Skip to main content

Gaya Hidup

Minat dorong bekas tentera jadi tukang alat muzik tradisional

Minat mendalam terhadap alat muzik tradisional Melayu menjadi pendorong buat seorang pemuda menghasilkan sendiri pelbagai peralatan itu sehingga mendapat tempahan daripada penggemar alatan muzik berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Minat dorong bekas tentera jadi tukang alat muzik tradisional

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Oct 2020 06:35PM Dikemas Kini : 04 Oct 2020 06:37PM

ALOR SETAR: Minat mendalam terhadap alat muzik tradisional Melayu menjadi pendorong buat seorang pemuda menghasilkan sendiri pelbagai peralatan itu sehingga mendapat tempahan daripada penggemar alatan muzik berkenaan.

Bekas tentera, Encik Muhammad Shakir Ahmad, 32, dari Kampung Tanjung Inggeris, Langgar di sini bukan sahaja berkemahiran menghasilkan gendang Kedah, serunai Kedah dan Kelantan, seruling buluh serta rebana, malah beliau juga cukup berbakat memainkan alatan muzik tradisional itu.

“Saya bermain alatan muzik tradisional sejak sekolah, selepas tamat persekolahan, saya belajar cara untuk membuat alatan muzik dan juga menyertai sebuah kumpulan muzik tradisional serta melakukan persembahan pada majlis-majlis tertentu.

“Ketika dalam tentera pun saya menyertai sebuah kumpulan dan melakukan persembahan sehinggalah saya menamatkan perkhidmatan, selepas itu saya ambil keputusan untuk jadi tukang buat peralatan muzik tradisional secara serius,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, beliau pernah bertugas di Pangkalan Kem Tentera Udara, Sungai Besi, Kuala Lumpur selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan lebih awal pada 2014 bagi menjaga ibunya yang tinggal keseorangan di kampung.

Encik Muhammad Shakir berkata kemahiran membuat alatan muzik berkenaan dipelajari daripada ramai tukang berpengalaman di negeri ini dan setiap daripada mereka mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang berbeza-beza.

"Bila saya belajar di banyak tempat, setiap guru mempunyai kepakaran tersendiri, contohnya ada guru yang pakar dalam bidang pembuatan alatan kayu dan rotan, ada yang pakar menggunakan kulit dan ada yang mahir dengan bunyi-bunyian serta ukiran.

"Jadi dengan semua kemahiran yang saya pelajari saya praktikkan kepada alatan muzik yang dihasilkan dengan menjadikan alatan itu lebih berkualiti dan menghasilkan bunyi yang lebih baik," katanya.

Mengenai alatan muzik tradisional yang dihasilkannya, Encik Muhammad Shakir berkata kebanyakan reka bentuknya masih mengekalkan seni tradisional yang kebiasaannya ada pada alatan muzik tersebut.

Namun, berbanding menggunakan tangan sepenuhnya, beliau lebih banyak menggunakan mesin kayu bagi memastikan alatan muzik itu lebih tepat dan berkualiti serta dapat dihasilkan dengan lebih cepat.

“Selain itu jenis kayu yang digunakan juga mestilah sesuai supaya bunyi yang dihasilkan lebih baik terutama bagi serunai yang memerlukan kombinasi beberapa jenis kayu yang boleh menghasilkan pelbagai bunyi yang berbeza," katanya.

Beliau yang memiliki sebuah bengkel di sini berkata walaupun ramai yang menganggap alatan muzik tradisional Melayu semakin dilupakan namun tempahan yang diterimanya semakin bertambah bukan sahaja dari negara ini tetapi juga Singapura. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita