Skip to main content

Gaya Hidup

Mandai buka fasa kedua Rainforest Wild Adventure mulai 20 Mei

Mandai Wildlife Group akan mula membuka fasa kedua Rainforest Wild Adventure kepada orang ramai mulai 20 Mei, menjelang sambutan pembukaan rasminya pada hujung bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Mandai buka fasa kedua Rainforest Wild Adventure mulai 20 Mei

Gambaran pelukis bagi Canopy Glider, yang menawarkan pemandangan landskap Rainforest Wild Adventure kepada para pengunjung. (Gambar: Mandai Wildlife Group)

SINGAPURA: Mandai Wildlife Group akan mula membuka fasa kedua Rainforest Wild Adventure kepada orang ramai mulai 20 Mei, menjelang sambutan pembukaan rasminya pada hujung bulan ini.

Tarikan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Rainforest Wild Asia and Africa, dijenamakan semula sebagai sebuah taman tunggal yang merangkumi dua zon: Rainforest Wild Adventure West, yang sudah dibuka, dan Rainforest Wild Adventure East yang bakal dilancarkan.

Taman itu akan beroperasi setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 6.00 petang, dengan kemasukan terakhir pada pukul 5.00 petang.

Tiket ke Rainforest Wild Adventure merangkumi akses ke kedua-dua zon 'East' dan 'West', dengan perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan bagi para pengunjung untuk melakukan perjalanan antara kedua-dua kawasan.

Dengan keluasan sekitar tujuh hektar, Rainforest Wild Adventure East diinspirasikan oleh persekitaran Afro-tropika dan Madagascar.

Para pengunjung boleh menjangkakan gabungan pengalaman berinteraksi dengan hidupan liar dan tarikan berasaskan aktiviti. Ini termasuk pengalaman seperti Canopy Glider, Ravine Swing dan Split Rock Summit, struktur panjat setinggi 11 meter, serta Treetop Traverse, iaitu laluan yang memerlukan tali keselamatan sepanjang 125 meter merentasi kanopi hutan.

Tarikan lain turut membolehkan pengunjung untuk mendekati haiwan. Antaranya termasuk Primate Climb, yang membolehkan para pengunjung melihat monyet Diana di habitatnya.

Penambahan tersebut melengkapi pengalaman sedia ada di Rainforest Wild Adventure West, yang menampilkan laluan-laluan pengembaraan berunsur tinggi dan simulasi penerokaan gua.

Pengunjung juga boleh meneroka taman itu melalui jejak berjalan kaki dan trek hutan, di mana mereka boleh menemui pelbagai jenis hidupan liar.

Dalam kenyataan medianya, Mandai Wildlife Group menyatakan lebih banyak haiwan akan diperkenalkan dari semasa ke semasa, disokong oleh program-program pembiakan terkawal.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran awal tersebut, pemegang tiket akan mempunyai akses kepada aktiviti-aktiviti Adventure+ terpilih - sehingga sembilan aktiviti pada hari biasa dan sehingga lima aktiviti pada hujung minggu. Aktiviti tambahan boleh dibeli secara berasingan.

Bagi menandakan pembukaan itu, Mandai Wildlife Group turut bekerjasama dengan The Walt Disney Company Asia Tenggara untuk memperkenalkan 'pop-up' bertemakan National Geographic di kedua-dua kedai runcit zon 'East' dan 'West'.

Harga tiket bagi penduduk Singapura bermula daripada S$50 bagi dewasa, S$35 bagi kanak-kanak dan pelajar, serta S$25 bagi warga emas. Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi Mandai Wildlife Group.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita