Skip to main content

Gaya Hidup

Masalah gusi teruk mungkin tanda kencing manis: Kajian

Pemeriksaan gigi mungkin satu peluang untuk para pesakit menguji sama ada mereka menghidapi penyakit kencing manis jika mereka mengalami sakit gusi dari peringkat sederhana hingga teruk. Ini bagaimanapun tidak bermakna bahawa pemeriksaan gigi saja sudah cukup untuk mengesan penyakit kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah gusi teruk mungkin tanda kencing manis: Kajian

Gambar fail. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 Aug 2018 11:51PM Dikemas Kini : 30 Aug 2018 05:34PM

SINGAPURA: Pemeriksaan gigi mungkin satu peluang untuk para pesakit menguji sama ada mereka menghidapi penyakit kencing manis jika mereka mengalami sakit gusi dari peringkat sederhana hingga teruk. Ini bagaimanapun tidak bermakna bahawa pemeriksaan gigi saja sudah cukup untuk mengesan penyakit kencing manis.

Ini menurut para doktor di Pusat Pergigian Nasional Singapura (NDC) dalam satu taklimat pada Rabu (29 Ogos).

Satu kajian yang dibentangkan pada Jun tahun ini mendapati mereka yang mempunyai sakit gusi yang teruk lebih berkemungkinan menghidapi sakit kencing manis yang belum dikesan, dengan 8.6 peratus daripada mereka dikesan menghidapi kencing manis tidak didiagnos.

Ini berbanding 1.5 peratus sahaja mereka yang mempunyai penyakit gusi sederhana, yang didapati menghidap kencing manis tidak didiagnos.

Secara keseluruhannya, 5.8 peratus peserta kajian ini - yang merangkumi mereka yang menghidapi penyakit gusi tahap normal hingga teruk - didapati menghidapi kencing manis yang tidak didiagnos.

Kajian itu meninjau 500 pesakit yang sedang dirawat atau yang dirujuk kepada NDC untuk kemungkinan penyakit gusi. Mereka mengisytiharkan tidak menghidapi kencing manis semasa pemeriksaan praperubatan mereka.

Mereka yang mempunyai penyakit gusi tahap sederhana dan teruk juga lebih berkemungkinan menghidapi kencing manis tahap awal, atau dikenali sebagai prakencing manis.

Lebih 30 peratus daripada pesakit ini dikesan menghidapi prakencing manis. Daripada jumlah ini, 70 peratus menghidapi penyakit gusi tahap sederhana hingga berat.

KLINIK DENTAL CARA TINGKATKAN PENGESANAN AWAL DIABETES

Pesakit kencing manis menghadapi risiko dua hingga tiga kali ganda mendapat jangkitan gusi. Kencing manis juga akan memberatkan lagi simptom penyakit gusi.

Pada masa yang sama, keradangan akibat penyakit gusi akan meningkatkan kurang daya tahan insulin dan memburukkan keadaan kencing manis.

Lantaran itu pasukan tersebut memberi cadagan agar selain daripada pemeriksaan kencing manis biasa, klinik pergigian juga boleh dijadikan wadah sesuai untuk membuat pemeriksaan kencing manis.

Ini mungkin cara untuk memperbaiki pengesanan awal kencing manis di Singapura.

Dr Chee Hoe Kit dari Pusat Pergigian Nasional, yang sedang menerajui lanjutan kepada kajian tersebut, menasihatkan pesakit kencing manis agar berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.

"Mintalah pemeriksaan gusi terperinci supaya anda akan mengetahui tahap kesihatan gusi anda dan mengambil langkah-langkah rawatan oleh doktor gigi anda," katanya.

"Jika anda bukan pesakit kencing manis ... dan anda mempunyai penyakit gusi yang teruk, anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk mendapatkan ujian darah untuk mengesahkan sama ada anda menghidapi kencing manis atau prakencing manis."

Pesakit yang menghidapi prakencing manis tidak semestinya akan mengalami kencing manis di kemudian hari. Dengan pengesanan awal dan penjagaan sewajarnya, peralihan kepada kencing manis boleh dielakkan melalui perubahan gaya hidup dan cara pemakanan.

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita