Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mengapa tidur nyenyak dan REM penting untuk otak yang sihat?

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa tidur nyenyak dan REM penting untuk otak yang sihat?

Tidur yang baik penting untuk otak yang sihat.
(Lukisan: The New York Times/Georgette Smith)

SINGAPURA: Tidur bukan hanya tentang rehat - ia memainkan peranan penting dalam memastikan otak anda sihat dan mengurangkan risiko demensia.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang mengalami gangguan tidur kronik, seperti insomnia atau apnea tidur, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kemerosotan kognitif dan penyakit seperti Alzheimer.

Dua peringkat tidur tertentu — tidur nyenyak (tidur gelombang perlahan) dan tidur REM — amat penting.

Semasa tidur nyenyak, otak melakukan kerja 'mengemas'. Ia mengawal hormon, metabolisme, dan membuang sisa toksik, termasuk protein amiloid yang dikaitkan dengan Alzheimer. Proses "membilas" ini adalah penting; lama kelamaan, tidur nyenyak yang terganggu boleh menyebabkan penyingkiran sisa yang tidak lengkap (dipanggil kegagalan glymphatic), meningkatkan risiko demensia.

Tidur REM, sebaliknya, adalah peringkat di mana anda bermimpi dan otak anda proses emosi dan menyusun ingatan. Kajian mendapati bahawa orang yang kurang tidur REM atau mengambil masa lebih lama untuk mencapainya lebih berkemungkinan mengalami demensia di kemudian hari. Ini kerana REM mengukuhkan ingatan dan membantu memastikan ruang minda kekal aktif — kehilangan kapasiti ini boleh mempercepatkan kelunturan kognitif.

Otak kita biasanya melalui empat fasa semasa tidur; dua peringkat tidur ringan, tidur nyenyak, dan REM, semua ini dalam 90 minit!

Sepanjang malam, otak mengulangi kitaran ini beberapa kali. Para saintis percaya bahawa kedua-dua tidur nyenyak dan REM berfungsi dengan cara yang berbeza tetapi saling melengkapi untuk melindungi fungsi otak.

Walaupun sukar untuk mengawal secara langsung berapa lama kita dalam tidur lena atau REM, percubaan untuk tambah baik mutu tidur secara keseluruhan boleh membantu. Pakar mencadangkan:

- Tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam

- Tidur dan bangun pada waktu yang konsisten

- Lakukan kegiatan yang menguji minda kita pada siang hari (seperti mempelajari sesuatu yang baharu)

- Lakukan senaman secara kerap untuk aliran darah lebih baik dan kegiatan minda lebih lancar.

- Kurangkan tekanan kerana ia boleh bantu menyokong proses otak 'mengemas'.

Menariknya, lebih banyak anda gunakan bahagian otak anda pada siang hari, lebih banyak ia meraih manfaat daripada gelombang tidur yang perlahan pada sebelah malam. Maka sebenarnya, usaha memastikan minda kita aktif boleh membantu ia pulih dengan lebih baik semasa tidur.

Anda tidak perlukan pemantau tidur yang mahal untuk mengetahui sama ada tidur anda sempurna.

Sebaliknya, tanya kepada diri anda: "Adakah saya rasa tenang apabila saya bangun?" dan "Jika saya bangun pada waktu malam, bolehkah saya tertidur semula dengan mudah?" Jika jawapannya ya, otak anda berkemungkinan mendapat masa pemulihan yang diperlukan.

Pada akhirnya, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah memberi tubuh anda masa yang cukup untuk tidur agar otak dapat menjalankan tugasnya.

Rencana asal diterbitkan di The New York Times.
Sumber : CNA/MM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan