Mediacorp lancarkan 2 platform baru tonjol daya kreativiti bakat tempatan
Para penggemar muzik-muzik 'indie' boleh mengikuti platform indiego melalui khidmat audio digital Mediacorp, meListen. (Gambar: Mediacorp)
BERITAmediacorp: Bakat-bakat tempatan kini boleh menonjolkan daya kreativiti mereka menerusi dua wadah baru oleh Mediacorp - iaitu indiego dan Buskermercials.
Jika anda penggemar muzik-muzik 'indie', platform terbaru indiego menawarkan halwa telinga terbaik dari genre pop indie, hip hop, R&B dan rock,
sepanjang masa melalui khidmat audio digital Mediacorp, meListen.
Ia merupakan alternatif kepada saluran-saluran radio digital sedia ada.
INDIE DARI MERATA DUNIA & PEMUZIK TEMPATAN
Menerusi khidmat penstriman indiego, para pendengar dapat menikmati pelbagai muzik indie dari merata dunia di samping karya-karya ahli muzik tempatan
Baru-baru ini, Tinjauan Radio Nielsen mendedahkan Mediacorp sebagai rangkaian radio utama Singapura, dengan stesen-stesen radionya lebih 1.5 juta pendengar -iaitu kenaikan 50 peratus berbanding tahun lalu.
Lantaran itu, indiego diharap dapat memenuhi keinginan pendengar yang bertambah, dengan menawarkan lebih banyak pilihan kandungan audio menerusi platform-platformnya. Ini termasuk para mendengar muzik bukan aliran utama, khususnya muzik-muzik cetusan ilham para artis bebas rakyat tempatan.
Wadah indiego juga mendekati para pendengar menerusi media sosial seperti TikTok dan Instagram, dengan kandungan-kandungan lebih menarik serta menyeronokkan.
Sejak pelancaran tidak rasmi pada September 2021, program-program yang ditawarkan sudahpun diperluas dengan lebih banyak kandungan pelbagai.
Ini termasuk segmen 'soul dan R&B' Golden Hour dari pukul 6.00 pagi hingga 9. pagi setiap hari, segmen muzik rock Adrenaline dari pukul 3.00 petang hingga 6.00 petang pada hujung minggu Saturdays and Sundays dan muzik hip-hop dalam segmen The Flipside dari pukul 6.00 petang hingga 9.00 malam setiap hari.
Selain itu, terdapat juga rancangan-rancangan yang dikendalikan oleh rakan-rakan Mediacorp serta ahli-ahli muzik dalam bidang kepakaran masing-masing.
Sempena Tahun Baru yang menjelang, para penggemar muzik 'indie' boleh mengikuti konsert siaran langsung Recess: Let’s Celebrate 2022 Edition anjuran indiego di akaun TikTok Mediacorp pada 31 Disember 2021.
BUSKERMERCIALS TONJOL BAKAT PEMUZIK JALANAN
Selain siaran indiego, Mediacorp juga melancarkan platform Buskermercials bersama agensi kreatif BLKJ Havas yang membolehkan 'buskers' atau pemuzik-pemuzik jalanan untuk menyerlahkan bakat mereka.
Lebih-lebih lagi, selepas pandemik COVID-19 menjejas periuk nasi lebih 350 pemuzik jalanan tempatan.
Buskermercials akan menjadi ruang yang menggalak jenama-jenama supaya menyokong dan memberikan peluang kepada pemuzik-pemuzik jalanan tempatan untuk menghasilkan lagu-lagu promosi untuk mereka.
Inisiatif itu akan dirintis oleh Pizza Hut, di mana lagu-lagu iklan sepanjang 30 saat yang digubah oleh para pemuzik untuk jenama itu akan diputarkan di stesen-stesen radio Mediacorp.
Lebih banyak jenama dalam bidang kemampanan, e-dagang dan runcit akan memanfaatkan platform itu awal tahun depan.
"Bukan setakat pudar dari tumpuan ramai, para pemuzik paling berbakat namun belum digilap bakat mereka turut hilang mata pencarian mereka dek COVID-19.
"Sebagai penyokong tegar kreativiti tempatan, kami rasa idea Buskermercials boleh menjadi huraian sebenar yang inovatif dan praktikal.
"Buskermercials adalah cara kita untuk menyerlahkan masyarakat yang kurang perwakilannya, di samping menyediakan peluang untuk menjana mata pencarian melalui bakat mereka.Kami mengalu-alukan lebih ramai 'buskers' menyertai kami," kata Ketua, Perancangan & Huraian Iklan, Mediacorp, Toh Dasheng.
Bukan sahaja lagu-lagu promosi untuk radio, persembahan di kedai-kedai jenama tersebut juga sedang dirancangkan untuk memperluaskan keterlibatan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.