Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mahu ubah elok rumah? Elak jadi mangsa penipuan, kenal pasti kontraktor yang meragukan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perasaan ghairah pasti dapat dirasakan oleh sesiapa sahaja yang mendapat kunci rumah baru. Apatah lagi jika ia merupakan hartanah pertama yang dimiliki. Tidak kira sama ada rumah baru dibina atau yang dibeli dari pasaran terbuka, sebagai pemiliknya anda akan rasa teruja dan tidak sabar untuk mengubah suai rumah impian mengikut citarasa dan konsep yang diingini.

Namun setelah memilih kontraktor dan membuat perbincangan, ada kalanya impian untuk melihat penampilan kediaman yang cantik tiba-tiba boleh kecundang dalam sesaat jika tanggungjawab yang diberikan kepada kontraktor tidak dipenuhi dengan jujur
Gambar hiasan: Pexels
Kes penipuan ubah elok rumah bukanlah sesuatu perkara yang baru. Bahkan sudah banyak kali dilaporkan dan dikongsi di akhbar serta laman media sosial. Contohnya, tipu helah dan kontraktor yang lenyap dengan wang pelanggan dan meninggalkan renovasi terbengkalai begitu sahaja tanpa sebarang berita.
Pastinya lebih menyayat hati apabila wang pendahaluan yang sudah dibayar beribu atau berpuluhan ribu dolar lesap begitu sahaja. Ada kalanya, scenario ini seringkali terjadi bila kerja sudah dimulakan dan terhenti secara mendadak separuh jalan.

Malah ada juga situasi dimana bayaran sudah dibuat 100 peratus dengan harapan semua benda atau barang sudah ditempah dan diperolehi, tapi tunggu punya tunggu, barang-barang yang dijanjikan tidak kunjung tiba dan kontraktor tidak dapat dihubungi.

Selain itu terdapat juga kontraktor yang tidak menuruti perjanjian. Lain yang dijanjikan, lain pula yang dibuat dan ada juga jenis yang kerjanya lembap sehingga berbulan-bulan tertangguh akibat tidak boleh habis atau tidak ada pekerja dan kemudian seperti silap mata, mereka lesap begitu sahaja.

Lantaran itu, sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat sesebuah kontraktor, penting untuk ketahui tentang latar belakang syarikat dan kerja-kerja ubah suai yang sudah dilakukan selama mereka beroperasi.

Usah mudah terpedaya dengan iklan yang menawarkan pakej renovasi yang harganya terlalu murah. Selain itu, usah membuat bayaran ubah suai sepenuhnya selagi renovasi belum selesai.

Pada masa yang sama jangan mudah untuk mempercayai 100 peratus kata-kata manis daripada syarikat yang menjanjikan potongan harga yang lumayan selain tawaran barangan secara percuma dan sebagainya.
Gambar hiasan: Pexels
Elakkan daripada membuat keputusan secara terburu-buru gara-gara tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru, selain termakan dengan kata-kata manis pakej ubah suai yang jauh lebih lebih murah dari yang lain-lain.

Sebelum memilih kontraktor, pastikan syarikat itu bertauliah, mempunyai rekod perniagaan yang baik dan yang lesen yang tarikhnya belum luput.

5 PERKARA PERLU PERTIMBANGKAN BILA PILIH KONTRAKTOR

1.Mendesak atau kelam kabut

Inilah antara jenis kontraktor ‘ekpres’. Pagi beri seburan harga dan selang beberapa jam akan mendesak dan bertanyakan sama ada anda jadi atau tidak untuk mengambil mereka sebagai kontraktor.

Inilah jenis kontraktor yang tidak akan beri peluang untuk pelanggan berfikir dan membuat keputusan kemudian. Mereka selalunya mendesak dan akan membuat pelanggan tersepit di tengah-tengah dengan kata-kata manis hingga membuat anda tiada pilihan tetapi untuk memilih khidmat mereka.

Adakalanya selepas wang pendahuluan diberi mereka akan terus senyap dan akan hubungi anda selepas berminggu-minggu kemudian. Carilah kontraktor yang rekodnya kerjanya baik selain etika yang profesional dan tidak mendesak.
Gambar hiasan: Pexels
2.Lesen

Penting untuk memastikan kontraktor pilihan adalah yang bertauliah dan mempunyai testimoni yang baik serta lesen yang tarikhnya belum luput. Namun demikian ada juga syarikat yang berlesen tetapi tidak mempunyai rekod yang baik.

Elakkan daripada membuat keputusan yang terburu-buru bila memilih kontraktor. Lihat hasil pertukangan mereka sama ada kerja-kerja yang dilakukan senonoh, teliti dan kemas.
 
Gambar hiasan: Pexels
3.Iklan

Jangan mudah terpedaya sepenuhnya dengan iklan di alam maya seperti Facebook, IG, Tik Tok dan juga risalah-risalah yang menawarkan pakej yang sangat murah selain pelbagai barangan percuma.

Ada kalanya bila melihat iklan gambar-gambar rumah yang sudah diubah suai cantik ia pasti akan membuat anda rasa tertawan. Tapi, usah terlalu percayakan 100 peratus. Periksa dan buat kajian terlebih dahuu.

Antaranya, anda boleh melihat sendiri kerja-kerja dan pertukangan di rumah-rumah yang sedang melalui renovasi oleh syarikat tersebut. Dari situ, bolehlah anda menilai prestasi kerja sesebuah kontraktor dan sebagainya.


4.Mudah dihubungi

Kadang kala terdapat ada juga jenis kontraktor yang menghilang diri setelah mengambil wang pendahaluan. Jika SMS atau mesej serta panggilan anda tidak berbalas, pastikan untuk bertindak cepat dan usah tangguh untuk mengambil tindakan seterusnya. Pastikan anda tidak diperdaya.

Jika panggilan atau SMS masih tidak dibalas selepas berhari-hari, mungkin sudah tiba masanya untuk anda membuat keputusan sama ada ingin terus berurusan dan mengambil khidmat mereka.


5.Resit rasmi

Apabila membuat wang pendahaluan atau sebarang bayaran, pastikan untuk dapatkan resit rasmi. Sebaik-baiknya kunjungi bilik pameran dan buat setiap bayaran secara bertentang mata dan dapatkan resit rasmi dengan tema dan syarat-syarat yang tertakluk kepada resit tersebut.

Yang penting elakkan daripada membuat bayaran penuh sebelum kerja-kerja ubah suai dimulakan dan pastikan kontraktor tidak mendesak meminta bayaran walaupun kerja-kerja belum dimulakan atau belum selesai sepenuhnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan