Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Martabat Jawi sebagai bidang ilmu agar terserlah tradisi intelektual Alam Melayu

Bahasa Melayu tulisan Jawi banyak berkurang dengan aksara itu biasanya dikaitkan dengan pembelajaran Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu tulisan Jawi banyak berkurang dengan aksara itu biasanya dikaitkan dengan pembelajaran Islam.

Namun ia sebenarnya leluasa digunakan para penduduk di Nusantara suatu ketika dahulu, tidak kira kaum dan agama.

BERITAmediacorp meninjau usaha sekumpulan anak muda di Kuala Lumpur untuk melestari budaya warisan Jawi dalam masyarakat daripada pupus.

JAWI DALAM BUDAYA POPULAR

Sejak 2016, Amri Daud bersama rakan-rakannya gigih menghasilkan dan menjual barangan dengan desain menggunakan tulisan Jawi.

Matlamat mereka: perkenalkan Jawi sebagai nilai sejarah dan estetika popular agar timbul rasa bangga terhadapnya.

"Fesyen buat Jawi ini 'hype'. Orang akan tengok baju tulisan Jawi satu benda baru. Sebab itu kami buat desain hanya pakai tulisan tangan kami sebab kami ingin dekat lagi dengan pengguna," kongsi pengasas jenama Jiwa Jawi itu.

Minat mereka untuk mempromosikan Jawi dirangsang oleh Perdana Menteri Malaysia yang menggesa seluruh rakyat negara untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan budaya tersebut.

BUKAN UNTUK ORANG ISLAM SAJA

Perkembangan Jawi di Nusantara seiring dengan penyebaran agama Islam yang mana tulisan khat terbentuk menggunakan aksara Arab bersandarkan bahasa Al-Quran.
Namun, wujud salah tanggapan bahawa Jawi eksklusif untuk digunakan oleh orang Islam sahaja.

"Bila kita bangga, kita mahu perjuangkan seni Jawi, kita terlampau cenderung ke satu kaum. Mereka fikir baju ini, macam tulisan Jawi, suci macam al-Quran. Sebenarnya tak," jelas Amri.

Maka itu, menurut Muhd Syukri Rosli, pengasas Klasika Media - Akademi Jawi Malaysia pula penghayatan Jawi harus lebih mendalam lagi.

Ia seharusnya diangkat sebagai bidang ilmu yang diterajui berbagai-bagai kelompok di Nusantara, tidak kira kaum dan agama.
"Kita nampak Jawi dalam bentuk Arab. Itu saja, dalam bentuk mengeja saja. Tapi kita tidak pergi lebih jauh - bagaimana Jawi itu boleh menyatukan seluruh kepulauan Alam Melayu. Bagaimana orang Cina, orang India, pelbagai bangsa terlibat dalam membangunkan tamadun di Alam Melayu ini dan bukti-bukti sejarah itu terdapat dalam persuratan Jawi tersebut," jelas beliau.

"Contohnya, kapitan-kapitan Cina dulu kalau anda tengok cop mohor mereka, mesti ada unsur Jawi di situ. Itu salah satu contoh.

"Begitu juga dengan orang-orang India. Dia memiliki syarikat-syarikat percetakan yang mana mesin-mesin cetak itu mencetak kitab-kitab Jawi. Itu salah satu sumbangan bukan orang Melayu terhadap Jawi itu sendiri.

"Orang Putih pun sama juga. Orang Putih, dia menghasilkan ilmu mengkaji tentang Jawi itu.Contohnya, dia menaskahkan kamus. RJ Wilkinson sebagai salah satu contoh. Mereka menghasilkan kajian-kajian walaupun berdasarkan pandangan barat, tetapi dia tetap menyumbang kepada ilmu Jawi itu sendiri. Kita lihat bagaimana Jawi itu menyatukan, bukan memisahkan," tambah Syukri.

SAKSI SEJARAH ILMU ALAM MELAYU

Sepanjang 10 tahun yang lalu, akademi tersebut giat melakukan kajian dan banyak menerbitkan cetakan demi menghidupkan persuratan Jawi.

Dalam tempoh tersebut, mereka menemui pelbagai karya yang ditinggalkan cendekiawan dan cerdik pandai Alam Melayu suatu ketika dahulu.

"Kalau kita kaji dalam kitab perubatan Jawi apa semua itu, kita akan ketemukan banyak ubat-ubat, banyak bahan-bahan yang boleh kita gunakan untuk merawat penyakit yang berasaskan bahan-bahan tempatan. Yang itu hanya terdapat dalam kitab-kitab Jawi kita, ia tidak boleh diperolehi dalam kitab-kitab lain," ujar beliau lagi.

Justeru, Syukri berharap pembelajaran Jawi di Malaysia boleh menjangkaui permukaannya sahaja.

Dengan itu, barulah akan terserlah tradisi intelektual dalam Alam Melayu yang termaktub dalam tulisan Jawi.

Demi mencapai visi tersebut, pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing tidak kira dari aspek seni tradisional, budaya popular mahupun dalam sfera kajian dan akademik, tambah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan