Mata lebih kerap kering, kabur sejak pandemik? Ini cara jaga kesihatan mata anda
Dengan COVID-19 terus menerus menguasai kehidupan kita, kesihatan mata mungkin bukan menjadi keutamaan.
SINGAPURA: Dengan COVID-19 terus menerus menguasai kehidupan kita, kesihatan mata mungkin bukan menjadi keutamaan.
Namun hakikatnya, menjalani kehidupan berlatarkan pandemik memudaratkan kesihatan mata kita, sama ada kita sedar atau tidak.
Pertama, kita kini menghabiskan jauh lebih banyak masa menenung pelbagai alat peranti. Dari tugasan kerja hinggalah kegiatan riadah, banyak aspek hidup kita dilakukan secara online.
Namun, menggunakan peranti untuk tempoh yang berpanjangan boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah. Salah satu keprihatinan besar berkaitan mata, yang lebih kerap berlaku sewaktu pandemik ialah sindrom penglihatan komputer (CVS).
Bagaimana ia berlaku? Seseorang lazimnya mengerlipkan mata sekitar 18 kali dalam seminit. Ia penting kerana mengerlip membantu melembapkan mata dengan merangsang penghasilan air mata.
Biasanya, kita kurang mengerlipkan mata ketika menggunakan alat-alat peranti - serendah tiga kali seminit - dan ini boleh menyebabkan simptom seperti mata kering dan penglihatan yang kabur akibat kurang kelembapan.
Penggunaan komputer dalam tempoh berlarutan juga boleh menjejas keupayaan mata untuk fokus kepada objek yang berdekatan, yang boleh menyebabkan penglihatan berganda dan rabun jauh yang berubah-ubah.
Faktor lain yang boleh menjejas penglihatan termasuk pencahayaan kurang baik dalam bilik (sama ada terlalu malap atau terang), monitor yang terlalu kecil atau kontras, resolusi dan pancaran cahaya tidak seimbang serta kadar segar semula (refresh rate) yang kurang sesuai.
Malah bukan peranti sahaja, pelitup yang dipakai juga boleh menyakiti mata kita.
Dengan penggunaan lebih kerap pelitup muka semasa pandemik, pakar oftalmologi seluruh dunia memerhatikan lebih ramai pesakit yang mengalami masalah mata kering yang ada kaitan dengan pelitup (Made).
Keadaan itu berlaku kerana nafas yang kita hembuskan disalurkan ke atas apabila memakai pelitup muka.
Udara itu keluar dari bahagian atas pelitup dan melalui permukaan mata kita, sekaligus menyejat air mata dan mengeringkan permukaan mata.
Akibatnya, mata anda akan berasa seperti berpasir, kurang selesa, gatal atau berair.
Sekumpulan orang lebih cenderung mengalami Made, seperti golongan dengan sistem imun yang lemah, yang menghidap penyakit seperti sindrom Sjogren (gangguan sistem imun yang menyebabkan mata dan mulut kering), warga tua, pemakai kanta lekap, serta mereka yang memakai pelitup muka untuk tempoh yang lama.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN
Walaupun bekerja dari rumah tetap menjadi aturan pilihan bagi kebanyakan orang, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki cara anda bekerja.
1. Saiz skrin anda penting. Pastikan anda menggunakan skrin monitor yang cukup besar, dengan kelebaran sekurang-kurangnya 61 sentimeter (komputer riba tidak sesuai digunakan untuk jangka masa yang panjang).
Jarak antara anda dan skrin juga seharusnya sekurang-kurangnya 51 sentimeter dan cahaya skrin sepatutnya pada 250 nits ke atas.
2. Pakai cermin mata membaca untuk melakukan tugas dari jarak yang dekat jika perlu (langkah membesarkan saiz huruf juga mungkin membantu). Membaca dari jarak yang kurang sesuai boleh menyebabkan ketegangan pada mata.
3. Pencahayaan juga penting. Gantikan lampu pijar dengan lampu LED bebas kelipan dan pastikan pencahayaan persekitaran tidak terlalu terang atau malap. Jauhkan daripada permukaan yang memantulkan cahaya atau cahaya silau yang menimbulkan bayang-bayang.
4. Patuhi peraturan 20-20-20. Bagi setiap 20 minit anda bekerja, rehat selama 20 saat dengan melihat sesuatu yang jauhnya sekurang-kurangnya 20 kaki (6.1 meter) dari anda. Ini membantu meregangkan otot-otot mata.
5. Berada dalam sekitaran yang berhawa dingin sepanjang hari boleh mengeringkan mata anda. Sekali-sekala, rehat di tempat dengan sekitaran yang lebih lembap. Anda juga boleh menggunakan alat pelembap peribadi sebagai alternatif.
6. Jika simptom berterusan, ubat titis mata dapat melegakan mata yang kering, dengan berfungsi sebagai pengganti air mata.
Terdapat juga cara-cara untuk mencegah Made.
Pertama sekali, pastikan pelitup anda sesuai dengan saiz muka. Lazimnya terdapat kepingan logam pada pelitup pembedahan yang boleh ditekap mengikut bentuk batang hidung supaya kurang udara panas yang keluar.
Jika simptom anda teruk, anda boleh cuba lekatkan bahagian atas pelitup anda pada muka untuk pemakaian jangka panjang.
Kalau semua percubaan gagal, terdapat juga rawatan lanjutan untuk pesakit yang mengalami masalah mata kering yang berterusan dan teruk.
Doktor anda, misalnya, boleh menyarankan siklosporin, iaitu ubat antikeradangan yang merangsang penghasilan air mata.
Penyumbat silikon juga boleh digunakan sebagai langkah tambahan. Ini merupakan alat kecil dan boleh ditanggalkan, yang dimasukkan ke dalam duktus air mata untuk mengekalkan kelembapan mata.
Namun, langkah-langkah itu patut dipertimbangkan hanya jika perubahan pada gaya hidup tidak membawa kesan.
Jika anda prihatin tentang simptom anda, sila dapatkan nasihat doktor mata anda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.