Skip to main content

Gaya Hidup

Minuman bergas dengan pemanis tiruan boleh jadi racun jika diminum berlebihan

Anggaran Waktu Membaca:
Minuman bergas dengan pemanis tiruan boleh jadi racun jika diminum berlebihan

(Gambar: Joe Hepburn/Unsplash)

Diterbitkan : 11 Feb 2022 11:20PM Dikemas Kini : 11 Feb 2022 11:21PM

MALAYSIA: Semakin banyak lambakan minuman berkarbonat perasa tiruan dalam pasaran yang didatangkan melalui pelbagai jenama, warna dan pembungkusan menarik.

Lebih-lebih lagi pengiklanan menggunakan selebriti bagi mempromosikan minuman itu, ia sememangnya satu strategi berkesan bagi menarik minat pembeli, lapor Harian Metro.

Ditambah pula, sebahagian minuman itu juga dinyatakan tiada kalori, membuatkan pengguna mempercayainya ia adalah minuman sihat.

Dalam kalangan mereka yang tidak gemar minum air kosong, minuman berkarbonat menjadi pilihan bagi menghilangkan dahaga.

Timbalan Presiden Persatuan Toksikologi Malaysia Prof Madya Dr Razinah Sharif merungkai persoalan sama ada minuman berkarbonat pemanis tiruan sihat dan selamat walaupun tiada kalori.

Rakyat Malaysia cenderung menjadikan ia sebagai alternatif kerana ingin menjaga gula dalam badan, kata Dr Razinah, seperti dinukil Harian Metro.

TIDAK SALAH SEKALI MINUM SEKALI-SEKALA

"Tidak ada salahnya jika mengambil minuman ini sekali-sekala dan elakkan mengambilnya setiap hari.

"Ada pesakit yang saya temui mengakui mengambil minuman pemanis tiruan ini setiap hari kerana tidak boleh atau tidak gemar minum air kosong," katanya.

Dr Razinah berkata, ramai tidak mengetahui kandungan sebenar dalam minuman berkarbonat dengan pemanis tiruan ini.

"Lazimnya, minuman berkarbonat ini tidak menggunakan pemanis stevia, tetapi lebih banyak menggunakan pemanis daripada 'aspartame' atau 'acesulfame K' (Ace-K).

"Selain itu, minuman ini juga biasanya mengandungi asid (asid malik/citrus/phosphoric) yang ada kaitan dengan hakisan gigi, air berkarbonat, pewarna dan perisa yang dibenarkan serta kafein," katanya.

DOS BERLEBIHAN JADI RACUN 

Jelasnya, minuman ini menjadi tidak selamat jika diminum secara kerap.

Mengikut konsep toksikologi, pengambilan minuman ini dalam dos berlebihan akan menjadi racun.

"Walaupun acesulfame K yang biasa digunakan sebagai pemanis tiruan ini dirumuskan sebagai selamat berdasarkan kajian literatur, terdapat kajian yang mengaitkan kesan pengambilan minuman berkarbonat bersama pemanis acesulfame K dengan kesihatan.

"Dalam kajian menggunakan model haiwan dan sel, acesulfame K ini sebenarnya ada menunjukkan peningkatan risiko barah serta kesan genotoksisiti.

"Tetapi kajian sebegini kurang dilakukan kepada manusia, mungkin kerana dos 'ace-K' yang digunakan terhadap haiwan dan sel adalah tinggi," katanya.

RISIKO SAKIT JANTUNG

Menurut rencana Harian Metro ini lagi, Dr Razinah berkata terdapat pelbagai kajian terkini berkenaan pengambilan minuman berkarbonat dengan pemanis tiruan yang mengaitkan ia dengan peningkatan risiko penyakit jantung.

"Walaupun tanpa sebarang kalori, pengambilan minuman ini dilihat dapat mengubah sistem metabolik tubuh dengan cara lain tanpa membabitkan aruhan gula.

"Selain itu, terdapat juga kajian yang melihat pengambilan minuman berkarbonat dengan pemanis tiruan ini dengan masalah nyanyuk dan angin ahmar.

"Penyelidik mendapati terdapat hubungan yang signifikan di antara kedua-dua faktor berkenaan," katanya.

Katanya, antara kajian yang dilakukan berkaitan pengambilan minuman berkarbonat dengan pemanis tiruan dan peningkatan risikonya terhadap penyakit ialah hakisan gigi, barah, penyakit jantung, kematian, kencing manis, perubahan gut mikrobiota, berat badan dan osteoporosis (tulang), lapor Harian Metro.

"Boleh jika sekali-sekala mahu menjadikan minuman ini sebagai alternatif.

"Tetapi sekiranya mencari alternatif minuman yang lebih sihat, minumlah air kosong, atau air lemon atau air buah (yang diperah sendiri) bagi menjamin hidrasi dan kesihatan tubuh.

"Berfikir dahulu sebelum membeli minuman ini dan jangan jadikan ia sebagai amalan hidrasi. Bahan daripada sumber tidak asli ini boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan," katanya.

Sumber : Agensi berita/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita