Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Makan lebih banyak ikan baik untuk pesakit migrain?

Kerap alami sakit migrain? Ini satu diet yang disarankan pengkaji baru-baru ini untuk lengkapi rawatan ubat-ubatan...

Anggaran Waktu Membaca:
Makan lebih banyak ikan baik untuk pesakit migrain?

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 10 Aug 2021 11:28PM Dikemas Kini : 10 Aug 2021 11:32PM

CAROLINA UTARA: Sepanjang hidupnya, Cik Tanya Kamka mengalami sakit kepala migrain setiap minggu.

Sakitnya begitu teruk sehingga beliau muntah-muntah dan kadang kala digegaskan ke wad kecemasan, dan membuatnya rasa lemah buat beberapa hari.

Namun beberapa tahun lalu Cik Kamka dan 181 lagi orang yang kerap mengalami migrain menyertai ujian klinikal yang dibiayai Institut Kesihatan Nasional yang direka untuk menguji sama ada diet khas dapat meredakan sakit kepala yang kerap itu.

Bagi Cik Kamka, diet makanannya melibatkan sajian yang mengandungi banyak lemak asid omega, iaitu minyak yang didapati dalam beberapa jenis ikan. Pada masa yang sama, beliau harus membataskan makanan yang kaya dengan sumber asid lemak omega-6, seperti banyak minyak sayuran.

OMEGA-3 DAN OMEGA-6: APA BEZANYA?

Kedua-dua Omega-3 dan omega-6 dianggap sebagai asid lemak yang penting - penting untuk kesihatan, dan oleh kerana badan kita tidak dapat menghasilkannya, ia harus diperoleh dari makanan. Biasanya, manusia mengambil kedua-dua asid lemak itu dalam jumlah yang hampir sama.

Namun diet lazim seperti di Amerika Syarikat misalnya cenderung mengandungi lebih banyak lemak omega-6 berbanding omega-3. Sebilangan pihak berkuasa kesihatan menganggap ini sebagai suatu kebaikan: Minyak sayuran dan sumber lain yang kaya dengan lemak omega-6 didapati dalam banyak kajian bermanfaat untuk kesihatan kardiovaskular (jantung).

Namun sebilangan yang lain pula berpendapat ia mungkin bermasalah kerana lemak omega-6 terbukti dapat menyebabkan rasa sakit dan keradangan, sementara lemak omega-3 cenderung mempunyai kesan sebaliknya dalam kajian, membantu mengurangkan rasa sakit dan keradangan.

Para penulis kajian baru itu ingin tahu: Adakah diet yang menambah lemak omega-3 sambil mengurangkan lemak omega-6 boleh meredakan kesakitan bagi mereka yang sering mengalami migrain?

2 TAHUN TIDAK ALAMI MIGRAIN LAGI

Bagi Cik Kamka, manfaat perubahan dalam dietnya sangat ketara: Setelah beberapa bulan menambah pengambilan ikan dan mengelakkan banyak minyak sayuran yang biasa, beliau mendapati sakit kepalanya rata-rata sudah hilang. Peserta lain dalam kajian itu yang mengamalkan diet baru tersebut juga melaporkan kurang mengalami sakit kepala.

Meskipun percubaan itu sudah berakhir selepas 16 minggu, Cik Kamka tetap mengamalkan diet tersebut. Beliau kini tidak lagi makan makanan yang dimasak dalam minyak sayuran yang kaya dengan lemak omega-6 seperti ayam goreng, kentang goreng dan kerepek kentang.

Beliau kini memastikan makanan seperti ikan kod, tuna, sardin, salad bayam, hummus dan avokado. Malah, beliau memasak dengan menggunakan minyak zaitun dan bukannya minyak jagung, kacang soya dan kanola.

"Saya tidak mengalami migrain, bahkan migrain yang ringan pun, sejak lebih dari dua tahun," katanya. "Dahulu saya mengalaminya seminggu sekali kini tidak ada langsung, sangat mengagumkan bagi saya."

DIET BOLEH LENGKAPI RAWATAN UBAT-UBATAN

Kajian baru ini membuktikan bahawa diet yang betul dapat memberi kelegaan kepada mereka yang sering mengalami serangan migrain, membantu mereka mengurangkan kekerapan dan tahap sakit kepala mereka. Kajian serupa sedang dijalankan untuk menilai sama ada perubahan diet dapat membantu meringankan penyakit kronik yang lain, seperti sakit tulang belakang.

Dr Christopher E. Ramsden, penulis utama kajian itu, berkata penemuan tersebut membayangkan bahawa perubahan diet boleh menjadi pelengkap berguna untuk rawatan yang ada bagi sakit kronik.

"Ramai yang mengalami sakit kronik terus menderita walaupun setelah emakan ubat," kata Dr Ramsden, seorang penyelidik klinikal di Institut Nasional bagi Program Penyelidikan Penuaan Intramural. "Saya rasa ini adalah sesuatu yang dapat digandingkan dengan rawatan lain untuk meningkatkan mutu hidup mereka dan mengurangkan kesakitan mereka."

BAGAIMANA CARA UBAH DIET?

Bagi mereka yang ingin cuba mengubah diet sendiri, para penyelidik berkata cara paling mudah untuk meningkatkan pengambilan omega-3 adalah dengan makan lebih banyak ikan berlemak, seperti sardin, ikan bilis, ikan tenggiri, salmon, tuna albacore dan trout. Beberapa pilihan terbaik dan paling berpatutan adalah ikan dalam tin dan bungkusan.

Bagi mereka yang tidak makan daging, sumber lemak omega-3 yang baik adalah flaxseed atau biji rami, biji chia dan kacang walnut.

Satu lagi komponen penting dalam diet itu adalah mengelakkan makanan digoreng, makanan diproses dan makanan segera, yang biasanya dibuat dengan minyak yang rendah omega-3 dan tinggi omega-6. Beth BethInIntosh, pengarang bersama kajian baru itu, berkata bahawa minyak zaitun, minyak avokado, minyak macadamia, minyak kelapa dan mentega cenderung mengandungi jumlah lemak omega-6 yang rendah.

Anda boleh menggunakan minyak-minyak ini untuk memasak makanan atau membuat makanan ringan sendiri, seperti bertih jangung, hummus dan granola. Para pengkaji juga mengesyorkan orang-orang terlibat dalam kajian itu untuk makan sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

"Buah-buahan dan sayur-sayuran secara semula jadi rendah asid lemak omega-6 - dan ia sememangnya sihat," kata Cik MacIntosh, pengurus pemakanan klinikal Metabolic & Nutrition Research Core di UNC Health di Chapel Hill.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan