Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Lelaki perut buncit berpeluang menangi hadiah wang tunai dalam peraduan ini

Pertandingan ratu cantik atau bina badan sudah menjadi perkara biasa di seluruh dunia tetapi kali ini, menariknya, mereka yang mempunyai perut buncit juga bakal diiktiraf.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki perut buncit berpeluang menangi hadiah wang tunai dalam peraduan ini

(Gambar hiasan: Pezibear/Pixabay)

Diterbitkan : 28 Oct 2019 11:59AM Dikemas Kini : 28 Oct 2019 12:00PM

KUALA LUMPUR: Pertandingan ratu cantik atau bina badan sudah menjadi perkara biasa di seluruh dunia tetapi kali ini, menariknya, mereka yang mempunyai perut buncit juga bakal diiktiraf.

Pada tanggal 1 Disember ini, satu peraduan yang lain daripada yang lain akan diadakan khusus buat kaum Adam. Ia disasarkan kepada lelaki-lelaki dengan saiz pinggang paling besar. Para peserta bakal berentap dalam satu peraduan yang dianjurkan di Kompleks Sukan Beaufort, Sabah.

Menurut Malay Mail, peraduan tersebut dibuka kepada golongan lelaki berpinggang besar yang berusia sekurang-kurangnya 30 tahun.

Pengerusi pihak penganjur, Encik Alex Soo, berkata idea di sebalik peraduan tersebut adalah untuk meraikan lelaki dengan perut buncit.

"Anda hanya ada peraduan yang menonjolkan rupa elok seseorang. Mengapa tidak bentuk badan?" soal beliau apabila diwawancara Malay Mail.

Encik Soo menambah wanita juga seharusnya berasa bangga andai pasangan mereka dinilai sebagai yang terbaik dalam pertandingan tersebut.

"Para peserta perlu menggayakan diri dan berjalan di atas pentas. Mereka kemudian akan dinilai oleh sepasukan juri dengan maklum balas oleh para penonton akan diambil kira dalam pertimbangan mereka," katanya kepada Malay Mail.

Terdapat permintaan untuk mengasingkan para peserta berdasarkan kategori berbeza namun Encik Soo berkata pihak penganjur tidak dapat menjangkakan bilangan peserta yang akan mendaftarkan diri memandangkan peraduan tersebut diadakan buat julung-julung kalinya.

"Jika ada sambutan memberangsangkan, kami akan mengadakan beberapa kategori tahun depan," tambah beliau.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM400 (S$130) manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan menerima hadiah RM300 (S$100) dan RM200 (S$65).

"Terdapat juga enam hadiah saguhati bernilai RM50 (S$16) setiap satu," tambah Encik Soo.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan