Skip to main content

Gaya Hidup

Makanan terbaik bantu kekalkan tenaga ketika berpuasa

Anggaran Waktu Membaca:
Makanan terbaik bantu kekalkan tenaga ketika berpuasa
Berbuka puasa dengan kurma. (Gambar fail)
Diterbitkan : 08 Mar 2026 10:23PM
KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadat, tetapi titik mula baharu yang terbaik untuk tubuh, minda dan jiwa.

Kombinasi tempoh berpuasa yang panjang dan suhu persekitaran yang tinggi menuntut strategi pemakanan lebih bijak serta terancang.

Tenaga stabil bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan bagi memastikan mampu melaksanakan ibadat dengan sempurna, mengekalkan produktiviti di tempat kerja dan kekal fokus dalam rutin harian.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Muhammad Rezza Zainal Abidin berkata pemilihan makanan tinggi nutrien ketika sahur dan berbuka dapat membantu menstabilkan paras glukosa darah, memanjangkan rasa kenyang serta mengurangkan risiko keletihan mendadak 'sugar crash' yang sering dialami akibat pengambilan makanan manis secara berlebihan.

"Kurma, misalnya, bukan sahaja makanan sunnah ketika berbuka, malah mempunyai rasional pemakanan yang kukuh.

"Kurma mengandungi gula semula jadi seperti glukosa dan fruktosa mudah diserap tubuh untuk pemulihan tenaga segera.

"Selain itu, kandungan kalium dalam kurma bantu keseimbangan elektrolit, manakala seratnya menyokong fungsi penghadaman," katanya.

Dr Muhammad Rezza berkata, mengambil kurma bersama air kosong ketika berbuka adalah pendekatan yang lebih fisiologikal kerana ia membolehkan sistem pencernaan 'bangun' secara berperingkat selepas berehat panjang.

"Ketika sahur pula, pilihan karbohidrat kompleks seperti oat menjadi antara contoh makanan yang praktikal dan berkesan.

"Oat mengandungi beta-glukan iaitu sejenis serat larut yang membantu memperlahankan proses pengosongan gastrik serta penyerapan glukosa.

"Kesannya, tenaga dilepaskan secara lebih stabil dan berpanjangan. Vitamin B dalam bijirin penuh turut menyokong metabolisme tenaga, sekali gus membantu tubuh menukar makanan kepada tenaga dengan lebih cekap," katanya.

Katanya lagi, dalam erti kata lain, menu sahur mengandungi karbohidrat kompleks ibarat 'pelaburan tenaga' untuk tempoh puasa yang panjang.

"Protein juga tidak boleh diabaikan. Telur sumber protein lengkap mengandungi semua asid amino penting dan kolina yang menyokong fungsi otak.

"Pengambilan protein ketika sahur terbukti membantu meningkatkan rasa kenyang dan mengurangkan keinginan untuk mengambil snek secara berlebihan ketika berbuka.

"Gabungan protein dan karbohidrat kompleks adalah formula yang seimbang untuk kestabilan tenaga sepanjang hari.

"Selain itu, kacang dan bijian seperti badam serta walnut membekalkan asid lemak tak tepu, serat juga protein," katanya.

Dr Muhammad Rezza berkata, lemak sihat ini penting untuk kesihatan jantung, manakala serat membantu kesihatan usus yang sering terjejas akibat perubahan jadual makan sepanjang Ramadan.

"Dalam konteks gaya hidup moden yang aktif, snek berkhasiat ini boleh dijadikan sebagai makanan sahur atau hidangan tambahan untuk berbuka.

"Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna-warni pula memainkan peranan besar dalam aspek hidrasi serta pemulihan.

"Tembikai dan oren misalnya mempunyai kandungan air yang tinggi, sekali gus membantu menggantikan kehilangan cecair selepas seharian berpuasa," katanya.

Jelasnya, sayur-sayuran hijau seperti bayam dan brokoli kaya dengan zat besi, folat serta pelbagai antioksidan yang menyokong sistem imun juga pembentukan sel darah merah.

Beliau berkata, tenaga yang berkualiti bukan datang daripada kuantiti makanan semata-mata, tetapi daripada keseimbangan nutrien dan kecekapan tubuh memprosesnya.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita