Skip to main content

Gaya Hidup

Meski tiada pendidikan, cef Akmal Anuar kini miliki restoran berprestij di luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
Meski tiada pendidikan, cef Akmal Anuar kini miliki restoran berprestij di luar negara

Gambar: 8days

Diterbitkan : 11 Sep 2024 03:47PM
SINGAPURA: Cef berpangkalan di Dubai, Akmal Anuar, membuka restoran sulungnya di Singapura, di mana beliau merebut kesempatan itu untuk menyusuri resipi warisan nenek moyangnya.

Beliau sebelum ini melancarkan lapan restoran berkonsep yang berjaya di seluruh UAE dan New York City, termasuk Restoran 11 Woodfire di Dubai, iaitu restoran Michelin satu bintang.

Cef berusia 42 tahun itu berkongsi kepada Mediacorp bahawa dorongannya untuk membuka Harummanis Sultan Gate, sebuah restoran yang dimiliki di Kampong Glam, sangat peribadi. Mengambil nama asli gerai nasi padang ibu bapanya yang berusia 32 tahun itu di Teck Whye - yang masih dikendalikan oleh mereka serta saudara perempuannya - restoran itu mencerminkan komitmennya kepada legasi keluarga, sekalipun mereka keberatan pada awalnya.

"Mereka merasakan nama itu tidak cukup mewah," dedah Akmal. Ibunya pada asalnya menamakan gerai mereka sempena mangga Harumanis, yang namanya bermaksud "berbau manis" dalam bahasa Melayu. "Mereka fikir saya perlu meneroka sesuatu yang lebih antarabangsa. Tetapi saya percaya penting untuk kekal setia kepada apa yang kita wakili," ujarnya.
Related article image
Gambar: 8days
Ibu bapanya tersentuh dengan dedikasinya untuk membuka restoran itu, sehingga menyebabkan mereka mengalirkan air mata.

"Saya kembali untuk membuka restoran ini untuk ibu bapa saya. Mereka telah membayangkan sebelum ini tentang bagaimana saya telah membuka restoran di Dubai, jadi mengapa tidak di sini juga? Saya membuka Harummanis Sultan Gate kerana saya mahu meneruskan legasi keluarga saya," jelasnya.

Sebelum berpindah ke Dubai, Akmal memperolehi kemahirannya di restoran makanan yang berprestij di Singapura. Meskipun beliau merupakan ketua cef restoran mod Eropah Iggy's, beliau hampir tidak dikenali di Singapura.

Beliau juga memasak di Les Amis dan Saint Pierre.

"Saya pasti berasa seperti saya kurang dihargai semasa tahun-tahun itu di Singapura," kongsinya kepada Mediacorp dalam satu wawancara sebelum ini.

Pada 2013, beliau menyahut cabaran baharu sebagai seorang kolaborator cef di Zengo di Le Royal Meridien Beach Resort & Spa, Dubai.

"Kehidupan saya di Dubai sangat mengagumkan," ujarnya. Namun, selepas dua setengah tahun, beliau mula berasa "malas" dan "bosan terhadap zon selesa itu", beliau pun cuba menyuntik perubahan dengan mengorak langkah untuk menubuhkan restoran baharu.


Pada 2016, beliau menjual flat eksekutif HDB lima bilik keluarganya untuk mendapatkan modal sekitar $500,000 supaya beliau dapat membuka restoran sulungnya di Dubai, 3Fils, dengan dua rakan kongsi – satu langkah yang diakui, jika difikirkan kembali, adalah "sangat impulsif". Usaha itu mempunyai permulaan yang sukar.

"Tahun pertama teruk. Saya kehilangan banyak wang. Terdapat begitu banyak pergaduhan. Saya juga kembali ke Singapura untuk mencari pekerjaan, tetapi gajinya rendah. Saya terperangkap pada tahap di mana saya terlalu baik untuk diambil kerja dan tidak cukup baik untuk menjadi pemilik perniagaan," kongsinya.

Menyifatkan dirinya sebagai "seseorang yang bersemangat tinggi", Akmal memutuskan untuk bertahan, "menghempas pulas' untuk mengendalikan 3Fils. Akhirnya, perniagaan itu menjadi "sangat berjaya". Walau bagaimanapun, pada tahun 2020, Akmal meninggalkan perniagaan itu akibat perselisihan faham yang ingin kekal peribadi.

Selepas meninggalkan perniagaan tersebut, Akmal dan isterinya Inez melancarkan White Rice Co, sebuah perundingan F&B yang berpangkalan di Dubai.

Berganding bahu dengan kolaborator dan pelabur yang berbeza, portfolio antarabangsa mereka termasuk restoran Asia kontemporari 53 Restaurant di New York City dan restoran Jepun moden Otoro di Abu Dhabi.

"Sekarang saya membuka restoran di bandar yang saya pernah impikan untuk bekerja suatu ketika dahulu sewaktu saya kecil."

Akmal dan Inez mengunjungi Singapura setiap bulan untuk memastikan restoran tersebut berjalan dengan lancar.

Ibu bapa dan saudara perempuan Akmal seringkali singgah ke restoran tersebut selepas mereka menutup gerai penjaja mereka. Ibunya yang berusia 68 tahun membantu menyediakan rempah ratus untuk beberapa hidangan istimewa restoran tersebut seperti rendang dan sambal goreng, dalam memastikan rasanya kekal sesuai dengan resipi warisannya.

Gerai penjaja mereka beroperasi secara berasingan daripada restoran tersebut untuk mengekalkan identiti uniknya.

Harummanis Sultan Gate terletak di 37 Sultan Gate, S198485. Ia beroperasi setiap hari dari 12.00 tengah hari sehingga 8.00 malam, kecuali pada hari Isnin.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman Facebook dan Instagramnya.
Sumber : 8 Days/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita