Skip to main content

Gaya Hidup

Makan hidangan sama setiap hari: Apakah manfaat dan risikonya?

Memakan sekurang-kurangnya satu hidangan sama setiap hari, amalan yang sering disebut sebagai “diet yang sama dan membosankan”, boleh dijadikan sebagai satu cara berkesan untuk memudahkan rutin, mengawal berat badan dan mengurangkan “kelesuan membuat keputusan” yang boleh timbul daripada keperluan merancang menu, membeli barangan dapur dan memasak.

Anggaran Waktu Membaca:
Makan hidangan sama setiap hari: Apakah manfaat dan risikonya?

Memakan hidangan yang sama setiap hari boleh memudahkan rutin dan membantu seseorang mengawal berat badan. (Gambar hiasan: Canva)

Diterbitkan : 24 Aug 2026 05:19PM
NEW YORK: Memakan sekurang-kurangnya satu hidangan sama setiap hari, amalan yang sering disebut sebagai “diet yang sama dan membosankan”, boleh dijadikan sebagai satu cara berkesan untuk memudahkan rutin, mengawal berat badan dan mengurangkan “kelesuan membuat keputusan” yang boleh timbul daripada keperluan merancang menu, membeli barangan dapur dan memasak.

Namun, amalan itu juga mempunyai kelemahan, termasuk risiko kekurangan zat pemakanan jika hidangan harian yang diambil kebanyakannya terdiri daripada makanan ultra-proses atau snek yang mempunyai kandungan lemak, garam atau gula yang tinggi, bukannya makanan yang sihat dan berkhasiat, menurut pakar pemakanan.

“Saya boleh fikirkan banyak perkara yang lebih buruk daripada memakan hidangan yang sama berulang kali, jika hidangan itu seimbang dan sihat,” kata seorang profesor emerita dalam bidang pemakanan, kajian makanan dan kesihatan awam di Universiti New York, Marion Nestle.

Menurut pakar pemakanan, hidangan “seimbang” mengandungi protein, karbohidrat dan lemak sihat, sekali gus menjadikannya “padat dengan nutrien”, kata pakar diet berdaftar di Cleveland Clinic, Julia Zumpano.

Sebagai contoh, sarapan harian berupa yogurt atau oat dengan buah-buahan segar adalah lebih sihat berbanding 'bacon', telur dan kentang goreng, kata Dr Donald Hensrud, Profesor Madya dalam bidang pemakanan dan perubatan pencegahan di Kolej Perubatan Mayo Clinic. Salad untuk makan tengah hari pula lebih baik berbanding sandwic 'ham' dengan roti putih.

Untuk makan malam, ayam atau ikan panggang bersama sayur-sayuran dan beras perang setiap malam lebih baik berbanding burger dan kentang goreng, kata Dr Hensrud.

Mengapa seseorang memilih untuk makan makanan yang sama setiap hari? Kadangkala, ia semata-mata kerana mereka menggemari makanan tersebut. “Mungkin sebabnya semudah itu,” kata Prof Nestle.

Ada juga yang mengamalkan pemakanan berulang sebagai cara untuk menurunkan atau mengawal berat badan. Satu kajian baru-baru ini oleh para penyelidik Universiti Drexel mendapati orang dewasa yang mengambil hidangan yang sama setiap hari susut lebih banyak berat badan dalam tempoh 12 minggu berbanding mereka yang mengamalkan diet yang lebih pelbagai.

Kelesuan membuat keputusan merupakan satu lagi faktor, “terutamanya jika anda merancang hidangan untuk orang lain,” kata Cik Zumpano.

Bagi memastikan pemakanan kekal sihat, sesetengah pakar menyarankan supaya hidangan dipelbagaikan sedikit. “Jika anda makan beri biru dengan yogurt pada waktu pagi, cuba strawberi atau pisang pada hari berikutnya, atau tambahkan oat atau kekacang,” kata Dr Hensrud.

Cik Zumpano menambah, jika anda sentiasa makan sandwic untuk makan tengah hari, “anda boleh mengekalkan konsep itu tetapi tetap mempelbagaikan pilihan”.

“Makan sandwic mentega kacang dan jem pada satu hari, kemudian sandwic keju panggang atau ayam belanda pada hari berikutnya,” kata beliau. Namun, elakkan daripada memakan makanan yang sama terlalu banyak kali kerana ia boleh menyebabkan pendedahan berlebihan kepada bahan berbahaya, seperti merkuri dalam ikan, atau pengambilan nutrien tertentu pada kadar yang dianggap tidak sihat.

Satu kajian pada 2022 menunjukkan bahawa sarapan merupakan hidangan yang paling cenderung diambil secara berulang. Ia biasanya lebih bersifat praktikal berbanding sosial, antara lain kerana orang ramai lazimnya perlu bergegas ke tempat kerja atau sekolah dan ia mudah untuk mengambil sarapan yang sama setiap hari, kata Profesor Pemasaran di Universiti Boston, Carey Morewedge, yang juga merupakan salah seorang daripada penulis kajian tersebut.

Prof Morewedge berkata sarapannya – minuman kisar yang mengandungi serbuk protein vanila, pisang, bayam dan avokado – tidak berubah sejak beberapa tahun lalu.

Prof Nestle berkata beliau juga mengambil sarapan yang sama setiap pagi: semangkuk bijirin gandum yang dicarik, satu sudu teh gula dan susu skim, bersama beri biru atau strawberi yang ditanamnya sendiri di lamannya. “Ia ringkas,” kata beliau. “Saya suka teksturnya. Ia rangup. Dan ia satu cara yang baik untuk memulakan hari.”
Sumber : New York Times/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita