Skip to main content

Gaya Hidup

Mengapa sukar untuk sesetengah orang telan pil atau guna ubat mata?

Anda tidak bersendirian jika anda mengalami kesukaran untuk menelan pil. Bagaimana pula jika anda perlu menelan pil-pil suplemen yang mungkin lebih besar?

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa sukar untuk sesetengah orang telan pil atau guna ubat mata?

(Gambar hiasan: iStock/mapo dan PeopleImages)

Diterbitkan : 07 Feb 2025 12:00AM Dikemas Kini : 07 Feb 2025 12:01AM
SINGAPURA: Anda tidak bersendirian jika anda mengalami kesukaran untuk menelan pil. Bagaimana pula jika anda perlu menelan pil-pil suplemen yang mungkin lebih besar?

Atau muka anda sering basah ketika cuba menitiskan ubat mata.

Mengapa agaknya badan anda berfungsi sedemikian? Berikut petua dan teknik yang tidak memerlukan anda untuk memotong pil, membuka kapsul atau membeli lebih banyak ubat mata.

PIL DAN KAPSUL

1. Mengapa begitu sukar untuk anda menelannya?

Ia mungkin mencabar kerana anda berdepan dengan dua bentuk ubat yang berbeza: Pepejal dan cecair. "Campuran ini boleh menjadi lebih mencabar untuk ditelan, walaupun bagi individu yang sihat, jika dibandingkan dengan menelan cuma sebiji pil," kata Pamela Oh, ahli terapi pertuturan kanan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).

Ini kerana anda memerlukan kawalan mulut yang mencukupi ke atas air yang mengalir ke dalam kerongkong anda dengan cepat - dan masih boleh menolak pil pada masa yang sama, kata ahli terapi pertuturan kanan Cheryl Lee dari Hospital Alexandra (AH).
 
(Gambar hiasan: iStock/pocketlight)
Atau, anda mungkin dilahirkan dengan mulut yang lebih kecil daripada biasa, menurut Persatuan Farmaseutikal Singapura (PSS). "Sesetengah kajian mencadangkan kaitan antara saiz mulut yang lebih kecil dengan kesukaran untuk menelan pil, yang mungkin menjelaskan mengapa lebih ramai wanita tidak suka menelan pil."

Dan jika anda pernah tercekik kapsul sebelum ini, anda mungkin mengalami kebimbangan dan ketakutan apabila anda cuba menelannya, menurut PSS. "Kebimbangan ini boleh meningkatkan ketegangan otot di sekeliling tekak anda dan mengurangkan aliran air liur, sekali gus menghalang proses menelan."

Kesukaran menelan itu dikenali secara perubatan sebagai disfagia, kata Dr Melvyn Wong, seorang doktor keluarga dan konsultan dengan Raffles Medical. Selain daripada masalah struktur dan trauma, disfagia juga boleh berlaku dengan keadaan seperti GERD (penyakit refluks gastroesophageal) yang menyebabkan ketidakselesaan tekak, katanya lagi.

2. Adakah dengan mendongakkan kepala ia akan membantu anda untuk menelan pil?

Tindakan ini sebaliknya akan "menyempitkan tekak dan meningkatkan risiko tercekik, terutamanya bagi mereka yang sudahpun mengalami kesukaran untuk menelan pil", kata Dr Wong.

Cik Oh menambah bahawa mendongakkan kepala sebenarnya meningkatkan "risiko cecair atau ubat yang lebih tinggi memasuki saluran udara". "Ini mungkin boleh mengakibatkan jangkitan dada.
(Gambar hiasan: iStock/pocketlight)
Sebaliknya, tundukkan kepala anda sedikit untuk meniru gaya menelan pil, kata Daphne Chan, ahli farmasi kanan Hospital Alexandra (AH). “Ia adalah satu langkah psikologi untuk membantu anda berfikir bahawa pil itu semakin berkurangan. Sebaik sahaja anda lebih biasa dengan menelan, tindakan ini tidak diperlukan sama sekali. Lagipun, kita tidak menundukkan kepala apabila makan mi kegemaran kita.”

3. Bagaimana jika anda memotong, melumatkan atau melarutkannya dalam air?

Dapatkan pandangan doktor atau ahli farmasi sebelum anda cuba mengubah ubat anda.

Sesetengah pil "direka sedemikian rupa untuk mengeluarkan kandungannya secara perlahan-lahan dari semasa ke semasa", kata Joanne Lai, ahli farmasi NTFGH.

"Menghancurkan pil ini boleh mengakibatkan keseluruhan dos dikeluarkan sekali gus, membawa kepada peningkatan kesan sampingan atau ketoksikan," katanya.

Terdapat juga ubat-ubatan, kata Cik Lai, yang dirumus untuk mencegah kerengsaan perut dan menghancurkan ubat itu "boleh meningkatkan risiko kerengsaan orofarinks atau gastrik".

4. Apakah teknik menelan yang berkesan?

Terdapat beberapa cara, mengikut teknik yang disyorkan oleh para pakar:

Basahkan mulut dahulu: Teguk sedikit air untuk membasahkan lelangit, kata Cik Chan. “Kemudian, letakkan pil di belakang mulut dan telan sedikit air. Ikuti dengan seteguk air lagi jika anda rasa ia tersekat.”


5. Bagaimana jika anda masih tidak boleh menelan selepas semua itu?

Nasib baik, ubat yang sama mungkin dalam bentuk dan saiz yang berbeza.

“Sebagai contoh, mereka yang mendapati pil paracetamol sukar atau pahit untuk ditelan boleh mempertimbangkan alternatif seperti tablet parasetamol berbentuk bujur dengan profil rasa yang lebih baik; bentuk kapsul yang lebih kecil; tablet 'effervescent'; atau formulasi cecair,” kata PSS.
(Gambar hiasan: iStock/sdominick)
Terdapat juga rumusan mudah larut untuk diletakkan di bawah lidah, menurut PSS. Tidak perlu ditelan.

"Jika anda secara konsisten menerima pil yang sukar ditelan, maklumkan perkara itu kepada doktor anda," kata Dr Wong. “Maklum balas ini boleh membantu mereka mendapatkan versi ubat dengan pil yang lebih kecil atau lebih mudah untuk ditelan pada masa akan datang. Ia cara yang mudah tetapi berkesan untuk menjadikan pengambilan ubat lebih mudah diurus".

UBAT MATA

1. Mata anda tidak boleh berhenti berkelip. Mengapa begitu sukar untuk menggunakan ubat mata?

Ini kerana kornea anda mempunyai 300 hingga 600 kali ganda ketumpatan (density) saraf berbanding kulit anda, kata Dr Roy Tan, pakar mata dan pakar bedah okuloplastik dari Asian Healthcare Specialists, Cornerstone Eye Centre (Novena).

“Sentuhan sekalipun kecil pada kornea anda boleh menimbulkan tindak balas sekelip mata yang kuat dan segera. Bagaimanapun, konjunktiva anda, membran jernih yang menutupi bahagian putih mata anda, tidak mempunyai hujung saraf dan tidak akan menyebabkan refleks mata berkelip,” katanya.
 
(Gambar hiasan: iStock/hxyume)
Terdapat juga isu untuk menggunakan titisan ubat mata dengan tepat - sambil memastikan anda tidak menyentuh hujung botol pada mata atau kelopak mata anda untuk mengelakkan pencemaran.

"Oleh kerana pesakit takut menyentuh botol secara tidak sengaja pada mata, mereka memegang botol ubat mata lebih jauh, justeru, meningkatkan kesukaran untuk menitiskan ubat mata," kata pakar optometris kanan NTFGH, Fifiana Tan.

Sebenarnya, itu bukan satu-satunya perkara yang mencabar. "Dalam kajian pemerhatian terhadap sampel penjagaan primer pengguna ubat mata, sehingga 40 peratus pesakit melaporkan lebih daripada satu masalah dengan titisan ubat mata," kata Cik Tan.

"Cabaran biasa lain termasuk kesukaran untuk memerah botol, berkelip secara tidak sengaja dan keterlihatan yang lemah pada titisan mata."

2. Bagaimana jika semua itu masih tidak berkesan?

Cuba peranti bantuan titisan ubat mata. "Ia dihasilkan dalam pelbagai reka bentuk, daripada silikon yang terletak pada batang hidung ke peranti plastik yang diletakkan di sekeliling bola mata," kata Cik Tan.

"Faedah peranti ini tidak universal kerana terdapat keragaman pada cabaran yang dihadapi oleh setiap individu, ciri-ciri wajah dan juga bentuk botol ubat mata," katanya.
Sumber : CNA/AZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita