Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lemang meriam santapan pilihan warga Perak tatkala Ramadan, Syawal

Acap kali tibanya Ramadan dan Syawal, hidangan lemang pastinya tidak asing sebagai menu santapan bagi peminat juadah tersebut mahupun dihidangkan kepada tetamu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lemang meriam santapan pilihan warga Perak tatkala Ramadan, Syawal

Pengusaha lemang meriam, Muhmmad Hazlan Zainal Abidin, memeriksa lemang meriam yang dibakar ketika tinjauan di premis jualan lemangnya di Kampung Pasir Putih. (Gambar-gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 May 2021 03:35PM Dikemas Kini : 03 May 2021 01:28AM

IPOH: Acap kali tibanya Ramadan dan Syawal, hidangan lemang pastinya tidak asing sebagai menu santapan bagi peminat juadah tersebut mahupun dihidangkan kepada tetamu.

Lari daripada kebiasaan penyediaan lemang, seorang pengusaha tampil kreatif dengan menyiapkan lemang meriam atau lemang gergasi untuk warga bandar Ipoh dan sekitarnya sehinggakan mendapat permintaan tinggi walaupun pandemik COVID-19 sedang melanda.

Zainal Abidin Bakar, 55 tahun, berkata beliau menggunakan buluh sepanjang kira-kira 130 hingga 170 sentimeter (sm) sebanyak 30 hingga 50 batang bagi memikat pembeli di pasar tani serta bazar Ramadan di sekitar Ipoh dan Batu Gajah. 

(Gambar: BERNAMA)

"Lemang ini dipanggil lemang meriam kerana panjang buluh yang digunakan. Kadang-kadang ada buluh yang panjangnya 170sm sebab itu namanya lemang meriam. Ada juga yang panggil lemang gergasi," jelas beliau ketika ditemui Bernama semasa menyediakan lemang tersebut di Kampung Pasir Putih baru-baru ini.

Encik Zainal Abidin berkata setiap minggu, beliau akan mengambil 500 batang buluh di perkampungan Orang Asli di Pos Raya, Simpang Pulai, untuk memenuhi permintaan pelanggan di tiga bazar Ramadan iaitu di Medan Gopeng, Batu Gajah dan Stadium Perak.

Beliau, yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, berkata setiap batang buluh itu akan diisi sekilogram beras pulut. Bagi memastikan lemang tersebut masak sepenuhnya, ia mengambil kira-kira satu hingga satu jam setengah selain menggunakan api yang besar untuk membakar lemang. 

Jelas beliau lanjut, cabaran menyediakan lemang gergasi ini antara lain berkaitan dengan aspek penjagaan api yang memerlukan pemerhatian rapi dari segi fizikal dan mental untuk menyiapkannya.

(Gambar: BERNAMA)

"Apabila buluh panjang, ia jadi berat dan susah untuk dipusingkan kerana sudah diisi beras pulut dan santan sehingga penuh. Selain itu, api yang besar juga akan buat panas kadang-kadang sampai sakit kepala.

"Kalau lemang pendek biasa itu api tidak sebesar buluh panjang ini. Mungkin sebab saya sudah terbiasa dengan api marak jadi tidaklah terasa sangat bahang api," ujarnya.

Mengulas mengenai tempahan, beliau berkata rata-rata pelanggannya akan membuat pesanan lemang meriam bersama pakej rendang tok yang turut diusahakannya sekali, yang boleh dimakan sewaktu hari biasa, bulan Ramadan mahupun Syawal tidak lama lagi.

"Sejak berniaga di pasar tani dan bazar Ramadan, jualan sentiasa memberangsangkan dan habis dibeli. Malah, tempahan untuk kegunaan Syawal kini mencecah 200 batang. Mungkin kerana panjang buluh tersebut menjadi tarikan kepada para pembeli walaupun rasanya tetap sama dengan lemang bersaiz biasa," jelasnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan