Manfaatkan musim cuti sekolah hujung tahun ini dengan aktiviti bersama keluarga
Dalam suasana kehidupan moden yang serba pantas, ramai ibu bapa terikat dengan komitmen kerja, pengurusan rumah tangga dan pelbagai tuntutan lain. Justeru, masa cuti sekolah sering menjadi peluang terbaik untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak yang bersekolah, mendengar cerita yang mungkin tidak sempat dikongsi pada hari biasa, serta mendidik mereka melalui pengalaman dan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan bersama.
Menurut pakar psikoterapi, musim cuti sekolah bukan sekadar ruang untuk anak berehat secara fizikal, tetapi juga penting bagi perkembangan mental dan emosi mereka. Inilah masanya apabila ahli keluarga boleh berkumpul bersama, tanpa mengira usia anak, sama ada di sekolah rendah, menengah atau sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
Pakar turut menegaskan bahawa ibu bapa yang sibuk bertugas wajar peka terhadap keperluan emosi anak-anak. Oleh itu, cubalah untuk luangkan sedikit masa, ambil cuti agar kerap ada di rumah. Apa yang penting bukanlah jumlah masa yang lama, tetapi mutu untuk berinteraksi antara satu sama lain.
CUTI SEKOLAH YANG BERMAKNA
Sebagai ibu bapa rasanya penting juga untuk memastikan cuti sekolah tidak berlalu begitu sahaja tanpa melakukan pelbagai aktiviti bersama. Membuat perancangan awal sangat membantu mengelakkan kekalutan, seterusnya memastikan masa terisi dengan aktiviti yang mendatangkan manfaat kepada seluruh keluarga.
Antaranya, ibu bapa boleh membuat perancangan ringkas tentang destinasi percutian, aktiviti harian selain senaraikan perkara yang ingin dilakukan bersama. Bagi keluarga yang mempunyai bajet lebih, bercuti ke lokasi impian sudah tentu menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan. Namun, bagi yang mahu berjimat, banyak aktiviti santai lain yang tidak memerlukan kos tinggi boleh dilakukan di dalam negeri.
Antaranya, berkelah, teroka taman-taman awam di sekeliling kota Singa, kunjungi perpustakaan atau pusat masyarakat, menjamu selera di luar, selain berjalan-jalan di pusat membeli-belah dan sertai dalam pelbagai lagi aktiviti cuti sekolah yang diadakan sepanjang musim cuti ini. Yang penting anda dapat menghabiskan masa dengan baik bersama seisi keluarga.
AKTIVITI KELUARGA
Cuti sekolah tidak semestinya harus melancong atau bercuti jauh ke luar negara. Rumah juga boleh menjadi tempat pembelajaran, rekreasi dan interaksi yang menyeronokkan. Malah, aktiviti bersama di rumah boleh melatih anak tentang nilai-nilai kehidupan seperti kerjasama, tanggungjawab dan hormat antara satu sama lain.
Aktiviti seumpama ini bukan sahaja menggembirakan, malah membantu menguatkan ikatan emosi antara ibu bapa dan anak. Menurut pakar, anak yang terlibat dalam tugasan rumah, cenderung membesar dengan lebih bertanggungjawab dan matang dalam mengurus diri.
Selain itu, masa lapang di rumah juga dapat memberi peluang kepada ibu bapa untuk mendekati anak-anak dan memahami minat mereka. Gunakan masa ini untuk lihat sendiri sama ada mereka ada minat dalam muzik, permainan video, sukan atau kraf tangan dan sebagainya.
RIADAH DI LUAR RUMAH
Selain melaksanakan aktiviti di dalam rumah, cuti sekolah ini juga boleh dimanfaatkan dengan kegiatan di luar rumah. Antaranya:
- Merancang percutian keluarga, walaupun ke destinasi berdekatan. Perubahan suasana tidak kira di mana sahaja mampu mencipta kenangan baharu.
- Melakukan aktiviti fizikal seperti beriadah, berbasikal, bermain layang-layang, badminton selain ke taman rekreasi berhampiran rumah atau berkelah tepi pantai.
- Teroka pulau-pulau berhampiran kota Singa seperti Lazarus Island, St. John’s Island atau Pulau Ubin.
- Memberi ruang untuk anak-anak berehat, menonton rancangan kegemaran atau melakukan hobi kegemaran mereka
- Mengadakan hari keluarga, mengumpulkan sanak-saudara terdekat untuk makan bersama atau berkelah dan melakukan pelbagai aktiviti beriadah di taman dan sebagainya.
- Gunakan masa ini juga untuk mengenali minat anak dengan lebih mendalam, sama ada seni, sukan, muzik atau teknologi. Anda juga boleh sertakan mereka dalam kursus muzik dan juga perkhemahan.
Anda sekeluarga tidak perlu berbelanja besar atau bercuti di destinasi jauh untuk mencipta cuti bermakna. Semestinya aktiviti sederhana di rumah atau meroka tempat-tempat menarik di dalam negeri sudah mampu memberi kegembiraan yang mendalam.
Yang penting keikhlasan, perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan sepanjang masa bersama. Jadi, manfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya. Hargai setiap detik, cipta kenangan indah dan bina hubungan kekeluagaan yang lebih kukuh demi kesejahteraan dan kebahagiaan semua.
Selamat bercuti dan menikmati masa berharga bersama keluarga!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.