Skip to main content

Gaya Hidup

Luth Azrin antara bayi Tahun Baru 2019

Sedang ramai rakyat Singapura meraikan Kiraan Detik Tahun Baru dengan meriah di merata Singapura, seorang ibu sedang menjalani detik-detik getir di wad bersalin pada pagi pertama tahun 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Luth Azrin antara bayi Tahun Baru 2019

Cik Siti Umairah dan Encik Muhd Azrin selamat menimang cahaya mata pertama mereka pada Tahun Baru. (Gambar: Muhd Azrin)

BERITAMediacorp: Sedang ramai rakyat Singapura meraikan Kiraan Detik Tahun Baru dengan meriah di merata Singapura, seorang ibu sedang menjalani detik-detik getir di wad bersalin pada pagi pertama tahun 2019.

Selepas menahan kesakitan selama 16 jam, Cik Siti Umairah Elias akhirnya selamat melahirkan bayi sulungnya, Luth Azrin, pada 6.51 pagi 1 Januari 2019 di Hospital Raffles.

Suami Cik Umairah, Encik Muhammad Azrin Mohd Nasir berkongsi rasa syukur beliau kepada BERITAmediacorp: "Alhamdulillah, hari yang kami nantikan akhirnya tiba. Inilah anak pertama kami selepas dua tahun berumah tangga."

DILAHIRKAN 2 HARI LEWAT

Encik Azrin juga memberitahu BERITAmediacorp Luth dilahirkan dua hari lewat, yang mana tarikh kelahiran beliau dijangka jatuh pada 30 Disember 2018.

Mereka yang mengambil khidmat pakar perbidanan Dr Jazlan Joosoph, malah akur kehadiran doktor tersebut banyak membantu mereka.

(Gambar: Ihsan Muhd Azrin)

"Proses labour (bersalin) itu tidak mudah kerana proses itu sangat panjang, dari 2.00 petang hingga 6.50 pagi.

"Tapi dengan bantuan jururawat dan Dr Jazlan, semua berjalan dengan lancar. Beliau banyak memberi kata-kata perangsang, tegas tetapi tidak memaksa. Beliau juga memberi sokongan dan selalu menyampaikan berita kepada ahli keluarga yang menunggu di luar," cerita Encik Azrin.

Luth, yang juga bayi pertama disambut Dr Jazlan hari ini, dilahirkan secara normal.

DR JAZLAN: KESERONOKANNYA BERLIPAT GANDA

Dr Jazlan, 47 tahun, yang sudah lebih 15 tahun bertugas sebagai pakar perbidanan dan sakit puan, turut berasa bangga dapat menyambut kelahiran bayi Tahun Baru kali ini.

"The feeling doesn’t get old (Tidak pernah rasa bosan). Saya sentiasa berasa gembira dan bangga sebab ia hari istimewa, hari bersejarah dan tarikh yang mudah diingat. Pasti keseronokannya berlipat ganda," ujar Dr Jazlan menyambut tiga bayi pada 1 Januari 2019 ini.

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

Dua tahun lalu, Dr Jazlan pernah menyambut sehingga enam bayi di Hospital Raffles.

TERLEPAS PERTUNJUKAN BUNGA API; PESAKIT TETAP KEUTAMAAN

Bagaimanapun beliau tidak sedikit mengeluh meskipun terpaksa bekerja sepanjang malam menjelang Tahun Baru.

"Setakat pengorbanan masa dan waktu tidur dan mungkin terlepas untuk menyaksi pertunjukan bunga api dan tidak berpeluang untuk berfotografi sebab saya minat dengan bidang fotografi. Namun sudah biasa dan sudah lumrah sebagai doktor perbidanan. Tidak menjadi masalah.

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

"Yang menjadi keutamaan adalah untuk menjaga para pesakit saya dan bayi mereka dengan sempurna, bukan hanya untuk menghindari dari sebarang kerumitan, malah juga untuk memastikan pengalaman yang manis," jelas beliau.

Ternyata, Dr Jazlan tidak menganggap bekerja pada hari cuti sebagai satu pengorbanan.

"Ia adalah tanggungjawab asas sebagai doktor perbidanan," kongsinya lagi.

BAYI PERTAMA LAHIR TEPAT TENGAH MALAM

Sementara itu, bayi pertama yang dilahirkan di Singapura pada 2019 muncul tepat pada 12.00 tengah malam, manakala yang kedua pula menyusul empat saat kemudian.

Bayi pertama 2019 (kiri) dan bayi kedua tahun ini.

Cik Tian Ning Ning, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng, melahirkan bayi perempuannya tepat bermulanya Tahun Baru.

Selepas lima jam menahan kesakitan, akhirnya bayinya lahir tepat pada tengah malam, dengan berat 2.7 kilogram di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak.

Bayi kedua pula ialah Reyes Neo yang dilahirkan di Hospital Mount Alvernia kepada ibu bapa kali pertama, Cik Lee Hui Ling dan Encik Neo Ching Liang.

Reyes yang lahir empat saat selepas tengah malam, disambut dua minggu lebih cepat daripada jadualnya.

Bayi Reyes turut menerima paket merah dan pelbagai hadiah daripada hospital berkenaan, termasuk sehelai selimut yang direka khas sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-200.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita