Manfaat tersembunyi di sebalik menikmati nasi sejuk
Tekstur nasi yang lembut dan rasanya yang neutral membuatnya mudah untuk dipadankan dengan pelbagai jenis lauk pauk buat santapan seharian. (Gambar: Pexels)
Namun, nasi tergolong dalam kategori makanan yang mempunyai indeks glisemik (GI) sederhana hingga tinggi. Secara ringkas, GI adalah ukuran bagaimana makanan berkarbohidrat dapat meningkatkan paras gula dalam darah selepas ia dinikmati.
Rata-rata apabila ingin menjamu selera nasi, ramai yang memilih nasi hangat yang baru dimasak. Tetapi jika dibuat perbandingan antara nasi hangat dan nasi sejuk, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa nasi sejuk sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri dari sudut kesihatan jika dibandingkan dengan nasi panas.
Kajian mendapati nasi sejuk mengandungi kandungan kanji degil yang lebih tinggi berbanding nasi yang masih panas. Kanji degil adalah sejenis serat yang tidak dicerna oleh usus kecil dan terus bergerak ke usus besar untuk proses penapaian.
Namun, disebabkan kanji degil tidak mudah dicerna, ia tidak bertukar menjadi glukosa dan membantu untuk mengekalkan paras gula darah yang lebih stabil. Secara tidak langsung pengambilan nasi sejuk membantu untuk melambatkan pencernaan dan mengurangkan lonjakan gula dalam darah selepas makan.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan rasa kenyang dan menyokong kesihatan usus besar. Malah, kajian mendapati nasi yang disejukkan semalaman adalah lebih mesra tubuh, terutamanya bagi yang menghidap kencing manis atau sedang berusaha untuk mengawal berat badan.
Ia diperkaya dengan kanji rintang atau resistant starch dan tidak akan dicerna seperti nasi panas. Sebab itu, ia tidak akan bertukar menjadi glukosa secara mendadak. Sebaliknya ia boleh membantu untuk menstabilkan paras gula darah selepas makan.
Jika ingin menyimpan lebihan nasi yang dimasak untuk dinikmati kemudian, terdapat beberapa cara yang boleh membantu mengurangkan risiko pencemaran bakteria dan sekaligus dapat mengekalkan mutu nasi.
Selepas nasi dimasak, sebaiknya disejukkan dengan segera. Tapi, elak membiarkan nasi yang sudah sejuk pada suhu bilik lebih berjam-jam lama dalam keadaan terbuka. Cara terbaik adalah dengan membahagikan nasi ke dalam bekas makanan yang kering, bersih, tutup rapat dan disimpan dalam peti sejuk.
Pastikan nasi yang dimasak dimakan dalam tempoh tidak lebih daripada satu hari dan sebaik-baiknya dipanaskan semula sepenuhnya sebelum dihidangkan. Tapi, apabila ingin memanaskan semula nasi, pastikan ia tidak dipanaskan berulang kali. Menurut kajian ia boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria selain tidak selesa perut. Bakteria seperti bacillus cereus mudah membiak dan mampu menghasilkan toksin yang boleh menyebabkan keracunan, terutama bagi yang mempunyai perut sensitif.
Secara ringkas, pemanasan nasi berulang kali boleh meningkatkan risiko pencemaran silang dan kerosakan makanan. Langkah-langkah ini penting untuk diambil tahu agar anda dapat memastikan nasi yang dimakan berkhasiat dan baik untuk kesihatan tubuh.
Jike perlu memanaskan semula nasi, ambil jumlah sebanyak mana yang ingin dinikmati pada waktu itu dan panaskan dengan suhu yang cukup tinggi untuk membunuh bakteria. Penting untuk memastikan ia dipanaskan secara rata untuk mengelakkan ada bahagian yang masih sejuk dan bahagian lain pula hangat.
Selain itu, jika ada lebihan nasi sejuk anda juga boleh menggunakannya sebagai salah satu bahan untuk membuat gorengan cucur. Cubalah resipi mudah berikut!
CUCUR NASI SEJUK
2 cawan nasi sejuk (dikisar)
1 cawan tepung gandum
Air secukupnya
1 biji bawang besar
1-2 ulas bawang putih
Cili merah (dihiris)
Sedikit ikan bilis
Beberapa ekor udang segar ]
Daun sup bawang ] (opsyenal)
Garam secukup rasa
Kisar nasi sejuk bersama air, masukkan bawang besar dan bawang putih serta ikan bilis. Kisar dan gaulkan dengan tepung gandum. Masukkan cili yang dihiris, daun sup bawang, garam secukup rasa dan gaul rata. Panaskan minyak dan goreng cucur. Enak dinikmati panas dan dicecah dengan sos cili!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.