Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Makanan berlemak boleh tingkatkan sistem imun tubuh?

Makan makanan berlemak boleh membantu meningkatkan sistem imun tubuh?

Anggaran Waktu Membaca:
Makanan berlemak boleh tingkatkan sistem imun tubuh?

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 17 Jul 2021 10:07PM Dikemas Kini : 17 Jul 2021 10:11PM

KUALA LUMPUR: Makan makanan berlemak boleh membantu meningkatkan sistem imun tubuh?

Kenyataan itu mungkin boleh mewujudkan perdebatan banyak pihak kerana makan makanan berlemak sudah dilabelkan sebagai makanan tidak sihat.

Bagaimanapun, itulah faktanya dan lemak yang dimaksudkan ialah lemak sihat bukan lemak biasa.

Perunding Kanan Malaysia Brain Academy, Dr Rizal Abu Bakar berkata lemak sihat dapat meningkatkan sistem imun badan apabila berhadapan dengan patogen, sekali gus mengurangkan keradangan.

Menurutnya, keradangan adalah tindak balas biasa apabila tertekan atau berlaku luka.

"Tetapi keradangan yang kronik boleh memberi kesan buruk terhadap tubuh iaitu melemahkan sistem imun.

"Apabila sistem imun menurun, individu itu mudah terdedah kepada ancaman virus yang akan membahayakan kesihatan," katanya.

MINYAK KELAPA BOLEH BANTU TINGKAT IMUN

Menurut Dr Rizal, terdapat beberapa jenis makanan berlemak sihat yang boleh membantu meningkatkan sistem imun dengan mudah.

"Antaranya ialah minyak trigliserida rantaian sederhana (MCT) yang boleh ditemui secara semula jadi dalam minyak kelapa.

"Minyak MCT ini adalah sejenis lemak tepu bersifat antikeradangan dan akan membantu membaiki tubuh yang diserang keradangan," katanya.

Menurut Dr Rizal, MCT juga dikaitkan dapat merendahkan risiko terkena serangan jantung dan kencing manis.

"Saya sendiri suka minyak MCT dan mengambilnya setiap hari dengan mencampurkannya dalam air minuman.

"Saya minum air campuran minyak MCT sebelum melakukan aktiviti berjalan," katanya.

AMAL MAKAN HABBATUS SAUDA & BIJIRIN CHIA

Dr Rizal berkata alternatif lain lemak sihat ialah 'chia seeds'.

Ia adalah bijirin hitam yang kaya dengan fiber, omega 3, protein dan antioksidan.

"Chia seeds dikategorikan sebagai rangkaian pendek lemak.

"Lemak daripada omega 3 akan membantu menurunkan keradangan yang secara tidak langsung membaiki sistem imun tubuh.

"Cara mengambil chia seeds ialah direndam ke dalam air masak dan minum selepas bijinya kembang," katanya.

KHUSUS BUAT PENGGEMAR AVOKADO, COKLAT GELAP

Kata Dr Rizal, sumber lemak baik yang seterusnya ialah buah avokado.

Makanan 'superfood' itu kaya dengan lemak mono tidak tepu (MUFA).

"MUFA sangat baik untuk kesihatan jantung dan keperluannya penting bagi menaikkan sistem imun badan.

"Selain MUFA, juga ada lemak poli tidak tepu (PUFA) yang penting untuk merendahkan risiko angin ahmar, darah tinggi dan kolesterol," katanya.

Katanya, boleh juga mendapatkan sumber lemak baik daripada kacang walnut kerana ia kaya dengan omega 3.

"Manakala kacang badam pula tinggi kandungan vitamin E. Vitamin ini penting untuk mengurangkan keradangan dan meningkatkan sistem imun.

"Satu lagi, ramai tidak mengetahui bahawa coklat gelap mengandungi lemak sihat.

"Selain itu, ia turut mempunyai antioksidan tinggi yang membantu membaiki sistem imun dan mengurangkan keradangan," katanya. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan