Minuman campuran kurma merah, longan & buah goji boleh bantu tangani musim panas ini

(Gambar: Dr Rizal Abu Bakar/Facebook)
KUALA LUMPUR: Musim panas ini, sudah tentu kita akan mencari alternatif bagi mengurangkan bahang yang berlaku di sekeliling kita.
Cuaca yang terlampau panas boleh mengganggu sistem tubuh disebabkan oleh dua sumber, iaitu haba daripada persekitaran dan juga proses metabolik tubuh individu, menurut rencana portal Keluarga.
Cuaca yang terlalu panas ini juga boleh menyebabkan kita mengalami beberapa penyakit.
Sebagaimana perkongsian pakar otak Dr Rizal Abu Bakar, resipi minuman ini boleh bantu menyejukkan anda dan membantu merangsang tenaga, fokus dan perasaan tenang, meskipun dilanda cuaca yang amat panas sekali, sehingga 34 darjah Selsius baru-baru ini.
LANGKAH-LANGKAH BANCUH MINUMAN INI
1. Basuh buah goji, kurma merah dan longan.
2. Rendam kurma merah sekitar 15 minit agar ia lembut sedikit.
3. Masukkan air lebih kurang satu liter, atau satu liter setengah.
4. Masukkan semua bahan yang dibasuh, kecuali gula kelapa. (Segenggam buah goji, longan sekitar 30 biji, kurma merah sekitar 20 biji, ikut cita rasa anda)
5. Rebus sampai mendidih.
6. Masukkan gula kelapa secukup rasa.
7. Boleh masukkan daun pandan jika anda mahu.
KHASIAT MINUMAN INI
Kurma merah ini memang terkenal dalam kalangan orang Cina, menurut rencana Keluarga.
Namun, ia kurang terkenal antara kalangan orang Melayu.
Kurma merah ini mengandungi tiga antioksida hebat.
Yang pertama, flavonoid yang bantu menghilangkan inflamasi dan dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis, Alzheimer dan barah.
Kedua, karetenoid yang penting untuk kesihatan jantung dan juga dapat ,menjauhkan risiko penyakit mata.
Akhir sekali, ia juga mengandungi asid fenolik yang boleh mengurangkan risiko dijangkiti penyakit barah dan jantung.
Kurma merah ini juga baik bagi otak anda kerana dapat mempertingkatkan daya ingatan dan membantu pembelajaran. Ia juga dapat mengurangkan perasaan resah.
Selain itu, ia dapat menghilangkan plak dalam otak yang lazimnya menyebabkan penyakit Alzheimer.
Macam mana pula dengan buah goji?
Buah goji ini dapat meningkatkan sistem imun dan melindungi daripada penyakit demam selesema.
Ia juga dapat membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan jumlah testosteron dalam badan kaum lelaki.
Paling penting sekali, ia memberi anda tenaga dan membuat anda tidur lebih nyenyak. Anda juga akan rasa lebih tenang dan dapat memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang harus dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.