Lelaki ini bela 200 ekor arnab, antaranya spesies import dari luar negara
Melihat kelibat arnab jenis German Giant (GG) dan Flemish Giant (FG) milik Lim Chen Kong, 36 telah, ini pasti membuatkan sesiapa sahaja ingin memeluknya.
(Gambar: Harian Metro)
JOHOR BAHRU: Melihat kelibat arnab jenis German Giant (GG) dan Flemish Giant (FG) milik Lim Chen Kong, 36 telah, ini pasti membuatkan sesiapa sahaja ingin memeluknya.
Apa tidaknya, dengan saiznya yang besar dan berbulu lembut serta tebal, haiwan peliharaan itu dilihat tidak ubah seperti 'patung.'
Jadi tidak hairanlah, mengapa dua spesies arnab hiasan itu sering menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Menurut Encik Lim, dia mula memelihara arnab hiasan sebagai hobi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini untuk mengisi masa lapang.
Bermula dengan hanya beberapa ekor arnab, kini dia memiliki lebih 200 membabitkan 11 spesies termasuk GG, FG, English spot, English Angora dan Dwarf Papillon yang dipelihara berhampiran kediaman di Ulu Tiram, Johor.
"Kebanyakan arnab ini diimport dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Eropah dan Indonesia.
"Antara yang paling menarik perhatian ramai adalah GG dan FG kerana memiliki saiz yang besar yang boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram berbanding arnab hiasan lain," katanya kepada Harian Metro.
Berdasarkan pemerhatiannya, kedua-dua spesies arnab itu mempunyai bentuk fizikal dan perwatakan yang berbeza.
"Dari segi fizikal, GG memiliki badan lebih tegap, telinga tinggi dan berwajah lebih garang. Berbeza dengan FG, ia mempunyai badan berbentuk seperti buah avokado, telinga lebih pendek dan wajah lebih lembut.
"Arnab jenis GG mempunyai karakter lebih aktif dan lebih suka bermain berbanding FG. Bagaimanapun, FG memiliki imun yang lebih tinggi berbanding GG yang boleh mati secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya.
"Selain itu, FG mempunyai bulu lebih lebih lembut berbanding GG dan sesuai untuk menyertai pertandingan," katanya seperti dinukil Harian Metro.
Jelasnya, oleh kerana GG dan FG berasal dari luar negara, arnab spesies ini memerlukan penjagaan rapi dan teliti.
"Induk arnab spesies ini yang dibawa masuk dari luar negara sukar untuk membiasakan diri dengan keadaan cuaca di negara ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa pastikan suhu di sangkar sentiasa berada pada suhu yang sewajarnya.
"Sekiranya hujan, saya akan pasang lampu untuk tingkatkan suhu manakala sekiranya panas, saya akan semburkan air untuk memberi keselesaan kepada arnab," katanya.
Selain itu, pemakanan memainkan peranan penting bukan sahaja untuk tumbesaran malah untuk memastikan arnab sentiasa dalam keadaan sihat.
"Pemberian makanan tidak boleh terlalu dikawal apabila arnab boleh mula makan pada usia 22 hari sehingga usianya mencecah empat bulan supaya tumbesarannya tidak terganggu. Selepas empat bulan makanan boleh dikawal," katanya seperti dinukil Harian Metro.
Mengulas lanjut, keseronokan memiliki arnab sebagai haiwan peliharaan boleh membuatkan peminatnya leka melihat telatahnya.
"Jika mempunyai masa terluang, saya boleh meluangkan masa dengan arnab selama beberapa jam sehari. Kadang kala pukul 3.00 pagi baru saya balik ke rumah, itu pun masih teringatkan arnab.
"Biarpun arnab tidak aktif seperti kucing, namun ia tetap mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.