Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Malaysia catat lebih 20 juta pelancong antarabangsa tahun lepas

Seramai 20.1 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia sepanjang tahun lepas dengan jumlah pendapatan pelancongan sebanyak RM66.1 bilion (S$21.93 bilion) dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia catat lebih 20 juta pelancong antarabangsa tahun lepas

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Jan 2020 11:03AM Dikemas Kini : 24 Jan 2020 11:05AM

KUALA LUMPUR: Seramai 20.1 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia sepanjang tahun lepas dengan jumlah pendapatan pelancongan sebanyak RM66.1 bilion (S$21.93 bilion) dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September 2019.

Perkara itu digariskan dalam Laporan Pencapaian 2019 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diterajui Encik Mohamaddin Ketapi, hasil garapan pelbagai usaha kementerian itu dalam menjadikan negara destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia menjelang 2020.

Menurut laporan yang dimuat naik di portal rasmi kementerian itu baru-baru ini, 2019 turut menyaksikan Program Pengalaman Homestay Malaysia (Homestay) yang bertujuan memperkasa ekonomi luar bandar, merekodkan seramai 458,899 pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM29.7 juta (S$9.85 juta).

Selain itu, bagi kelompok Pelancongan Perniagaan, seramai 109,838 delegasi antarabangsa yang membawa anggaran impak ekonomi sebanyak RM1.8 bilion (S$0.60 bilion) dicatat menerusi program Pelancongan Perniagaan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCeB).

Turut digariskan dalam laporan itu adalah prestasi program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) yang merekodkan kutipan visa sebanyak RM14.1 juta (S$4.68 juta) sepanjang tahun lepas.

Sementara itu, prestasi kehadiran pelawat ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta acara dan premis kebudayaan bagi tahun lepas adalah 29.3 juta orang.

Jumlah itu bagi kunjungan pelawat ke Tapak Warisan Dunia UNESCO (19.8 juta), acara kebudayaan (1.6 juta) dan premis kebudayaan (7.9 juta).

Laporan itu turut menyebut sebanyak 1,809 aduan membabitkan pengusaha pelancongan, pemandu pelancong dan kenderaan persiaran direkodkan menerusi penguatkuasaan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).

Sepanjang 2019 juga pelbagai usaha pembangunan prasarana demi merapatkan jurang antara wilayah berjaya dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan di Burlington, Taman Kinabalu, Sabah; Hutan Paya Laut, Matang di Perak dan pemuliharaan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Selain itu, 2019 turut dihiasi berita gembira apabila Malaysia dianugerahkan pelbagai pengiktirafan di peringkat global antaranya sebagai destinasi nombor satu dalam 10 senarai teratas bagi Halal-Friendly Holiday Destination 2019 oleh Indeks Penarafan Pelancongan Muslim Global MasterCard-Crescent, nombor satu antara enam negara dengan penjagaan kesihatan terbaik di dunia serta penyenaraian seni mempertahankan diri silat di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity UNESCO.

Menurut laporan setebal 56 muka surat itu, pelbagai program peringkat antarabangsa turut berjaya dilaksanakan termasuk Sidang Kemuncak Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

Turut menjadi tumpuan pada tahun lepas adalah acara pelancongan dan kebudayaan seperti Hari Kraf Kebangsaan 2019, Pesta Angin Timur, Festival Balik Pulau 2019, Keretapi Sarong 2019 dan Festival Seni Hidup.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan