Skip to main content

Gaya Hidup

Minat terhadap makanan laut dorong lelaki ini tinggalkan kerjaya sebagai jurutera marin untuk buka restoran

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sepanjang kerjayanya sebagai jurutera marin, Encik Muhammad Jamil banyak meluangkan masa di hamparan lautan.

Di situ juga, beliau banyak mengenali tentang makanan laut dan mula jatuh cinta terhadapnya.

Ini kemudian mendorong beliau yang kini berusia 31 tahun untuk tinggalkan kerjayanya itu dan menceburkan diri dalam perniagaan makanan laut.

Beliau mula berjinak-jinak sebagai seorang pembekal makanan laut di Jurong Port dan mengendalikan gerai pasar sendiri di Lorong Ah Soo dan Bukit Timah.

Ini sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk membuka sebuah restoran yang khusus menjual hidangan makanan laut.

Encik Muhammad membuka Restoran Tiram pada Ogos 2022.
 
MAHU PERKENALKAN HIDANGAN TIRAM KEPADA MASYARAKAT MELAYU

Berbekalkan pengalamannya dengan makanan laut, beliau mahu menyediakan pilihan bagi masyarakat Melayu/Islam yang mahu mencuba hidangan tiram dan jenis makanan laut lain yang jarang ditemui di sebuah restoran halal.

“Saya rasa agak susah mencari tiram halal di Singapura dan jika ada pun kebanyakan kedai yang halal saya fikir menggunakan tiram gred sashimi beku tetapi saya rasa ramai orang Melayu tidak tahu untuk bezakan tiram beku dan tiram segar,” kongsi Encik Muhammad kepada wartawan Haney Khairunnisa.
 
“Restoran Tiram menggunakan tiram dari Kanada, kami ada ‘Beach Oyster’, ‘Fanny Bay Oyster’, ini antara dua yang kami gunakan. 'Beach Oyster’ rasanya lebih lemak, lebih berlemak, sangat kurang rasa kemasinan air laut,” kongsi beliau.

Encik Muhammad juga mencipta resipi sos cili hijau sendiri untuk dimakan bersama tiram.

Beliau berkata bahawa ramai pelanggannya yang tidak suka makanan mentah boleh menikmatinya selepas makan tiram bersama sos cili hijau itu.
Dalam masa kurang setahun dibuka, Encik Muhammad bersyukur dapat sokongan daripada masyarakat Melayu/Islam.

“Bagi saya pencapaian terbesar kami adalah apabila bekas presiden Singapura Halimah Yacob membuat tempahan untuk makan di sini dan saya rasa amat terkejut namun berbesar hati,” kata beliau.

Lebih banyak kisah menarik Encik Muhammad boleh anda ikuti dalam siri "Makan Apa Tu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita