terletak pada tabiat harian kita. (Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Setiap kali tibanya tahun baharu, ramai antara kita yang menanam tekad untuk memperbaiki diri, tidak kiralah sama ada dari segi kerjaya, kewangan, hubungan, kesihatan, atau sekadar cara menjalani hari-hari dengan lebih bermakna. Dan, antara azam yang sering menjadi pilihan ramai adalah usaha untuk menurunkan berat badan dengan harapan untuk memperolehi bentuk tubuh yang lebih ideal.

Namun, walaupun niat itu kedengaran mudah, proses menurunkan berat badan memerlukan disiplin yang tinggi, perubahan rutin serta kesediaan untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan mampan. Ia bukan perubahan sehari dua, tetapi usaha berterusan yang bermula dengan langkah kecil.

Tanpa disedari, perubahan kecil dalam kehidupan harian sebenarnya memainkan peranan besar dalam membantu seseorang mencapai berat badan ideal. Lebih menarik, perubahan itu tidak perlu drastik atau memerlukan perbelanjaan besar.

Antaranya, kita boleh memilih barang ketika membeli-belah dan lebih peka apabila menikmati sajian di luar seperti di restoran. Tanpa kita sedari, elemen seperti saiz pinggan, susun atur makanan dan sebagainya turut memberi pengaruh yang besar terhadap tabiat pemakanan seharian.
Related article image
Tabiat yang sihat boleh dimulakan dengan langkah mudah seperti menyusun semula barangan yang ada di dalam dapur. (Gambar: Unsplash)
Ia boleh dimulakan melalui langkah mudah seperti menyusun semula benda-benda yang ada di dalam dapur. Untuk memulakan gaya hidup sihat, lihat dulu keadaan dapur anda. Tabiat makan seseorang banyak dipengaruhi oleh apa yang berada di depan mata.

Contohnya, meletakkan makanan sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di bahagian yang paling mudah dilihat dan dicapai dalam peti sejuk ternyata dapat menggalakkan anda memilihnya sebagai snek atau hidangan sampingan. Amalan yang nampak ringkas ini sebenarnya mampu memberikan kesan besar kepada kesihatan dalam jangka panjang.

Sementara itu, jika ada makanan yang kurang sihat seperti manisan, coklat, makanan segera atau snek tinggi garam sebaiknya ia disimpan di bahagian yang tertutup atau tidak begitu menonjol. Pada masa yang sama, cuba elak meletakkan makanan seperti roti berkrim, biskut atau keropok di atas meja dapur. Sebaliknya, gantikan dengan semangkuk buah menghiasi permukaan tersebut. Kehadirannya pasti dapat mendorong anda membuat pilihan yang lebih sihat setiap kali ke dapur bila terasa lapar.
Related article image
Mulakan tabiat pemakanan yang lebih baik dengan menyimpan makanan yang kurang sihat di bahagian yang tertutup atau tidak begitu menonjol. (Gambar: Pexels)
CORAK PINGGAN & SUDUT MAKAN

Menurut kajian, pemilihan saiz pinggan turut memberi kesan ketara terhadap jumlah makanan yang diambil. Pinggan besar menjadikan sukatan kecil kelihatan tidak mencukupi dan tanpa disedari ia akan mendorong anda untuk menambah makanan. Ini merupakan ilusi optik yang kerap mempengaruhi tabiat makan harian.

Pada masa yang sama, warna pinggan juga memainkan peranan penting. Individu akan lebih cenderung mengambil lebih banyak makanan apabila warna pinggan hampir sama dengan warna hidangan.

Namun, kesan ini akan berubah jika warna alas meja pula sepadan dengan warna pinggan.
Related article image
Pemilihan saiz dan warna pinggan boleh memberi kesan terhadap jumlah makanan yang diambil. (Gambar: Pexels)
Jumlah makanan yang diambil biasanya akan menjadi lebih sedikit. Meskipun kelihatan remeh, elemen visual seperti ini ternyata mampu mempengaruhi selera sekali gus membantu mengawal pengambilan kalori.

Jika berada di rumah pula, cuba elak makan sambil menonton TV, bermain telefon atau duduk di depan komputer. Dengan menumpukan perhatian ketika makan, anda akan lebih mudah menghayati rasa dan tekstur makanan. Malah, ia turut membantu mengawal kuantiti yang diambil, selain memberikan kepuasan yang lebih tinggi selepas makan.

PILIHAN BIJAK

Setiap kali apabila merancang untuk ke pasar raya, biasakan diri menyediakan senarai barang terlebih dahulu. Langkah mudah ini bukan sahaja membantu mempercepatkan proses membeli-belah, malah mengurangkan kecenderungan untuk membeli barangan yang tidak diperlukan akibat tidak berfikir panjang.
Related article image
Senarai barangan boleh mempercepatkan proses membeli-belah dan mengurangkan kecenderungan untuk membeli barangan yang tidak diperlukan. (Gambar: Pexels)
Semasa memilih bahan makanan, utamakan pilihan segar dan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan serta daging tanpa lemak. Memenuhi troli dengan pilihan sihat akan memudahkan anda menyediakan hidangan seimbang di rumah dan secara tidak langsung mengelakkan pembelian makanan yang kurang sesuai untuk kesihatan.

Pada masa yang sama, jangan mudah terpedaya dengan tawaran diskaun yang kelihatan terlalu berbaloi. Sebagai contoh, membeli snek dalam jumlah besar mungkin nampak menjimatkan, namun kajian menunjukkan bahawa individu cenderung menghabiskan makanan tersebut dalam tempoh yang lebih singkat daripada kebiasaan. Akibatnya, jumlah kalori yang diambil meningkat tanpa disedari.
Related article image
Buah-buahan boleh dijadikan sebagai pilihan untuk menggantikan snek yang tidak sihat. (Gambar: Unsplash)

Sebagai alternatif yang lebih baik, gantikan tabiat mengambil snek tidak sihat dengan buah-buahan. Menjadikan buah sebagai pilihan utama, terutamanya pada waktu pagi. Ia dapat membantu seseorang membuat pilihan makanan yang lebih sihat sepanjang hari. Buah-buahan bukan sahaja mudah diambil sebagai snek, malah membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama.

GAYA HIDUP SIHAT SEHARIAN

Pemakanan sihat sahaja tidak memadai tanpa aktiviti fizikal. Anda tidak perlu melakukan senaman berat, dengan berjalan kaki selama 30 minit setiap hari sudah cukup membantu meningkatkan metabolisme, memperbaiki peredaran darah dan menyokong kesihatan jantung. Yang penting ialah melakukannya secara konsisten.

Menghadkan pengambilan makanan kurang sihat kepada sekali atau dua kali seminggu turut membantu melatih disiplin diri. Pola pemakanan yang teratur membolehkan tubuh mengawal selera dengan lebih baik selain mengurangkan kecenderungan untuk makan berlebihan.

Berikut lima cadangan untuk menyokong gaya hidup sihat anda:
 

  • Cuba kerap masak di rumah, supaya anda dapat mengawal penggunaan minyak, gula dan garam.
Related article image
Dengan memasak di rumah, seseorang dapat mengawal penggunaan minyak, gula dan juga garam yang diambil. (Gambar: Unsplash)
  • Dapatkan tidur berkualiti kerana kurang tidur meningkatkan hormon yang merangsang selera.
  • Minum air mencukupi kerana rasa lapar kadangkala hanya petanda tubuh memerlukan hidrasi.
  • Catatkan diet seharian anda agar mudah untuk memantau tabiat pemakanan dan mengenal pasti punca makan berlebihan.
  • Tetapkan sasaran yang realistik, bermula dengan perubahan kecil yang mudah dikekalkan dalam jangka panjang.
Secara ringkas, azam untuk mengamalkan gaya hidup sihat tidak sewajarnya terhenti selepas minggu-minggu pertama tahun baharu. Dengan sedikit penyesuaian dalam persekitaran, pilihan makanan yang lebih bijak dan disiplin diri yang berterusan pasti dapat dicapai secara beransur-ansur hingga berkekalan.
Perjalanan menuju kesihatan yang lebih baik bukanlah perlumbaan, sebaliknya komitmen jangka panjang yang memerlukan usaha konsisten setiap hari. Jika dimulakan dengan langkah kecil tetapi berterusan, melangkah ke tahun baharu pasti dapat menjadi permulaan terbaik untuk kehidupan yang lebih sihat, bertenaga dan seimbang.

Apa pun, semoga tahun baharu 2026 ini membawa lebih banyak tenaga, kesihatan dan kesejahteraan dalam kehidupan anda sekeluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita