Mengapa pakar pemakanan tetap menggalakkan pengambilan timun meski kandungan khasiatnya terhad?
Apabila Kimberly Dong, seorang Profesor Madya Pemakanan dan Kesihatan Awam di Sekolah Perubatan Universiti Tufts, menyenaraikan buah-buahan dan sayur-sayuran yang menawarkan khasiat paling tinggi bagi setiap suapan, timun tidak menjadi pilihan utamanya.
Timun mempunyai jumlah kalori yang rendah dan kandungan air yang tinggi. (Gambar: Canva)
Namun begitu, menurut beliau, terdapat banyak sebab untuk menjadikan timun sebagai sebahagian daripada pemakanan harian.
Timun mempunyai jumlah kalori yang rendah, mengandungi kandungan air yang tinggi serta sedikit serat, sekali gus menjadikannya pilihan yang menyihatkan, kata beliau. Selain itu, teksturnya yang rangup dengan rasa yang menyegarkan menjadikannya sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis makanan.
Terdapat pelbagai jenis timun, termasuk timun biasa, timun gemuk dan berkulit tebal; timun Inggeris yang lebih panjang, langsing, berkulit nipis dan mempunyai biji yang lebih kecil; 'gherkin' yang bersaiz kecil dengan kulit tidak rata; dan timun Parsi yang rangup serta padat.
Walau apa jua cara ia dipotong (atau dimakan tanpa dipotong sekali pun), berikut merupakan beberapa sebab timun menjadi pilihan popular di tengah-tengah cuaca panas.
BANTU KEKALKAN HIDRASI
Apabila suhu meningkat, timun – yang mengandungi kira-kira 96 peratus air – merupakan sumber hidrasi yang rendah kalori, kata Prof Madya Dong.
Sebagai contoh, sebiji timun kebun yang tidak dikupas seberat 297 gram mengandungi sedikit lebih daripada secawan air dan hanya 45 kalori.
Gina Jarman Hill, seorang profesor sains pemakanan di Universiti Texas Christian, berkata terdapat tanggapan yang salah bahawa timun merupakan makanan "berkalori negatif", iaitu makanan yang mengandungi lebih sedikit kalori daripada jumlah kalori yang diperlukan tubuh untuk mencernanya.
"Hakikatnya, tiada makanan yang benar-benar 'berkalori negatif'," kata beliau. Namun, disebabkan kandungan kalorinya yang sangat rendah, timun mungkin merupakan makanan yang paling hampir memenuhi tanggapan tersebut.
Selagi seseorang individu berhati-hati dengan makanan yang dipadankan bersama timun, kata Prof Hill, tiada sebab untuk mengehadkan pengambilannya.
BANTU SOKONG KESIHATAN METABOLIK
Oleh kerana timun mengandungi jumlah karbohidrat yang rendah (11 gram) serta sedikit serat (1.5 gram), ia hanya memberi kesan minimum terhadap paras gula dalam darah dan dianggap selamat untuk mereka yang menghidapi diabetes, kata Prof Hill. Serat memperlahankan proses pencernaan, sekali gus membantu mengawal paras gula dalam darah, tambah beliau.
Terdapat juga beberapa kajian berskala kecil melibatkan haiwan dan manusia yang menunjukkan bahawa pengambilan timun atau ekstraknya mungkin memberi manfaat kepada paras insulin, kolesterol, trigliserida dan tekanan darah.
Sebagai contoh, dalam satu ujian klinikal yang diterbitkan pada 2016, para penyelidik membahagikan 47 pesakit yang mempunyai paras kolesterol dan trigliserida yang sedikit tinggi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mengambil kapsul harian yang mengandungi ekstrak biji timun, manakala satu lagi menerima kapsul plasebo. Selepas enam minggu, kumpulan yang mengambil ekstrak biji timun menunjukkan bacaan kolesterol darah yang lebih baik berbanding kumpulan yang mengambil kapsul plasebo.
Menurut Prof Madya Dong, hasil kajian tersebut memberi harapan, namun masih berada pada peringkat awal.
SNEK DAN PELENGKAP HIDANGAN YANG BAIK
Dengan rasa yang tidak terlalu kuat dan tekstur yang rangup, timun boleh menjadi pelengkap yang baik atau pengganti kepada pelbagai jenis makanan. Hirisan atau batang timun boleh dijadikan alternatif yang lebih sihat kepada cemilan diproses seperti kerepek kentang dan biskut.
Timun juga sesuai untuk dimakan bersama pencicah berasaskan kekacang atau hummus yang kaya dengan serat, kata Prof Madya Dong.
Timun juga boleh menjadikan hidangan terasa lebih ringan dan segar kerana ia menambah isi padu makanan dengan kandungan kalori yang minimum, kata Isaac Bernal, seorang cef di New York City.
Jeruk timun yang diperam, iaitu timun yang direndam dalam air garam bagi menggalakkan pertumbuhan bakteria baik, mungkin menawarkan lebih banyak manfaat kesihatan, kata Heewon L Gray, seorang Profesor Madya Pemakanan dan Dietetik di Universiti South Florida.
Makanan yang diperam dikaitkan dengan pengurangan keradangan serta kesihatan usus yang lebih baik.
Jeruk timun yang diperam boleh didapati di bahagian makanan sejuk di pasar raya. Menurut Prof Madya Gray, produk tersebut lazimnya dilabel sebagai "fermented (diperam)", "probiotic" atau "containing live cultures (mengandungi kultur hidup)", dan tidak menyenaraikan cuka sebagai ramuan.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa semua jenis jeruk timun, sama ada yang diperam atau tidak, mengandungi kandungan garam yang tinggi. Sebatang jeruk timun 'dill' mengandungi 326 miligram natrium, bersamaan kira-kira 14 peratus daripada had pengambilan harian yang disyorkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.