Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mata kerap lelah menghadap skrin gajet, segera dapatkan pemeriksaan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh pandemik COVID-19 lebih dua tahun lalu, pelbagai tekanan menghimpit kehidupan penduduk dan fasa peralihan ke endemik memberi peluang kepada ramai mendapatkan pemeriksaan rutin kesihatan.

Bagi kebanyakan orang, perkara yang diutamakan adalah kesihatan yang baik untuk jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Bagaimanapun, selepas lebih dua tahun "berkurung di rumah" dan menghadap skrin gajet, sama ada kerana bekerja, belajar, membeli-belah atau bergaul secara online, ada satu perkara yang perlu dititikberatkan iaitu kesihatan mata.

Ini kerana menghadap skrin gajet berjam-jam lamanya secara berterusan memberi tekanan terhadap mata serta penglihatan kita yang boleh mengakibatkan gangguan yang dipanggil sebagai  “Mata Lelah” - Digital Eye Straining (DES) atau Computer Vision Syndrome (CVS).

Apa yang berlaku akibat terlalu lama menghadap skrin komputer atau peranti digital ialah pancaran gelombang tenaga pendek dan panjang akan menembusi mata, menyebabkan kerosakan fotokimia kepada sel retina. 

Seseorang yang ditimpa DES atau CVS akan berdepan dengan pelbagai masalah mata, daripada mata kering kepada satu lagi gejala dipanggil Degenerasi Makula Berkaitan Dengan Usia - Age-related Macular Degeneration - (ARMD).

ARMD adalah penyakit mata yang boleh menjadikan penglihatan pudar. Ianya berlaku akibat penuaan yang menyebabkan kerosakan kepada macula -  bahagian saraf (retina) dalam mata yang amat diperlukan untuk melihat objek dengan jelas dan warna yang betul.

ARMD juga adalah punca utama untuk warga emas mengalami penglihatan kabur. Walaupun ia tidaklah menyebabkan buta sepenuhnya tetapi kehilangan penglihatan pusat boleh menimbulkan kerumitan untuk melakukan aktiviti yang lazim dilakukan seperti membaca, memandu kereta atau memasak, malah untuk melihat wajah seseorang dengan jelas.

Keadaan ini berlaku secara perlahan bagi sesetengah orang, namun ada juga yang mengalami ARMD dengan begitu pantas. Inilah puncanya kenapa ada yang tidak sedar kehilangan penglihatan untuk masa yang panjang. Untuk itu, amat penting untuk seseorang menjalani pemeriksaan mata yang kerap untuk memastikan tidak ada gejala ARMD.

AWASI PENYAKIT MATA, FAKTOR USIA 

Optometris profesional di MOG Eyewear, Yoyo Foong, apabila dihubungi Bernama baru-baru ini menekankan, pemeriksaan mata yang kerap adalah penting bagi memastikan penglihatan seseorang kekal sihat.

Menurut beliau, kebanyakan penyakit berkaitan mata adalah “pembunuh senyap” dan kegagalan membuat pemeriksaan mata yang kerap boleh menyukarkan rawatan mata.

Menurut Yoyo, ramai yang tidak akan sedar gejala atau tanda pada peringkat awal berlakunya penyakit mata dan faktor usia yang mempengaruhi keadaan mata serta kesihatan penglihatan.

Beliau memberi amaran bahawa penyakit mata berkaitan dengan umur seperti ARMD boleh bermula lebih awal dalam jangka hayat seseorang.

Di samping itu, terdapat tiga lain masalah mata yang akan mula berlaku apabila seseorang itu memasuki usia emas 50 hingga 65 tahun iaitu retinopati diabetik, katarak dan glaukoma. Mereka yang berada dalam kumpulan umur ini dinasihatkan menjalani pemeriksaan kerap mata dengan optometris setiap tahun bagi mengekalkan kesihatan mata.

“Memandangkan risiko tinggi mendapati penyakit berkaitan dengan mata pada usia tua, individu yang mempunyai sejarah keluarga atau keadaan kesihatan yang berpotensi menyumbang kepada penyakit mata perlu mengambil langkah berhati-hati.

PEMERIKSAAN TETAP MATA

Menurut Yoyo, kesihatan mata juga penting untuk kesejahteraan tubuh seseorang dan jangan diabaikan.

Sementara tiga ‘O’ - optometris, (pakar) oftalmologis dan (pakar) optik -  boleh membantu mengesan dan mengelakkan penyakit mata, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan mata kita sihat.

“Menjaga mata anda bukanlah rumit sangat dan anda hanya perlu melakukan beberapa perkara sahaja untuk melindungi penglihatan anda. Amalkan diet sihat dan seimbang, senaman yang kerap, pakai cermin mata hitam untuk perlindungan dari radiasi UVA/UVB, elakkan merokok dan hanya beli kanta sentuh daripada kedai optik.

“Bukan itu sahaja, rihatkan mata anda dengan peraturan 20-20-20 iaitu bagi setiap 20 minit anda melihat skrin gajet, cuba memandang sesuatu yang jaraknya 20 kaki (enam meter) daripada anda untuk selama 20 saat. Ini membantu merehatkan refleks penginapan (pergerakan refleks dalam anak mata) dan mengurangkan kelesuan mata,” katanya.

Bagi mereka yang sudah menggunakan cermin mata yang disyorkan atau kanta sentuh, anda dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan mata dengan menggunakan alat bantuan penglihatan sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali.

“Dengan hanya memeriksa mata anda, optometris boleh mengesan penyakit mata serta risiko kesihatan lain di samping penyakit seperti barah dan kencing manis. Banyak manfaat pemeriksaan mata dan elok masukkannya dalam senarai pemeriksaan kesihatan tahunan anda.

“Bagi mereka yang belum lagi menggunakan sebarang alat bantuan penglihatan, anda mungkin mahu dapatkan penilaian kesihatan mata serta ujian penglihatan menyeluruh dengan optometris anda. Pemeriksaan mata ini menilai aspek berbeza penglihatan atau kesihatan mata anda. Ia boleh mengesan masalah mata pada peringkat awal ketika ia masih boleh lagi dirawat,” tambahnya.

Yoyo juga memberi nasihat cara terbaik meletakkan monitor komputer bagi mereka yang bekerja dari rumah iaitu 15 hingga 20 darjah di bawah paras mata (kira-kira 10.1 - 12.7 sentimeter) diukur daripada bahagian tengah skrin dan 50.8 - 71.1 sentimeter daripada mata. Ini adalah untuk mengelakkan silau, terutamanya daripada pencahayaan atas kepala atau tingkap.

Sumber : Bernama/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan