Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Minggu Seni Singapura kembali dengan jumlah rekod lebih 40 projek komisyen tempatan

Minggu Seni Singapura kali ke-9 akan membuka tirainya pada Jumaat (22 Jan) dengan lebih 100 program seni merentasi platform fizikal dan digital disajikan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Minggu Seni Singapura kali ke-9 akan membuka tirainya pada Jumaat (22 Jan) dengan lebih 100 program seni merentasi platform fizikal dan digital disajikan.

Acara itu juga mencatat rekod dengan menampilkan lebih 40 projek komisyen tempatan.

Antara ruang yang menjadi wadah seni tahun ini adalah perhentian-perhentian bas. Lebih tepat lagi 18 buah perhentian bas dan antara seniman yang terlibat ialah Rizman Putra.

PERHENTIAN BAS JADI RUANG HAYATI KARYA SENI

Seseorang itu boleh mula melukis dan mencurahkan idea kreativiti masing-masing hanya dengan menggunakan kertas dan pena.

Kaedah mudah untuk melukis itulah yang digunakan artis tempatan Rizman Putra dalam pamerannya yang bertajuk Jom Draw sempena Minggu Seni Singapura.

Pamerannya itu yang sebahagian daripada projek seni berdaya inovatif Bus.Stop.Art, bertujuan mengongsi cara-cara melukis di tempat awam - khususnya di perhentian bas!

(Gambar: Nurhelmy Hakim/BERITAmediacorp)

"Daripada menggunakan telefon, saya rasa lebih mulia kita dapat melihat karya seni dan menggunakan imaginasi, menikmati dan menghargai karya-karya yang disediakan. Satu kelainan daripada sekadar menunggu bas sahaja," kata Rizman.

Beliau menambah: "Bagi saya, saya ingin berkongsi sistem untuk melukis. Ramai orang takut apabila mendengar perkataan seni. Melukis mereka mungkin rasa tidak ada kemahiran. Saya melakarkan satu sistem di mana sesiapa sahaja boleh melukis."

Menerusi kod QR yang disediakan di panel pameran tersebut, orang ramai boleh menonton video-video yang menjelaskan pelbagai cara untuk melukis. Dari situ, mereka boleh bermain dengan benak fikiran masing-masing dan melukis apa sahaja yang mereka inginkan mengikut corak-corak yang disediakan.

Apabila ditanya apakah inspirasinya untuk melakarkan pameran itu, beliau menjawab: "Saya mendapat inspirasi daripada menonton rancangan masakan kerana dalam rancangan masakan mereka berkongsi resipi. Bagi saya kaedah seni pun boleh dikongsi bersama jadi kita boleh sama-sama belajar cara-cara untuk melukis tanpa risau."

Rizman di kalangan 10 seniman yang terlibat dalam program Bus.Stop.Art itu yang merangkumi 18 perhentian bas.

Sepanjang 15 kilometer - dari Kallang Bahru ke kawasan Alexandra - mengikut laluan jalan bas 175, orang ramai boleh melakukan pelbagai aktiviti online lain serta menjalani lawatan berpandu sendiri.

STATE OF MOTION PAMERAN GENRE FIKSYEN SAINS DI SAW 2021

Minggu Seni Singapura juga akan menampilkan program State of Motion, yang menyelongkar bayangan kehidupan masa depan manusia.

Diadakan di bangunan Marina One, 11 karya seni hasil 10 seniman tempatan dan luar negara akan ditampilkan buat pertama kalinya di Singapura.

Antaranya - pameran bunyian momok elektrik hasil artis tempatan Bani Haykal, yang membayangkan cara mesin melakukan pengekodan terhadap perbualan manusia pada masa depan.

(Gambar: Nurhelmy Hakim/BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: Nurhelmy Hakim/BERITAmediacorp)

Minggu Seni Singapura yang dianjurkan secara bersama oleh anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Pelancongan Singapura dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) berlangsung hingga 30 Januari ini.

Orang ramai juga boleh mengunjungi beberapa muzium, galeri seni dan ruang seni bebas untuk menikmati pelbagai kegiatan lain sempena Minggu Seni Singapura 2021. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan