Skip to main content

Gaya Hidup

McDonald's SG akan kenakan bayaran bagi sos tambahan mulai 2 Jan 2025

McDonald's Singapore akan mula mengenakan bayaran ke atas pelanggan bagi perasa tambahan melebihi jumlah yang diberikan, bermula 2 Jan tahun depan, menurut pengumuman syarikat makanan segera itu.

Anggaran Waktu Membaca:
McDonald's SG akan kenakan bayaran bagi sos tambahan mulai 2 Jan 2025

(Gambar: McDonald's)

Diterbitkan : 06 Dec 2024 09:59PM Dikemas Kini : 06 Dec 2024 10:02PM
SINGAPURA: McDonald's Singapore akan mula mengenakan bayaran ke atas pelanggan bagi perasa tambahan melebihi jumlah yang diberikan, bermula 2 Jan tahun depan, menurut pengumuman syarikat makanan segera itu.

Di bawah dasar baharu itu, sos seperti BBQ, Kari dan 'Honey Mustard' (mustard madu) akan dikenakan bayaran S$0.50 bagi setiap paket jika pelanggan meminta paket tambahan.

Bagi perasa salad, seperti Bijan Panggang Jepun, harganya ditetapkan pada S$0.70 setiap paket.

Namun, sos tomato dan cili bawang putih, dua perasa utama, akan terus diberikan secara percuma "berdasarkan jumlah tetap bagi setiap pesanan makanan," menurut laman syarikat itu.

McDonald's Singapore menjelaskan bahawa dasar tersebut sebagai satu langkah untuk "membantu menguruskan sisa makanan dan kos makanan yang semakin meningkat," yang digambarkan sebagai "cabaran berterusan" seluruh industri makanan dan minuman (F&B).

Dasar serupa yang mengenakan bayaran untuk perasa tambahan sudah dilaksanakan selama bertahun-tahun, tetapi tidak dipraktikkan.

Seorang pekerja di sebuah cawangan di bahagian tengah Singapura mengesahkan bahawa para pelanggan masih boleh meminta sos tambahan secara percuma buat masa ini, tetapi "tidak pada tahun depan".

Sos tomato dan cili bawang putih tanpa had disediakan di mesin layan diri setiap cawangan.

Bagi memaklumkan pelanggan, poster akan ditampal di kaunter dengan slogan, "SUKA SOS KAMI? TAMBAH LAGI HANYA 50 SEN SETIAP SATU", bersama kod QR yang memberikan maklumat lanjut mengenai dasar itu.

Pengumuman itu bagaimanapun menerima reaksi berbeza.

Sesetengah pelanggan menyuarakan rasa kurang senang sambil mengatakan bahawa harga McDonald's sudah meningkat.

Syarikat itu juga telah menambah bahagian maklum balas di laman webnya untuk menangani kebimbangan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perubahan tersebut.

"Kami memohon agar pelanggan kami memahami hal ini dan berharap mereka akan terus menikmati makanan dan sos yang mereka gemari," menurut McDonald's Singapore.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita