Skip to main content

Gaya Hidup

MAS lancar syiling Tahun Kuda 2026 papar Taman Punggol Waterway

Anggaran Waktu Membaca:
MAS lancar syiling Tahun Kuda 2026 papar Taman Punggol Waterway
(Gambar: MAS)
Diterbitkan : 18 Nov 2025 06:46PM Dikemas Kini : 18 Nov 2025 06:47PM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melancarkan Siri Syiling Tahun Kuda 2026 pada Selasa (18 Nov).

Siri syiling baharu ini, yang merupakan yang kesepuluh dalam Siri Syiling Keempat Kalender Cina Singapura, boleh ditempah awal mulai Selasa, menurut MAS dalam kenyataan medianya.

Syiling ini akan mula dijual kepada orang ramai mulai 1 Januari 2026.

Siri ini, yang dilancarkan pada 2017, menambah satu syiling baharu setiap tahun sehingga 2028. Setiap keluarannya memaparkan haiwan daripada kitaran zodiak Cina dengan latar belakang taman atau landskap semula jadi di Singapura.

Syiling tahun hadapan menampilkan kuda, dengan latar belakang Taman Punggol Waterway. Bahagian hadapan setiap syiling akan memaparkan Jata Singapura dengan tahun 2026.

Taman Punggol Waterpark, yang terletak di Laluan Sungai Timur Laut (North Eastern Riverine Loop), merentasi lebih 25 hektar dan merupakan ciri utama dalam transformasi Bandar Punggol menjadi Bandar Di Pesisiran (Waterfront Town) abad ke-21, menurut MAS.

“Syiling-syiling ini akan ditawarkan dalam 10 variasi, merangkumi nilai muka, bentuk, komposisi logam dan kesan cetakan yang berbeza.”

Tawaran tersebut, yang merupakan tender sah pada nilai mukanya, termasuk syiling perak halus segi empat tepat dengan nilai muka S$80 dan syiling emas halus bulat dengan nilai muka S$200.

Orang ramai juga boleh memilih daripada empat set syiling premium khas dengan pelbagai kombinasi. Ini termasuk set tiga syiling perak serta set tiga syiling emas dan perak.

Tempahan awal ditutup pada 14 Disember, menurut MAS. Tempahan boleh dibuat secara online atau dengan menghubungi Singapore Mint.

“Sekiranya syiling ditempah melebihi kuota, ia akan diperuntukkan melalui cabutan undi,” menurut MAS.

MAS menambah: "Tiada jaminan bahawa syiling akan meningkat nilainya dari semasa ke semasa atau boleh dijual pada harga pembeliannya di pasaran jualan semula."

“Namun, syiling ini boleh ditebus pada nilai mukanya apabila didepositkan di bank atau MAS.”
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita