Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Malayan Council buka kedai Mamak's di Arab Street; jual Nasi Kandar dengan lauk seperti kari ketam S$6

Anggaran Waktu Membaca:
Malayan Council buka kedai Mamak's di Arab Street; jual Nasi Kandar dengan lauk seperti kari ketam S$6

Mamak's di 41 Arab Street. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp, The Malayan Council)

SINGAPURA: Siapa tidak tahu The Malayan Council? Restoran itu boleh dikatakan cukup popular sehinggakan empat cawangan dapat dibuka dalam tempoh kurang 10 tahun.

Pada Isnin (10 Jun) pula, Malayan Council secara rasmi membuka satu lagi 'cawangan' baharu di 41 Arab Street.

Konsep kedai makan itu bagaimanapun sangat berlainan daripada cawangan-cawangan Malayan Council yang lain.
Mamak's Nasi Kandar di 41 Arab Street. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Bukan makanan fusion yang ditawarkan tetapi nasi kandar, sup berempah Pulau Pinang dan bermacam-macam lagi makanan mamak seperti mee goreng, nasi beriani, thosai dan roti prata!

Kedai baharu dibuka Malayan Council itu dinamakan Mamak's.

'Vibe' atau suasana kedai juga persis kedai mamak Malaysia. Harga hidangan yang ditawarkan malah tidak jauh berbeza daripada harga menu kedai mamak lain.
Tingkat dua Mamak's Nasi Kandar di 41 Arab Street. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Nasi beriani Mamak's misalnya berharga S$8 sementara pratanya antara S$2 dengan S$6.50.
Menu Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: The Malayan Council)
Nasi kandar mereka pula (yang rasanya sehingga menjilat jari dengan bau karinya yang melekat!) boleh serendah S$6 jika anda pilih satu ikan atau ayam, telur dan sayur.
Menu Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: The Malayan Council)
Pendek kata, Mamak's adalah 'cabang' terbaharu Malayan Council yang menawarkan menu nasi kandar dan makanan mamak yang harganya 'boleh tahan'.

TIDAK BIMBANG SOAL PERSAINGAN

Menjelaskan kepada BERITA Mediacorp, pengurus acara Malayan Council, Dee, berkata Mamak's sebenarnya adalah hasil kerjasama pertama Malayan Council dengan kedai makan popular dari luar negara, iaitu Sup Haji Abu dan Nasi Kandar Jamal Mohamed.
Cawangan Nasi Kandar Jamal Mohamed di Malaysia. (Gambar: Nasi Kandar Jamal Mohamed Official Site/Facebook)
"(Pemilik Malayan Council) umumnya membawa kedua-dua (restoran) dari Malaysia itu lalu membuka seperti satu 'francais' di sini. Beliau melabur dalam syarikat-syarikat itu dan membawanya ke Singapura bersama seorang rakan niaga," jelas Cik Dee.

Sup Haji Abu dan Nasi Kandar Jamal Mohamed khususnya popular di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Malayan Council pula dibangunkan usahawan Singapura, Mohamad Hafiz Salim Alkhatib.
Sup Haji Abu di Jln Doraisamy, Kuala Lumpur. (Gambar: Jom Explore/Facebook)
"Jadi Malayan Council memang mengendalikan seluruh operasi Mamak's di Singapura. Resipi menu semuanya sama. Rempah-ratus pun dari Pulau Pinang," tambah Cik Dee.

Beliau juga ditanya sama ada pihak Malayan Council mempunyai sebarang kebimbangan berdepan persaingan, apatah lagi terdapat begitu ramai peniaga yang menjual nasi campur mamak di kawasan Kampong Gelam dan merata Singapura.
Bahagian pesan Nasi Kandar di Mamak's. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Ini jawapan spontan Cik Dee: "Kami tidak bimbang dari segi persaingan kerana apa yang kami tawarkan, terutama sekali Nasi Kandar kami, sepenuhnya asli dari Pulau Pinang."

Sebagai contoh, tambah Cik Dee, nasi yang dihidangkan bagi mereka yang mahu menikmati Nasi Kandar adalah nasi minyak, dan bukan nasi putih atau basmati biasa.
Nasi Kandar Mamak's. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
"Maka ia benar-benar berbeza daripada nasi campur biasa. Keaslian Nasi Kandar di sini berlainan daripada yang ditawarkan (di luar) sana," katanya lagi.

HIDANGAN YANG HARUS ANDA CUBA

Para penggemar Nasi Kandar pasti tahu kelazatan hidangan itu terletak pada gabungan kuah dan campuran rempah ratus yang cepat membangkitkan selera makan.
Di Mamak's, bagi kuah sahaja, ada sekitar lapan jenis berlainan yang ditawarkan. Ini termasuk kuah kurma, kari dan kicap.

Namun satu lauk yang tidak selalunya ditawarkan di kedai Nasi Kandar lain dan harus anda cuba di sana adalah kari ketamnya.
Kari ketam Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: The Malayan Council)
Manis ketamnya menyerap ke dalam kari yang pekat dan sudah cukup sedap untuk dinikmati dengan nasi dan telur sahaja. Harga bagi lauk itu baru S$6.00. Senang cakap... rugilah kalau tak cuba.

Ada juga sampingan udang masala, kerang dan sotong yang masing-masing berharga S$3.50 (5 ekor), S$4 dan antara S$5 hingga S$8. Harga telur ikan pula adalah S$3.
Lauk sotong dan telur ikan Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: The Malayan Council)
Hidangan kari, daging dan ayam semuanya ada tapi kalau anda mempunyai tekak dengan selera 'mahal', mungkin anda boleh memilih 'Lamb Shank' yang berharga S$15.
'Lamb Shank' Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: The Malayan Council)
Yang pasti, rasa hidangan ini dikatakan sama seperti yang asli oleh Nasi Kandar Jamal Mohamed di Pulau Pinang, yang sudah dikenali sejak tahun 1980-an.
Hidangan-hidangan lain yang ditawarkan Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: The Malayan Council)
Satu lagi adalah sup kambing 'Sup Haji Abu' yang sangat popular di Jalan Doraisamny Kuala Lumpur.

Ada pelanggan yang ke restoran di Kuala Lumpur itu menyifatkannya sebagai restoran 'legend' kerana sudah bertapak selama lebih 40 tahun.

Sup itu dihidangkan dengan roti dan boleh anda kongsi dengan dua atau tiga orang.
Sup daging Mamak's Nasi Kandar. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Bayangkan menikmati semua itu dengan secawan Teh Tarik atau Teh Halia... seperti di syurga! ðŸ˜‹ðŸ¤¤

Apa pun, kawasan Kampong Gelam kini mempunyai satu lagi tempat makan baharu yang boleh anda cuba. Dan kali ini, seluruh menu nasi kandar dan makanan mamak Malaysia dibawa ke sana.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan