Mercu tanda terkenal SG muncul di layar perak menerusi filem Jepun 'Magical Secret Tour'
Sara Minami (kiri), Kasumi Arimura dan Haru Kuroki masing-masing membawakan watak Mayu, Kiyoe dan Wakako dalam filem Jepun 'Magical Secret Tour' yang menjalani penggambaran di Singapura. (Gambar: Asmik Ace Entertainment)
- Filem Jepun 'Magical Secret Tour' arahan Chihiro Amano menjalani penggambaran di pelbagai lokasi ikonik Singapura, menampilkan tiga wanita yang terlibat dalam penyeludupan emas.
- Kasumi Arimura, Haru Kuroki dan Sara Minami membintangi filem ini, dengan watak masing-masing menghadapi cabaran kewangan dan terlibat dalam skim berisiko tinggi.
- Pelakon berkongsi pengalaman menarik sepanjang penggambaran, termasuk insiden kecil dan keterujaan mencuba makanan tempatan seperti laksa.
- Lembaga Pelancongan Singapura mempergiat usaha menarik produksi antarabangsa, memanfaatkan filem dan televisyen untuk mempromosi budaya serta lokasi negara itu.
Filem arahan Chihiro Amano dan diterbitkan oleh Asmik Ace Entertainment itu diinspirasikan daripada kes penyeludupan emas di Jepun pada 2017 dan dijadual ditayangkan di Jepun pada 19 Jun.
Filem tersebut dibintangi Kasumi Arimura, Haru Kuroki dan Sara Minami sebagai tiga wanita yang berdepan masalah kewangan dan kehidupan mereka saling berkait melalui satu operasi penyeludupan emas di Singapura.
Arimura memegang watak Wakako, seorang suri rumah yang membesarkan dua anak kecil sebelum mendapati suaminya rebah dan meninggalkan keluarga mereka dibebani hutang.
Kuroki pula membawa watak Kiyoe, seorang penyelidik sambilan yang bergelut untuk membayar pinjaman pelajaran, manakala Minami memainkan watak Mayu, seorang pekerja kelab kabaret yang sedang hamil.
Dihimpit keadaan hidup masing-masing, ketiga-tiga wanita itu akhirnya terlibat dalam skim penyeludupan emas berisiko tinggi di Singapura.
MERCU TANDA SINGAPURA DI LAYAR PERAK
Treler filem itu menampilkan pelbagai lokasi ikonik di Singapura termasuk Marina Bay Sands, latar langit Daerah Pusat Bandar, Merlion Park, Clarke Quay, Robertson Quay dan Keong Saik Road.
Watak Arimura dipaparkan menginap di Lai Ming Hotel Cosmoland di Geylang, selain makan di beberapa premis tempatan dan mengunjungi Ishtara Jewellery di Little India bersama dua watak lain.
Dalam satu wawancara promosi bersama stesen penyiaran Jepun All-Nippon News Network, Arimura berkongsi pengalaman terjatuh ketika menjalani penggambaran di Singapura.
“Terdapat satu babak di mana saya perlu berlari laju di jalan-jalan Singapura dan saya tersandung. Saya terpijak hujung seluar saya lalu tergelincir. Semua orang terus berlari mendapatkan saya,” katanya dalam bahasa Jepun.
Amano mengakui beliau pada mulanya menyangka pelakon itu mengalami kecederaan serius.
“Saya fikir Arimura cedera parah dan penggambaran terpaksa dihentikan,” kata pengarah filem itu.
“Saya cuma mengalami sedikit calar dan sebenarnya tidak apa-apa,” jawab Arimura sambil ketawa.
“Memang berbahaya untuk terus berlari laju selepas berusia 30 tahun.”
Dalam video berasingan yang dimuat naik oleh Visit Singapore Japan, Arimura dan Kuroki turut berkongsi pengalaman mereka menjalani penggambaran di Singapura.
Dirakam di Pusat Makanan Zion Riverside, Arimura menggambarkan filem itu sebagai kisah tiga wanita yang dipertemukan melalui operasi penyeludupan emas.
Sementara itu, Kuroki, yang dirakam dengan latar belakang Muzium Tamadun Asia, berkongsi keterujaannya terhadap makanan Singapura.
Pelakon itu berkata beliau menikmati hidangan laksa beberapa kali sepanjang penggambaran.
“Saya mencubanya di beberapa tempat dan setiap satu mempunyai rasa yang berbeza. Ia membuatkan saya tertanya-tanya, yang manakah laksa yang sebenar? Ia sangat menarik.”
Filem itu muncul sedang Lembaga Pelancongan Singapura (STB) terus mempergiat usaha menarik lebih banyak penerbitan antarabangsa untuk menjalankan penggambaran di negara ini.
Dalam ucapan semasa Persidangan Industri Pelancongan pada 8 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Melissa Ow berkata agensi itu mahu “memanfaatkan kuasa filem dan televisyen” menerusi kerjasama dengan syarikat produksi antarabangsa bagi memaparkan lokasi dan budaya Singapura kepada para penonton global.
Antara projek yang diketengahkan ialah 'Ahlan Singapore', sebuah filem romantik Indonesia yang ditayangkan di Netflix, serta kerjasama berterusan dengan syarikat produksi Korea Selatan, Mr Romance.
Kerjasama itu menyaksikan beberapa babak drama korporat 'Buy King' yang dibintangi Ju Ji-hoon dan Lee Jun-ho turut menjalani penggambaran di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.