Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Malaysia kesan 5 produk kosmetik ada racun berjadual

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kesan 5 produk kosmetik ada racun berjadual

Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia

Diterbitkan : 30 Sep 2024 11:23PM Dikemas Kini : 30 Sep 2024 11:31PM
KUALA LUMPUR Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak dibenarkan untuk dijual di negara itu.

KKM dalam kenyataan pada Isnin (30 Sep) memaklumkan produk berkenaan ialah Karisma Aqua Birds Nest yang mengandungi racun hidrokuinon manakala Skin Revolution - PAP - Blemish Control Serum dan Skin Revolution -PAP- Blemish Fade Cream masing-masing mengandungi clindamycin dan metronidazole. 

Turut disenarai ialah Ufora Daily Treatment 10g yang mengandungi racun betamethasone 17-valerate, sementara Dnars Gold Debalen Cream (Night) dikesan mengandungi racun hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia
“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, produk yang mengandungi hidrokuinon, clindamycin, metronidazole, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
 
Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia
Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hidrokuinon menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, manakala tretinoin menyebabkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Penggunaan clindamycin dan metronidazole memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan, sementara betamethasone 17-valerate mengakibatkan kulit menjadi nipis, iritasi serta berjerawat,” menurut kenyataan itu.
 
Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan