Mahu bercuti tapi risau siapa nak jaga kucing kesayangan? Hantar saja ke Catto Resort!
BERITAmediacorp: Pemilik kucing selalunya berasa dilema jika harus meninggalkan kucing kesayangan selama berhari-hari bila ingin ke luar negara.
Namun kini terdapat pelbagai alternatif untuk menempatkan si manja di hotel-hotel kucing yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di kota Singa.
Hotel kucing semakin popular dan mendapat sambutan oleh ramai pemilik kucing. Bukan saja menyediakan tempat penginapan yang selesa, ada juga yang dilengkapi dengan pakej grooming atau tatarias untuk kucing-kucing comel.
Terkini hotel kucing yang diberi nama Catto Resort baru saja membuka tirainya pada Julai 2022.
Ia diasaskan oleh dua orang anak Melayu, Hairulnizad Daut Shaw, 46 tahun dan Zairy Samat, 39 tahun. Dengan bermodalkan anggaran $18,000, hotel kucing yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Square di kawasan Geylang itu menawarkan pelbagai pakej penginapan kucing.
Seorang pencinta haiwan terutamanya kucing, Encik Hairulnizad berkongsi beliau sangat tertarik tentang penjagaan haiwan ini.
“Saya mempunyai tiga ekor kucing parsi. Salah seekor diberi nama Vanessa, berbulu pendek dan saya gelarkannya supervisor di Catto Resort kerana ia mudah berkawan dengan kucing-kucing lain yang dihantar untuk penginapan di sini,” Encik Hairulnizad memberitahu BERITAmediacorp.
Menurutnya lagi, hatinya terdetik untuk membuka Catto Resort setelah mendapati bahawa ia sukar untuk mencari hotel kucing yang dapat menyediakan tempat penginapan yang menyeluruh setiap kali beliau ingin bercuti ke luar negara.
“Ada yang khidmat dan aksesnya terhad. Contohnya, pelanggan perlu hantar kucing sendiri pada masa tertentu yang ditetapkan dan tidak fleksibel. Sebagai seorang pemilik kucing, saya faham kesukaran untuk menguruskan penjagaan kucing-kucing peliharaan bila ingin bercuti dan dari situlah tercetus idea untuk membuka Catto Resort," ujar beliau.
KESELESAAN TERJAMIN
Walaupun pertama kali meneroka bidang tersebut, Encik Hairulnizad memastikan hotel kucingnya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan yang penting dapat memberi keselesaan pada setiap kucing yang menginap di sana.

Setiap kabin atau tempat tidur kucing direka khas dan teliti agar kucing-kucing tidak berasa tertekan. Dari segi pemakanan juga, beliau memastikan sajian premium atau bermutu. Begitu juga dengan tempat kucing membuang air.
“Saya amat prihatin tentang kebersihan dan juga 'cat litter' agar tempat ini tidak mempunyai bau yang tidak disenangi. Saya juga seorang yang cerewet tentang kebersihan dan akan memastikan Catto Resort selesa untuk penginapan tetamu yang merupakan kucing-kucing kesayangan pelanggan.”
Encik Hairulnizad yang melibatkan diri dalam pelbagai acara-acara kucing sepanjang beberapa tahun yang lalu berkata, pengalaman yang dilalui banyak mengajar beliau tentang selok-belok penjagaan, diet dan tatarias kucing secara menyeluruh.
Lantas terdetik di hatinya untuk kongsi kepakaran dan pengetahuan yang ada dengan membuka hotel kucingnya sendiri.

KHIDMAT DAN PAKEJ
Seperti hotel-hotel kucing yang lain, Catto Resort menawarkan pelbagai pilihan pakej dengan harga yang sangat berpatutan.
Semuanya bergantung kepada pilihan pelanggan.
“Kami menawarkan pengangkutan dua hala percuma dan pelanggan bebas memilih waktu untuk 'check-in' dan 'check-out' untuk kucing kesayangan mereka.
“Harga kabin atau penginapan yang kami tawarkan menepati bajet pelanggan. Contohnya, penginapan seekor kucing di Cabana Superior hanya $20 semalaman. Sementara penginapan untuk dua ekor kucing dari rumah yang sama pula hanya $35 semalaman di Cabana Deluxe,” kongsi Encik Hairulnizad kepada BERITAmediacorp.
_1a57933f-4a50-41ad-9a7e-5533f122548a.jpg)
Bagi yang hanya ingin menghantar kucing untuk sesi tatarias seperti memotong kuku, membersihkan telinga, mandi dan sebagainya, terdapat khidmat yang menyeluruh dengan harga $65 untuk setiap ekor kucing. Apa juga pilihan pakej di hujung sesi, kucing anda pasti akan tampil bersih, wangi dan cantik.
_746f0f7e-5b1e-4327-a548-78c31f1c6b3f.jpg)
Menurut bekas ejen hartanah itu, beliau dan rakan kongsinya Zairy, bekerja rapat untuk memastikan khidmat yang terbaik di Catto Resort untuk setiap pelanggan.
“Zairy membantu dalam pemasaran di sosial media selain hal-hal penginapan kucing dan lain-lain. Buat masa ini saya sendiri yang melakukan kerja 'grooming' kucing-kucing yang ada. InsyaAllah, kami dalam proses untuk mengambil pekerja sambilan yang dapat membantu untuk melakukan 'grooming'.”
Walaupun usia Catto Resort baru sebulan, Encik Hairulnizad berharap ia dapat berkembang selain memastikan khidmat serta layanan yang terbaik dan sekaligus mendapat kepercayaan dari pelanggan.
“Pemilik kucing tidak perlu rasa risau lagi bila ingin keluar bercuti. Catto Resort akan memberi khidmat yang terbaik dan dapat membantu untuk menjaga kucing-kucing pelanggan dengan selamat,” kata Encik Hairulnizad mengakhiri bicara.

Alamat: Pavillion Square Shopping Mall, 345 Geylang Road S (389366).
Dibuka: 10.00 pagi – 5.00 petang. Kunjungan melalui temujanji.
Hubungi: Whatsapp 8235 5106 atau layari IG : @catto_resort
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.