Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Minum kopi tetapi lesu? Mungkin ini sebabnya

Ramai yang minum kopi untuk elak mengantuk, tetapi ia juga boleh membuat seseorang itu rasa lesu? Ini penjelasan pakar dan nasihat mereka untuk kekal bertenaga.

Anggaran Waktu Membaca:
Minum kopi tetapi lesu? Mungkin ini sebabnya

(Gambar: Battlecreek Coffee Roasters/Unsplash)

NYT: Bahan aktif utama dalam kopi, yakni kafein memang terkenal sebagai perangsang tenaga. Namun kafein juga adalah sejenis dadah, bermakna kesannya terhadap tubuh badan bergantung kepada setiap individu, tabiat pemakanan serta baka.

"Paradoks kafein adalah dalam jangka pendek, ia membantu dari segi meningkatkan tumpuan dan tahap kewaspadaan. Ia juga membantu dalam beberapa tugas kognitif, serta tambah tenaga," kata profesor psikiatri di Jabatan Psikiatri dan Sains Kelakuan Universiti Washington, Mark Stein.

Beliau telah mengkaji kesan kafein ke atas mereka yang mempunyai gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD).

“Namun kesan terkumpul - atau impak jangka panjang - adalah sebaliknya."

PARADOKS KAFEIN

Sebahagian daripada kesan paradoks kafein berpunca daripada kesannya terhadap apa yang disebut oleh para pengkaji sebagai "tekanan tidur", iaitu keadaan di mana tubuh merasa mengantuk sepanjang hari. Dari saat kita bangun dari tidur, badan kita mempunyai jam biologi yang mendorong kita untuk kembali tidur pada lewat hari.

(Gambar: Reuters)

(Gambar: Reuters)

Seth Blackshaw, seorang pakar sains saraf di Universiti Johns Hopkins yang mengkaji tentang tidur, berkata para penyelidik masih belajar tentang bagaimana tekanan tidur meningkat di dalam badan, tetapi sepanjang hari, sel dan tisu kita menggunakan tenaga dalam bentuk molekul yang dipanggil adenosina trifosfat, atau ATP.

Apabila ATP digunakan, sel dalam tubuh menghasilkan bahan kimia yang dipanggil adenosina sebagai keluaran sampingan. Adenosina itu memberi isyarat pada reseptor di otak, menjadikan kita lebih mengantuk.

Dari sudut kimia, kafein bertindak seakan adenosina dan akibatnya kafein dalam kopi membuat kita rasa lebih cergas.

APABILA TEKANAN TIDUR BERTAMBAH

"Setelah (kesan) kafein mereda, tekanan tidur pula naik ke tahap sangat tinggi, dan anda perlu bayar balik," kata Dr Blackshaw. Malah, satu-satunya cara untuk melegakan dan menetapkan semula tahap tekanan tidur yang tinggi adalah dengan tidur.

Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah semakin banyak kita minum kafein, tubuh kita membangunkan toleransi terhadapnya.

Hati kita akan menyesuaikan keadaan itu dengan menghasilkan protein yang memecahkan kafein dengan lebih pantas, dan reseptor adenosina di otak kita bertambah banyak, supaya dapat terus peka terhadap tahap adenosina untuk mengawal kitaran tidur kita.

Akhirnya, pengambilan kafein yang berterusan atau bertambah banyak akan memberi kesan buruk kepada tidur, yang juga akan membuat kita merasa lebih letih, kata Dr Stein.

"Sekiranya anda kurang tidur dan anda berasa tertekan, dan anda bergantung pada kafein untuk memperbaikinya, ini adalah campuran terbaik untuk huraian jangka pendek yang akan memburukkan keadaan pada jangka panjang," jelas beliau. "Anda akan terus menambah lebih banyak kandungan kafein ke dalam kopi anda, tetapi kesan negatif ke atas tidur anda akan berlarutan, dan seterusnya bertambah buruk."

Kafein juga boleh menyebabkan lonjakan pada paras gula dalam darah atau menyebabkan dehidrasi - kedua-keduanya boleh membuat kita merasa lebih letih, kata Christina Pierpaoli Parker, seorang penyelidik tidur di Universiti Alabama di Birmingham.

MENANGANI RASA PENAT AKIBAT KOPI

Jika anda rasa penat pada sebelah petang walaupun setelah minum secawan kopi, huraiannya adalah dengan kurangkan meminumnya, kata saintis.

Jangan minum kopi setiap hari. Berhenti meminumnya buat beberapa hari agar tubuh anda dapat mengeluarkan sebarang kafein di dalam sistem, dan kemudian menambahnya kembali secara bertahap-tahap pada rutin anda.

Secara ideal, minum kopi "sepatutnya seronok dan berguna, dan benar-benar memberi anda tenaga apabila anda perlukannya," kata Dr Blackshaw.

Sementara itu, jika anda rasa kafein tidak lagi membuat anda bertenaga, para pakar mengesyorkan agar anda luangkan masa untuk tidur sekejap, lakukan senaman atau duduk di luar untuk dedahkan diri kepada cahaya semula jadi, yang boleh menambah tahap tenaga secara alami.

"Pantau tidur anda dan pastikan anda tidur secukupnya," kata Dr Stein. "Tidur yang cukup dan kegiatan fizikal adalah intervensi pertama bagi masalah kurang tumpuan dan mengantuk. Kafein dapat membantu, tapi anda tidak mahu bergantung sepenuhnya kepadanya." 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan