Skip to main content

Gaya Hidup

Makanan laut gergasi tarik perhatian pengunjung Bazar Ramadan Taman Suria di JB

Anggaran Waktu Membaca:
Makanan laut gergasi tarik perhatian pengunjung Bazar Ramadan Taman Suria di JB
Suasana di di Bazar Ramadan Taman Suria di Johor Bahru. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 25 Feb 2026 12:32AM
JOHOR BAHRU: Kepulan asap dan aroma makanan laut bakar segar menjadi tarikan utama sebuah gerai di Bazar Ramadan Taman Suria apabila hidangan bersaiz gergasi dipamerkan dan dimasak secara langsung di hadapan pengunjung.

Pekerja gerai Muhammad Iskandar Abdullah, 23 tahun, berkata walaupun sudah memasuki tahun kelima berniaga pada Ramadan di lokasi itu, gerai Ikan Bakar No.1 JB mengekalkan konsep makanan laut bersaiz luar biasa sebagai tarikan utama.

Encik Muhammad Iskandar yang mewakili pemilik gerai berkata antara menu yang dijual termasuk kerang gergasi berukuran lebih 20 sentimeter sebesar tapak tangan, udang kara, ketam Alaska dan ketam nipah, udang galah serta pelbagai jenis ikan seperti pari, siakap dan cencaru kerana mendapat sambutan menggalakkan sejak mula berniaga di kawasan itu pada 2022.

“Kebanyakan pelanggan terkejut dan kagum apabila melihat sendiri saiz makanan laut yang dipamerkan, terutamanya kerang gergasi yang jarang ditemui di kebanyakan bazar Ramadan.

“Antara pilihan utama pelanggan ialah kerang bersaiz jumbo, ketam bakar dan ikan pari yang menjadi menu paling laris setiap hari. Alhamdulillah, sambutan tahun ini juga baik dan terdapat pelanggan tetap yang kembali membeli,” katanya ketika ditemui Bernama.

Encik Muhammad Iskandar berkata dari segi harga, pelbagai pilihan ditawarkan mengikut jenis dan saiz makanan laut, selain keenakan hidangan turut dipertingkatkan dengan penggunaan sos sambal istimewa berperisa pedas manis yang menjadi kegemaran pelanggan.

Encik Muhammad Iskandar berkata pemilik gerai Cik Salwa Mohd Yamin, 29 tahun, turut mengekalkan harga yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya serta menyediakan papan tanda harga lengkap bersama gambar ikan bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.

Beliau berkata pelanggan yang hadir terdiri daripada pengunjung tempatan serta luar negara termasuk dari Singapura.

Encik Muhammad Iskandar, ketika mengulas mengenai komen negatif berkaitan harga yang dianggap mahal, berkata mereka tidak patah semangat dan meneruskan perniagaan seperti biasa.

“Kami tidak boleh menghalang pandangan orang. Jika berlaku sebarang masalah seperti ikan atau makanan rosak, pelanggan boleh datang semula dengan bukti bergambar dan kami sedia untuk menukar atau membuat bayaran balik.

“Ada pelanggan yang sanggup membayar ratusan ringgit untuk menikmati hidangan makanan laut di sini manakala sebahagian lagi memilih menu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Encik Muhammad Iskandar berkata bagi memastikan kebersihan, semua ikan dan makanan laut akan dibasuh terlebih dahulu di belakang gerai sebelum dibawa ke hadapan untuk dijual kepada pelanggan.

Beliau yang berkongsi momen sepanjang berniaga di bazar Ramadan berkata lebihan makanan yang tidak habis dijual akan dikongsi bersama peniaga lain atau diberikan kepada orang ramai selepas waktu berbuka puasa, sekali gus mencerminkan semangat berkongsi rezeki dan mengelakkan pembaziran ketika Ramadan.
Sumber : Bernama/AY/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita