M'sia diramal diliputi salji ... tapi sejuta tahun lagi
KUALA LUMPUR: Beberapa tahun lalu, baju sejuk yang laris dijual pernah menjadi tajuk tumpuan yang menghiasi dada akhbar di Malaysia.
Ini selepas cuaca sejuk melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Mana tidaknya, cuaca sebegitu umpama membawa tuah kepada seorang penjual di Kelantan apabila hasil jualan baju sejuk dan selimut berharga serendah RM5 (S$ 1.63) laku seperti pisang goreng panas sehingga pendapatannya mencecah RM1,000 (S$326) sehari.
Cuaca sejuk susulan yang berlaku pada 2018 bukan hanya di Kelantan, malah membabitkan semua negeri dengan Kuala Pilah, Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah.
Berdasarkan laporan BH Online, bertarikh 11 Februari 2018 yang memetik Jabatan Meteorologi Kelantan, suhu sejuk pada ketika itu turut berlaku di beberapa lokasi lain seperti di Kerteh, Terengganu yang merekodkan penurunan suhu minimum harian.
Ketika itu, suhu terendah adalah 18.4 darjah Selsius bermula jam 6.00 hingga 8.00 pagi. Kuala Krai, Kelantan pernah mencatatkan suhu paling rendah iaitu 15.7 darjah Celsius pada 2014.
Keadaan itu berlaku menyusuli cuaca sejuk dan kabus tebal yang disebabkan oleh tiupan angin sejuk dari Tanah Besar China dalam fasa monsun timur laut.
Salji di Gunung Kinabalu?
Baru-baru ini pula tular di media sosial rakaman video dan gambar ketulan putih dipercayai salji jatuh dari langit di kawasan Sayat-Sayat, dekat puncak Gunung Kinabalu, Sabah, seperti dinukil BH Online.
'Salji' yang turun di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu berlaku pada jam 6.20 pagi, 28 Februari lalu dalam tempoh kira-kira dua minit, selepas kejadian serupa pernah berlaku pada 1994.
Walaupun begitu, ia dianggap fenomena luar biasa membuatkan malim gunung dan pendaki berada di puncak gunung amat teruja.
Malah, ada segelintir individu 'nakal' pula menyifatkan terjadinya cuaca sejuk dan salji di Malaysia yang sinonim dengan cuaca panas dan lembap adalah petanda dunia sedang menghampiri kiamat.
Bukan negara ini sahaja yang terkena tempiasnya, malah salji tebal juga melanda wilayah utara Arab Saudi yang turut digelar fenomena petanda 'akhir zaman'.
Kejadian di Gunung Kinabalu hanya hujan ais
Mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) kejadian 'salji' itu bukan perkara mustahil di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Ia boleh berlaku apabila suhu udara mencecah sifar darjah Selsius, selain terdapat kelembapan yang mencukupi, lapor BH Online.
Bagaimanapun, mengulas mengenainya, Ahli Klimatologi, Prof Madya Dr Ramzah Dambul, berkata kejadian di puncak Gunung Kinabalu itu bukan dikategorikan sebagai salji, sebaliknya adalah fenomena hujan ais atau hujan batu kerana ia jatuh dengan laju.
Jelas beliau, 'kriteria' salji adalah apabila ia turun kelihatan terayun-ayun seperti daun yang jatuh dari dahan, bukannya macam seketul batu yang jatuh.
Kata beliau, perlu dibezakan antara salji (snow), hujan ais (sleet) dan hujan batu (frozen rain).
Salji juga hanya berlaku jika seluruh atmosfera secara vertikal dan sejuk di bawah paras beku, bermula daripada gumpalan awan tempat terbentuknya salji di langit sehingga permukaan tanah tempat ia jatuh.
Situasi yang ideal begini, agak sukar untuk dicapai di kawasan garis lintang rendah, iaitu wilayah tropika dan khatulistiwa.
Salji sebenar sangat halus dan cantik
"Tular mengenai salji turun, walhal itu kelihatan seperti fenomena hujan batu. Salji kalau jatuh, ia seperti kepingan ais sangat nipis dan ringan serta jatuh terayun-ayun macam daun. Bukan seperti ketulan pejal.
"Salji sangat halus dan cantik. Tetapi yang berlaku di situ nampak macam hujan ais atau hujan batu.
"Kejadian di Gunung Kinabalu itu adalah fenomena biasa. Bukan di situ saja, malah juga di Semenanjung. Langit memang sejuk walaupun kita berada di tempat panas," kata beliau.
Bagaimana keadaan itu terbentuk? Menurut Ramzah, di puncak gunung keadaan jadi sejuk beku.
"Kalau pada masa itu gerimis, air boleh menjadi beku dan bila ia turun nampak seolah-olah ilusi salji tetapi ia hujan yang beku," katanya.
Salji empat musim?
Namun, dengan pelbagai bencana alam melanda negara seperti air panas besar, banjir besar di Lembah Klang sehingga mencatat peristiwa bersejarah, kejadian puting beliung, tanah runtuh, pembalakan haram dan pelbagai lagi kejadian alam yang tidak dijangka tidak mustahil salji seperti di negara empat musim akan turun di Malaysia.
Mengulas mengenainya, Ramzah, berkata dari sudut pandangan seorang saintis, pihaknya tidak menolak sebarang kebarangkalian keadaan itu mungkin akan berlaku nanti.
Namun, beliau berpandangan, kebarangkalian salji berlaku di Malaysia adalah tipis kerana menurut ramalan, perubahan iklim global diramalkan akan 'mengheret' cuaca negara ke arah lebih ekstrem membabitkan musim panas dan hujan melampau sehingga berisiko mengakibatkan musibah lebih buruk.
"Dari segi sains klimatologi, tidak mungkin akan berlaku salji di Malaysia. Melainkan jika berlaku anjakan paksi bumi dan kutub dengan Khatulistiwa terjungkit ke bawah.
"Tetapi kejadian ini sangat tidak mungkin berlaku dalam tempoh 500 hingga 1,000 tahun akan datang. Melangkaui tempoh itu, mungkin ada kebarangkaliannya.
"Andaian Malaysia diliputi salji, memang mustahil melainkan negara ini berada di kawasan garis lintang tinggi yang memungkinkan angin sejuk sampai secara konsisten.
"Atau sekiranya plat tektonik bumi bergerak, tetapi pergerakan itu mungkin berlaku lebih sejuta tahun lagi", katanya.
Fenomena salji di Arab Saudi
Beliau turut menyentuh fenomena salji di Arab Saudi yang sinonim dengan suhu panas dan kawasan gurun.
Jelas beliau, terdapat kawasan di Arab Saudi yang sememangnya sejuk dan salji turun di lokasi itu dan bukannya di seluruh tempat ataupun padang pasir negara terbabit.
Katanya lagi, kawasan bersalji itu terletak di kawasan hemisfera utara dalam kawasan garis lintang tinggi.
"Kawasan itu bukan tidak pernah bersalji tetapi mungkin ia turun tidak kerap. Walaupun kejadian itu jarang-jarang berlaku tetapi tempat itu ada kemungkinan.
"Mengikut logik dari segi klimatologi pula kawasan itu masih dalam garis lintang tinggi. Seperti Jeddah, Arab Saudi, tiba-tiba ada salji.
"Kalau Malaysia, kedudukan negara ini berhampiran garis khatulistiwa, bukan di wilayah garis lintang tinggi. Jadi memang mustahil berlaku salji," katanya.
Cuaca sejuk dipengaruhi tiupan angin
Mengenai cuaca sejuk melanda Malaysia, Ramzah menjelaskan suhu dipengaruhi tiupan angin dan pergerakan udara akan mempengaruhi cuaca di sesuatu tempat.
Mungkin kadang-kadang berlaku suhu sejuk disebabkan gerakan angin dari hemisfera terutama dari Kutub Utara yang sejuk melampau turun ke bahagian bawah.
Kadang-kadang suhu sejuk disebabkan apabila udara di situ mengalami tekanan rendah sehingga berlaku perubahan suhu.
"Setakat yang saya tahu, perubahan itu macam 'one off' dan bukannya tiba-tiba ia kekal lama atau tahun depan akan berlaku situasi sama," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.