Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

MIS-C berkait jangkitan COVID-19 kanak-kanak: Sejauh manakah ibu bapa harus bimbang?

5 kanak-kanak dikesan alami Sindrom Radang Pelbagai Sistem dikaitkan dengan COVID-19. Apa yang perlu ibu bapa tahu tentang MIS-C, dan langkah-langkah yang boleh diambil?

Anggaran Waktu Membaca:
MIS-C berkait jangkitan COVID-19 kanak-kanak: Sejauh manakah ibu bapa harus bimbang?

Kanak-kanak berlari ke sebuah taman permainan. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 12 Nov 2021 10:27PM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 10:42PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesan lima kes kanak-kanak di sini mengalami sindrom radang pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MIS-C) yang "jarang berlaku" dan dikaitkan dengan COVID-19 setakat Isnin (8 Nov).

Kes itu berlaku dalam kalangan lebih 8,000 pesakit COVID-19 kanak-kanak di Singapura sejak bermulanya pandemik, menurut MOH. Empat daripada kes itu adalah dalam lingkungan usia dua bulan hingga lapan tahun.

Semasa sidang media pada Isnin, Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary berkata terdapat kes kelima, tanpa memberikan butiran lanjut.

Sambil menekankan bahawa penyakit itu jarang berlaku, Dr Puthucheary menjelaskan ciri-ciri MIS-C.

Beliau berkata: "Keadaan ini,menjejas organ tubuh yang berbeza dan menyebabkan keradangan termasuk pada jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, mata," katanya.

Menurut MOH tanda-tanda MIS-C tampak serupa dengan Penyakit Kawasaki, yang dikaitkan dengan pelbagai jangkitan virus atau bakteria, dan berlaku dalam 150 hingga 200 kanak-kanak di Singapura, setiap tahun.

Gejala MIS-C termasuk demam panas berterusan melebihi 38.5 darjah Selsius selama tiga hari atau lebih, sukar bernafas, sakit kepala, bengkak di leher, ruam, tangan dan kaki bengkak, konjunktivitis (radang bahagian mata), cirit-birit atau sakit perut.

Mediacorp bertemu dengan beberapa pakar pediatrik untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyakit itu dan sejauh manakah ibu bapa perlu bimbang.

SIAPA LEBIH TERDEDAH KEPADA MIS-C DAN BILA?

MIS-C ialah sindrom hiper-radang yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dua hingga lapan minggu selepas dijangkiti COVID-19, menyebabkan demam, keradangan dan melibatkan pelbagai organ, kata Dr Chan Si Min dari Institut Perubatan Kanak-Kanak Khoo Teck Puat – Universiti Nasional di Hospital Universiti Nasional.

Singapura mungkin akan terus melihat kes MIS-C sedang penularan dan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat berterusan, kata Dr Chan, ketua dan perunding kanan dari Bahagian Penyakit Berjangkit Pediatrik di institut itu. Memandangkan kanak-kanak kecil pada masa ini tidak diberi vaksin, mereka terus terdedah kepada risiko jangkitan, tambahnya.

Faktor risiko utama MIS-C ialah umur dan kemungkinan sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh dua hingga 10 minggu sebelumnya, kata Dr Alison Joanne Lee, pakar pediatrik dengan SBCC.

Meskipun kanak-kanak berumur antara tujuh dengan 10 tahun menghadapi risiko paling tinggi, lingkungan umur terjejas MIS-C adalah dari tiga bulan hingga 20 tahun, tambah Dr Lee, yang mempunyai minat khusus dalam imunologi dan alahan.

Sesetengah doktor juga menarik perhatian kepada obesiti.

"Belum ada faktor risiko khusus yang dikenal pasti setakat ini, tetapi pesakit lelaki dan obesiti boleh meningkatkan risiko," kata Profesor Madya Thaschawee Arkachaisri dari Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK.

Dr Lim Yang Chern, pakar perunding pediatrik di Pusat Pediatrik Thomson berkata walaupun tiada cara khusus untuk meramalkan kanak-kanak mana yang akan mengalami MIS-C, “semua kanak-kanak di Singapura mempunyai akses awal kepada penjagaan yang baik dan intervensi terbaik setanding dengan pusat terbaik merata dunia".

ADAKAH IBU BAPA PERLU BIMBANG?

Dr Chan berkata memandangkan penyakit itu jarang berlaku, ibu bapa tidak seharusnya "terlalu bimbang".

Bagaimanapun, mereka harus tahu ciri-ciri MIS-C dan mendapatkan rawatan perubatan awal, katanya.

Prof Madya Arkachaisri juga berkata walaupun masih banyak tentang penyakit itu yang belum diketahui, ibu bapa tidak harus "terlalu bimbang" kerana sindrom ini boleh dirawat jika ia dikesan awal.

"Kebanyakan pesakit boleh pulih sepenuhnya dan menjalani kehidupan seperti biasa, seperti kes yang telah dirawat oleh pasukan penjagaan kami setakat ini," kata ketua merangkap perunding kanan perkhidmatan reumatologi dan imunologi di Jabatan Sub-Kepakaran Pediatrik.

Kanak-kanak yang terjejas perlu dirawat di hospital spesialis kanak-kanak, kerana sesetengahnya mungkin memerlukan jagaan rapi untuk pemantauan dan rawatan yang lebih rapi, tambahnya.

"Ibu bapa harus perkasakan diri mereka dengan mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai dan bersedia untuk mendapat nasihat doktor yang dipercayai jika terdapat sebarang kebimbangan," katanya.

APA TANDA-TANDA YANG HARUS IBU BAPA PANTAU?

Demam panas serta dengan gejala perut seperti sakit, muntah atau cirit-birit adalah yang paling lazim berkait MIS-C, kata Dr Mohana Rajakulendran, pakar pediatrik di Hospital Parkway East.

Beliau menambah gejala pernafasan "kurang kerap berlaku".

“Sebarang bentuk ruam biasanya timbul dan tanda-tanda lain termasuk kemerahan pada mata, bibir atau lidah. Mungkin juga ada bengkak di bahagian leher atau pada tangan dan kaki,” katanya.

Seorang bapa bermain dengan anak-anaknya di taman permainan. (Gambar: Hanidah Amin)

(Gambar hiasan: Hanidah Amin)

Ibu bapa juga harus pantau jika anak mereka rasa lesu, pening, pengsan, pucat, sukar bernafas dan kurang buang air kecil, tambahnya. Gejala-gejala ini mungkin berlaku beberapa minggu selepas jangkitan COVID-19, katanya. Jika ada gejala sedemikian, kanak-kanak itu harus segera dibawa ke jabatan kecemasan.

Dr Lee dari SBCC berkata ibu bapa harus waspada terhadap demam panas yang mencecah 38 darjah Selsius dan ke atas yang berlarutan sekurang-kurangnya tiga hari.

Disebabkan demam panas biasa berlaku pada kanak-kanak, jadi kewaspadaan terhadap MIS-C adalah lebih tinggi jika kanak-kanak itu telah dijangkiti COVID atau ada kontak dengan pesakit COVID dua hingga 10 minggu sebelum mula demam, tambah Dr Lee.

APA HARUS IBU BAPA LAKUKAN?

Dr Lee akui bahawa MIS-C bukanlah diagnosis yang mudah dikenal pasti sekali pun oleh karyawan perubatan.

Terdapat banyak jangkitan yang menyebabkan simptom yang sama, terutamanya demam, muntah atau cirit-birit, katanya.

“Jika anda bimbang tentang MIS-C, dapatkan rawatan perubatan. Jika anak anda pernah dianggap sihat sebelum ini, tetapi simptom bertambah, berterusan atau keadaan anak anda semakin teruk – dapatkan rawatan perubatan sekali lagi,” nasihatnya.

"Jika anak anda merasa mabuk atau pening, kelihatan pucat atau bibir atau jarinya birat atau biru, mengantuk, tidak buang air kecil dengan lawas atau mengalami sakit perut yang teruk, anda harus terus dapatkan rawatan kecemasan."

Prof Madya Arkachaisri berkata memandangkan mekanisme tentang bagaimana COVID-19 mencetuskan MIS-C masih sedang dikaji, mencegah jangkitan virus COVID-19 adalah strategi terbaik untuk mencegah MIS-C.

Ini termasuk langkah-langkah seperti mencuci tangan dengan sabun dan air, mengurangkan kegiatan sosial, mengelakkan sentuhan dengan orang yang sakit, amalkan jarak selamat, memakai pelitup dan kerap membersihkan permukaan dan kawasan yang kerap disentuh, katanya.

“Kanak-kanak juga digalakkan mengambil vaksin COVID-19 apabila ia ditawarkan kepada mereka,” katanya.

Dr Lim berkata bahawa kunci untuk memastikan kanak-kanak dengan MIS-C dirawat pada masa ini ialah pengesanan awal, akses awal kepada penjagaan lanjutan dan pengurusan sokongan yang baik.

Beliau menambah bahawa garis panduan antarabangsa mengesyorkan untuk memantau anak mereka selama empat hingga enam minggu pertama selepas mereka pulih daripada COVID-19.

"Memandangkan masa pemulihan kadang-kadang agak sukar untuk ditentukan lebih baik sebagai panduan umum, untuk memantau sebarang tanda MIS-C pada kanak-kanak dalam tempoh lapan minggu pertama dari masa diagnosis (COVID-19)", katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan