Skip to main content

Gaya Hidup

Melaka anjur lebih banyak program seni, budaya dan warisan untuk tarik pelancong

Kerajaan Melaka akan menganjurkan lebih banyak program berunsur seni, budaya dan warisan sebagai tarikan utama pelancong ke negeri itu, khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0), pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Melaka anjur lebih banyak program seni, budaya dan warisan untuk tarik pelancong

Kerajaan negeri Melaka akan anjur lebih banyak program berunsur seni, budaya dan warisan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 16 May 2026 10:26PM
MELAKA: Kerajaan Melaka akan menganjurkan lebih banyak program berunsur seni, budaya dan warisan sebagai tarikan utama pelancong ke negeri itu, khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0), pada tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Abdul Razak Abdul Rahman berkata inisiatif itu dilaksanakan bukan sahaja untuk memperkenalkan keunikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang mempunyai pelbagai kaum dengan budaya dan warisan tersendiri kepada pelancong antarabangsa, malah kepada generasi muda di Malaysia.

Beliau berkata langkah itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memelihara dan menghidupkan ciri seni, budaya dan warisan di Melaka agar tidak dilupakan atau hilang ditelan zaman.

“Melaka bukan sahaja terkenal sebagai negeri warisan UNESCO melibatkan tinggalan bangunan sejarah yang unik dan menarik, tetapi turut mempunyai pelbagai lagi keistimewaan serta tarikan daripada aspek seni, budaya dan warisan.

“Menerusi program berkenaan juga, kita akan melibatkan penyertaan pelancong antarabangsa dan domestik, untuk merasai pengalaman bermain sukan atau permainan tradisional, persembahan kebudayaan dan kesenian atau membuat makanan atau kuih tradisional,” kata Encik Abdul Razak kepada para pemberita di negeri itu pada Sabtu (16 Mei).

Encik Abdul Razak berkata demikian selepas Program Sepetang Warisan Santai @ Banda Hilir yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad.

Encik Abdul Razak berkata hampir 100 program termasuk acara mega akan dianjurkan menjelang akhir tahun ini sempena TMM 2.0, bagi melengkapkan kalendar pelancongan negeri pada 2026 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 220 program.

“Setiap bulan memang ada sahaja program pelancongan yang telah dirangka sempena TMM 2.0 dengan pelbagai pengisian untuk menarik pelancong dalam dan luar negara, termasuk Program Sepetang Warisan Santai @ Banda Hilir yang berlangsung hari ini.

Awal dari itu, semasa program tersebut, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 (S$324.88) kepada empat persatuan beca di Melaka, sebagai salah satu usaha mengiktiraf peranan pengayuh beca yang menjadi ikon pelancongan negeri itu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita