Makanan Afrika Fufu sumber rezeki ibu tunggal ini
Cik Yuslihah Oshiafi bersama anaknya.
SINGAPURA: Kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya tidak boleh dibandingkan.
Begitu juga bagi Cik Yuslihah Oshiafi, 42 tahun, yang memutuskan untuk berhenti kerja demi meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anaknya.
"Saya pernah terfikir untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak, tetapi saya juga risaukan tentang nafkah untuk menyara mereka," kongsi Cik Yuslihah.
'Makan Cartel' ditubuhkan hampir sebulan lalu, dan kini ia menawarkan kira-kira lima jenis hidangan Afrika seperti 'jollof rice' dan 'Fufu'.
Hidangan paling popular dalam menu Makan Cartel, Fufu, yang kini tular di media sosial.
Makanan khas asal Afrika itu boleh dibuat menggunakan pelbagai bahan, termasuk ubi kayu, keladi, pisang tanduk dan kentang.
"Fufu ini seperti nasi untuk orang Melayu dan ia dimakan dengan pelbagai lauk," kata Cik Yuslihah.
Salah satu lauk yang beliau jual adalah 'egusi', yang diperbuat daripada biji tembikai, ikan dan daging.
Cik Yuslihah berkongsi bahawa beliau belajar cara memasak hidangan-hidangan itu daripada bekas suaminya, yang berasal dari Nigeria.
"Dia suka makan lauk Afrika sahaja. Dia jarang ingin makan lauk Melayu atau tempatan. Jadi saya terpaksa belajar untuk masak lauk Nigeria.
"Saya juga pergi ke Nigeria untuk jumpa keluarganya, yang mengajar saya bagaimana untuk masak lauk Nigeria dengan betul," katanya.
BERNIAGA SECARA KECIL-KECILAN DEMI SARA KELUARGA
Bidang memasak tidak asing bagi Cik Yuslihah, yang sering membantu ibunya berniaga.
" Kami sudah tahu cara-cara untuk memasak, serta saiz hidangan yang perlu disiapkan," katanya.
Malah, pengalamannya ketika bekerja sebagai pelayan di restoran membantunya dalam menubuhkan Makan Cartel.
Buat masa ini, beliau hanya mengambil lebih kurang 30 tempahan setiap minggu. Dengan rezekinya itu, Cik Yuslihah dapat menampung keluarganya.
Disebabkan bahan-bahannya yang ditempah dari luar negara, Cik Yuslihah terpaksa mengehadkan tempahan.
MASYARAKAT TEMPATAN TERBUKA CUBA MAKANAN AFRIKA
Teksturnya agak unik, seperti adunan kental berkanji dengan warnanya yang putih.
Fufu biasanya disajikan dengan sup atau lauk dan dimakan dengan cara mencubit sedikit, membentuknya menjadi bola, lalu mencelupkannya ke dalam kuah.
Rasanya cenderung tawar, sehingga sesuai dipadukan dengan berbagai macam hidangan berkuah.
Bentuk, tekstur dan cara pemakanannya yang unik menarik perhatian netizen kebelakangan ini dan menjadi tular di media sosial.
Cik Yuslihah turut sering memuat naik video memasak masakan Afrika di TikTok, sekali gus menarik perhatian pengikutnya yang meminta beliau untuk membuka tempahan.
"Ramai yang mengirimkan mesej meminta saya jual makanan tersebut," kata Cik Yuslihah.
"Biasanya Fufu tawar, ia bergantung kepada bahan yang digunakan. Jika gunakan pisang tanduk, ia rasa manis sedikit. Jika gunakan ubi kayu, ia rasa masam.
"Ia boleh dimakan dengan lauk seperti egusi, sejenis sup pekat campuran daging, tulang, urat keting dan perut lembu. Ada lauk lauk lain seperti 'efo riro', sejenis sayuran dan lagi satu lauk sup bendi, dan ogbono daripada biji mangga liar dan kadang kala pakai kacang", kongsi Cik Yuslihah lagi dengan wartawan Aqil Ezat.
Beliau bersyukur, masyarakat di sini terbuka untuk mencuba makanan baharu.
"Bila mereka cuba, ada yang cakap dengan saya mereka suka. Ada yang cakap macam pelik, mereka tak suka. Semua maklum balas ini saya terima aje," ujarnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.