Skip to main content

Gaya Hidup

Minggu Seni SG kembali pada Jan 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Minggu Seni SG kembali pada Jan 2024

Gambar: Galeri Nasional Singapura

SINGAPURA: Para penggemar seni pastinya teruja menantikan Minggu Seni Singapura, yang dijangka kembali dengan edisi ke-12 pada Januari tahun depan.

Dianjurkan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan disokong oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), acara tersebut bakal menampilkan lebih 150 pameran serta program seni dengan pelibatan lebih 400 rakan kongsi dari merata dunia. Ia turut merangkumi pameran seni yang memaparkan bakat tempatan dan luar negara serta persembahan muzik secara langsung.

Beberapa program bahkan, akan berlangsung sehingga Februari tahun depan.

Bagi memberi secebis kemeriahan di sekitar acara tersebut yang akan berlangsung tidak lama lagi, terdapat persembahan-persembahan yang kini boleh dinikmati para pengunjung. Antaranya termasuk 'Time And The Tiger', yang akan dipersembahkan artis tempatan Ho Tzu Nyen di Muzium Seni Singapura di Tanjong Pagar Distripark. Tinjauan pertengahan kerjaya bagi karya-karyanya yang meliputi lukisan, filem dan pemasangan video, sedang berlangsung sehingga 3 Mac.

Di Galeri Nasional Singapura pula, para pengunjung berpeluang meninjau 'Tropical: Stories From Southeast Asia And Latin America'. Rancangan blokbuster itu, yang berlangsung sehingga 24 Mac, menampilkan 200 karya seni daripada lebih 70 artis, termasuk karya artis terkenal dari Mexico Frida Kahlo dan Diego Rivera.

Sementara itu, berikut adalah antara kegiatan yang anda boleh nanti-nantikan tahun depan:

1. PESTA 'LIGHT TO NIGHT'

Pesta 'Light To Night' dianggap sebagai salah satu sorotan Minggu Seni Singapura, memandangkan terdapat pelbagai pemasangan yang memukau dan dinanti-nantikan para pengunjung. Malah, ia sebelum ini pernah menampilkan bola gergasi dan pancaran cahaya yang mempesonakan dalam edisi-edisi sebelumnya.

Pesta 'Light To Night' bakal kembali dengan tema 'Reimagine'.

Tarikh: 19 Jan hingga 8 Feb
Tempat: Galeri Nasional Singapura

2. THE PIERRE LORINET COLLECTION PRESENTS ROUGH
 
Related article image
Gambar: Majlis Seni Kebangsaan
Dilakarkan dengan teliti oleh Edward Mitterrand, pameran tersebut menghimpunkan seramai 14 artis tersohor dan menawarkan satu perspektif yang terus-terang mengenai seni kontemporari. Daripada latar belakang yang sangat berbeza, artis-artis tersebut mengongsi pendapat yang serupa sama ada mengenai topik atau media yang digunakan.

Tarikh: 12 hingga 28 Jan
Tempat: Gillman Barracks

Kemasukan adalah percuma.

3. OUR CHILDREN
Related article image
Gambar: Art Outreach
Persembahan ini, oleh artis Tang Da Wu, menyentuh tentang nilai ketaatan kepada ibu bapa dan peri pentingnya membangun generasi-generasi akan datang. Para penggemar seni juga berpeluang berganding bahu menyumbang kepada dewangga, yang telah dijahit Tang sejak 2017.

Pelbagai karya seni, yang dipilih dengan teliti, akan dipamerkan bagi mengajak para pengunjung meneroka hubungan yang terjalin antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

Tarikh: 19 hingga 28 Jan
Tempat: Gillman Barracks

Kemasukan adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman rasmi Minggu Seni Singapura.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita