Skip to main content

Gaya Hidup

Minum kopi dikaitkan dengan kurang risiko terkena kegagalan jantung

Satu analisis meluas mengkaji ratusan faktor yang mungkin mempengaruhi risiko berlaku kegagalan jantung, sebaliknya mendapati meminum kopi dapat mengurangkan risiko berlaku demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Minum kopi dikaitkan dengan kurang risiko terkena kegagalan jantung

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 27 Feb 2021 10:20PM Dikemas Kini : 27 Feb 2021 10:26PM

COLORADO: Satu analisis meluas mengkaji ratusan faktor yang mungkin mempengaruhi risiko berlaku kegagalan jantung, sebaliknya mendapati meminum kopi dapat mengurangkan risiko berlaku demikian.

Kegagalan jantung, kadangkala dipanggil kegagalan jantung kongestif, berlaku apabila otot jantung menjadi lemah dan tidak dapat mengepam darah secara berkesan.

Ia disebabkan oleh tekanan darah tinggi, penyakit injap jantung, serangan jantung, kencing manis dan penyakit-penyakit dan kondisi yang lain.

Analisis itu merangkumi data menyeluruh selama berdekad dari tiga kajian kesihatan besar-besaran melibatkan hampir 21,400 peserta dan menggunakan kaedah yang bernama pembelajaran mesin (machine learning). Kaedah itu menggunakan komputer untuk mencari corak bermakna dalam jumlah data yang banyak.

"Lazimnya, para pengkaji akan mengenal pasti faktor-faktor yang disyaki menyumbang kepada risiko kegagalan jantung - misalnya merokok - dan akan membuat perbandingan antara para perokok dan bukan perokok," kata penulis kanan, Dr David P. Kao, seorang pembantu profesor perubatan di Universiti Colorado.

"Namun pembelajaran mesin mengenal pasti pembolehubah (variable) yang menunjukkan sama ada risiko meningkat atau berkurangan termasuk yang tidak anda fikirkan."

Menggunakan kaedah itu, Dr Kao dan rakan-rakan sekerjanya menemui 204 pembolehubah yang mempunyai kaitan dengan risiko kegagalan jantung. Mereka kemudian mengkaji 41 faktor paling kukuh, antara lain termasuk merokok, status perkahwinan, indeks berat badan, kadar kolesterol, tekanan darah dan pengambilan makanan tertentu.

Dalam ketiga-tiga kajian itu, amalan meminum kopi mempunyai kaitan lebih tinggi berbanding faktor-faktor pemakanan lain dengan pengurangan risiko jangka panjang berlaku kegagalan jantung.

Namun, hanya meminum secawan kopi atau kurang daripada itu tidak mempunyai sebarang kesan. Sebaliknya, meminum dua cawan kopi sehari dapat mengurangkan risiko sebanyak 31 peratus dan meminum tiga cawan kopi atau lebih dapat mengurangkan risiko sebanyak 29 peratus.

Bagaimanapun, kajian itu tidak mempunyai jumlah peserta mencukupi yang meminum tiga cawan kopi atau lebih untuk mengetahui jika dengan meminum lebih banyak kopi ia dapat mengurangkan risiko secara lanjut.

Ini pula bukanlah kajian yang pertama untuk mengkaji manfaat kesihatan daripada meminum kopi.

"Dalam kajian-kajian lain, meminum kopi dikaitkan dengan risiko berkurangan menghidap strok dan penyakit jantung koronari," kata Dr Kao, meskipun "kami tidak menemui sedemikian dalam kajian kami".

Kajian itu bagaimanapun tidak dapat menjelaskan penggunaan jenis kopi yang berbeza atau kaedah menjerang kopi, atau pun penggunaan bahan-bahan tambahan seperti gula atau krim.

Tiada pula kaitan ditemui antara pengurangan risiko kegagalan jantung dengan meminum kopi tanpa kafeina. Malah, satu kajian mencadangkan bahawa ia mungkin meningkatkan risiko.

Menurut para pengarang, kafeina mungkin adalah faktor yang penting, namun mekanisme di sebalik kesannya tidak diketahui. Kajian itu juga tidak mengkaji kesan daripada meminum teh atau makanan lain yang mengandungi kafeina.

Justeru, perlukah anda mula minum kopi sekarang atau menambah jumlah kopi yang diminum bagi mengurangkan risiko menghidap kegagalan jantung?

"Kami tidak tahu lebih lanjut daripada keputusan kajian untuk menyarankan demikian," kata Dr Kao, sambil menambah bahawa kajian tambahan diperlukan.

"Ia juga berguna jika kita dapat mengetahui sama ada meminum satu cawan kopi tambahan dapat mengelakkan berlaku komplikasi tertentu." 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita