Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Makan berpada-pada, jaga diet sepanjang Syawal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah dua minggu beraya, pasti masih ramai yang sibuk mengadakan atau menghadiri rumah terbuka pada hujung minggu.

Selain dapat bertemu dengan saudara mara dan rakan-rakan, Syawal juga merupakan bulan yang meriah dengan pelbagai jenis hidangan. 

Setiap kali berkunjung ke rumah terbuka, meja makan pasti dipenuhi dengan pelbagai hidangan dan juadah raya yang menyelerakan. Rasanya rugi kalau tidak mencuba sajian yang disediakan oleh tuan rumah. 

(Gambar: Vidal Belielo Jr/Pexels)

Tapi jika tidak mengawal selera pastinya berat badan juga boleh bertambah sepanjang sebulan beraya. Apatah lagi, kebanyakan sajian yang dihidangkan seperti rendang, ayam, ketupat dan kuih muih, semuanya mengandungi kalori yang tinggi. 

Namun, ia tidak bermakna anda tidak boleh menikmati jamuan raya yang menyelerakan itu. Apa sahaja yang dinikmati penting untuk menghadkan pengambilan secara sederhana. Syawal pastinya akan lebih bermakna jika anda bijak memilih makanan yang sihat.

SAJIAN SIHAT

(Gambar: Olga Lioncat/Pexels)

Sebagai tuan rumah, kita juga boleh memainkan peranan dengan memastikan makanan yang dihidangkan untuk rumah terbuka merangkumi hidangan yang sihat, kurang lemak dan minyak.  

Dalam sajian yang dihidangkan, memperbanyakkan bahan yang berunsurkan sayuran dan buah-buahan. Selain itu anda juga boleh menyediakan makanan utama yang sihat seperti sup berbanding  hidangan yang berlemak, gorengan dan kurangkan juga kandungan garam dalam masakan. 

Untuk minuman pula, selain yang berperisa dan bergas, pastikan juga untuk siapkan pilihan minuman air suam atau air kosong untuk tetamu. Jika menyediakan minuman panas seperti teh dan kopi, anda digalakkan untuk mengasingkan gula dan terpulanglah pada tetamu untuk mengambil sukatan yang diingini di dalam minuman masing-masing.

5 PERKARA BILA KE RUMAH TERBUKA

Hujung minggu ini pasti ramai yang sudah mempunyai jadual padat untuk memenuhi undangan rumah terbuka. Dari satu rumah ke satu rumah yang lain. 

Dalam keseronokan beraya, jangan lupa untuk menitikberatkan soal kesihatan dan pengambilan makan. 

SAIZ HIDANGAN

(Gambar: Jonathan Borba/Pexels)

Nikmati apa saja juadah. Tapi pastikan untuk memastikan saiz hidangan atau jumlah yang kecil. Elakkan daripada mengambil sesuatu sajian secara keterlaluan atau bertambah sehingga dua atau tiga kali kerana ia merupakan makanan kegemaran anda.

Apabila menikmati makanan dengan jumlah yang kecil, perut masih lagi mempunyai ruang untuk mencuba hidangan yang lain seperti kuih muih. Apa pun yang dinikmati, penting untuk mengawal selera dan berhenti sebelum kenyang atau perut senak.

PILIHAN MAKANAN

(Gambar: Rodnae Productions/Pexels)

Sajian yang rendah kalori seperti buah-buahan merupakan antara pencuci mulut yang baik untuk penghadaman dan kesihatan secara menyeluruh. Apabila menikmati hidangan utama seperti ketupat, rendang atau mi, pastikan untuk beri ruang kepada buah-buahan yang dapat membantu mengimbangi diet anda.

HADKAN SAJIAN BERLEMAK

(Gambar: Alina Klaf/Pexels)

Lauk pauk raya pastinya tidak lari daripada jenis yang berlemak dan berminyak seperti nasi beriani, rendang, ayam goreng dan sebagainya. Bayangkan jika setiap rumah menyajikan hidangan yang hampir sama dan anda pula jenis yang gemar menikmatinya. 

Apa yang anda boleh lakukan ialah untuk menghadkan pengambilan lauk pauk sedemikian. Walaupun rasanya enak menjilat jari, cuba elak daripada menambah berulang kali. Sebaliknya, ambil sukatan yang kecil dan berhenti sebelum kenyang.

MANISAN DAN GARAM

(Gambar: Matheus Bertelli/Pexels)

Rumah terbuka juga pastinya tidak akan lengkap tanpa pencuci mulut seperti kuih muih, kek dan minuman berperisa. Antaranya, cemilan-cemilan rangup yang tinggi dengan kandungan garam seperti kerepek kentang. Bagi yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya cuba elak untuk menikmatinya secara berlebihan. 

AIR KOSONG ATAU BERPERISA

Sekali sekala apa salahnya untuk menikmati minuman kordial atau minuman bergas. Tapi, penting untuk memastikan anda tidak berterusan membasahkan tekak dengan minuman manis dari rumah ke rumah.

Sebaliknya pastikan untuk mengimbangi pengambilan air kosong berbanding dengan minuman berperisa yang manis dan berkarbonat. Minuman sedemikian akan membuat anda mudah haus dan sekaligus tingkatkan lagi kadar gula dalam tubuh jika anda kerap menikmatinya. 

Sebagai alternatif, gantikan air bergas dengan minuman hangat seperti teh atau kopi-O kurang atau bebas gula. Tidak kira apa juga yang dinikmati semasa beraya, penting untuk menikmatinya secara sederhana, makan berpada-pada dan berhenti sebelum kenyang!

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan