Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Melaka bakal buka tarikan baru berkonsep percutian 'glamping' di Pulau Besar

Anggaran Waktu Membaca:
Melaka bakal buka tarikan baru berkonsep percutian 'glamping' di Pulau Besar

Gambar Hiasan: Glamping (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Jan 2022 03:19PM Dikemas Kini : 29 Jan 2022 03:22PM

MELAKA: Konsep percutian glamping atau kombinasi idea ‘glamor’ dan ‘camping’ (berkhemah) bakal menjadi tarikan ekopelancongan terbaru yang akan dibangunkan di Pulau Besar di Melaka yang kaya dengan sejarah dan landskap menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhammad Jailani Khamis berkata tarikan pelancongan yang pertama seumpamanya di negeri ini bernilai RM1 juta (S$323,370) itu dijangka direalisasikan menjelang bulan Jun nanti.

"Kerja-kerja awal pembersihan tapak glamping yang dinamakan Pantai Laguna yang terletak di hujung pulau sepanjang 200 meter di pesisir pantai telah dijalankan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan program Pulau Besar New Year Challenge 2022 di sini hari ini (29 Jan) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MPPM Azhar Yaacob.

Kata Encik Muhammad Jailani, dengan dana RM1 juta (S$323,370) dan kerjasama MPPM serta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), pembangunan tarikan pelancong itu akan dilakukan dengan mengambil kira keselamatan ekosistem laut terutama hutan bakau yang terdapat di kawasan tersebut.
 
Tambahnya, dengan adanya konsep pelancongan sebegitu terutama di Pulau Besar, sasaran Melaka untuk mencapai 5.6 juta pelancong pada tahun ini dapat dicapai.

"Untuk itu saya akan adakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri mengenai bantuan yang diperlukan pada minggu depan," kata beliau.

Sementara itu, mengenai Pulau Besar New Year Challenge 2022, ia disertai 120 peserta yang perlu melunaskan empat cabaran secara berpasukan iaitu berlari, berbasikal lasak, berkayak dan panjat tembok. 

“Walaupun terpaksa mengehadkan penyertaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, acara pembuka tirai bagi memperkenalkan aktiviti pelancongan di kawasan kepulauan ini mendapat sambutan luar biasa. 

“Kita harap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat melonggarkan sedikit lagi SOP agar aktiviti pelancongan dapat dirancakkan,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan