Masihkah relevan amalan berpantang secara tradisional?
Amalan berpantang secara tradisional cukup sinonim dalam masyarakat Melayu yang sudah diamalkan sejak beratus-ratus tahun lalu.

(Gambar: Unsplash/Dominik Martin)
KUALA LUMPUR: Amalan berpantang secara tradisional cukup sinonim dalam masyarakat Melayu yang sudah diamalkan sejak beratus-ratus tahun lalu.
Malah, ilmu warisan sejak zaman nenek moyang itu masih diamalkan sehingga kini sebagai amalan tradisi yang sudah sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Berpantang secara tradisional mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman, budaya dan kepercayaan.
Menurut pakar Perunding Kanan Obstetriks dan Ginekologi Malaysia, Dr Mohd Rushdan Md Noor, ia tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh, namun ada di antaranya yang tidak memudaratkan kesihatan apabila ia diamalkan.
"Terdapat juga amalan pantang yang mempunyai tujuan tersirat bagi mengelak keburukan lain. Ia lebih tertumpu kepada gaya hidup dan tingkah laku.
"Oleh kerana kebanyakan amalan berpantang berasal daripada pengalaman orang dahulu, pengamal perubatan moden berpandangan bahawa pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan bukti kukuh untuk mengaitkan satu sebab dan akibat," katanya seperti dinukil Harian Metro.
Menurut Dr Mohd Rushdan, amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan sebenarnya juga wujud dalam perubatan moden, namun atas alasan berbeza.
Beliau berkongsi lima amalan berpantang dalam pemakanan yang diiktiraf oleh pengamal perubatan moden.
1. BERPANTANG TERHADAP MAKANAN PENYEBAB KETIDAKSELESAAN
Sebagai contoh, makanan-makanan yang menghasilkan banyak gas sehingga perut kembung dan tidak selesa.
Jenis makanan ini hanya diketahui individui berkenaan kerana kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza kepada setiap individu menyebabkan kuantiti gas dihasilkan selepas penguraian makanan turut bebeza.
Ada juga individu yang mengalami gejala lain setelah mengambil makanan tertentu. Ini bergantung kepada pengalaman masing-masing, kata Dr Mohd Rushdan.
2. BERPANTANG TERHADAP MAKANAN YANG AKIBATKAN ALAHAN
Jelas Dr Mohd Rushdan, sesetengah individu mengalami alahan apabila mengambil makanan dan minuman tertentu.
Mereka akan mengalami kegatalan, bengkak, muntah atau cirit-birit.
3. BERPANTANG TERHADAP MAKANAN YANG BERTINDAK BALAS DENGAN UBAT
Ada makanan atau minuman tertentu yang oleh mengganggu penyerapan ubat, berinteraksi dengan ubat, mengganggu metabolisme ubat dan mengubah kadar pengeluaran ubat daripada badan, dedah Dr Mohd Rushdan.
Contohnya, makanan yang mempunyai banyak kandungan Vitamin K seperti sayur bayam, brokoli dan asparagus perlu dikurangkan sekiranya pesakit mengambil ubat warfarin, katanya.
Begitu juga dengan produk tenusu yang tinggi dengan kandungan kalsium dan magnesium, ia boleh menjejas penyerapan beberapa ubat antibiotik.
4. BERPANTANG TERHADAP MAKANAN YANG BOLEH BURUKKAN LAGI PENYAKIT
Sebagai contoh, para pesakit buah pinggang perlu menghadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan sodium dan potasium seperti avokado dan makanan dalam tin.
Para penghidap gastrik juga disarankan supaya tidak mengambil (atau kurangkan) pengambilan kopi, tomato, jus buah, makanan pedas dan minuman bergas, kata Dr Mohd Rushdan.
"Sebaik-baiknya, dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui makanan yang perlu dielakkan ataupun dikurangkan pengambilannya," katanya seperti dinukil Harian Metro.
5. BERPANTANG DALAM PEMAKANAN UNTUK BERSIAP SEDIA BAGI UJIAN PERUBATAN
"Amalan ini hanya dilakukan semasa ujian seperti ujian mengukur 5-HIAA untuk mengesan serotonin ke atas pesakit yang disyaki menghidap barah karsinoid.
"Pesakit dilarang mengambil makanan yang mengandungi tinggi serotonin seperti nanas, pisang dan kiwi.
"Untuk menjalani ujian imbasan PET, pesakit tidak boleh mengambil bijirin, susu, roti dan gula dalam masa 12 jam sebelum ujian dijalankan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.