Legoland Malaysia Resort yakin kegiatan pelancongan akan kembali pulih
Legoland Malaysia Resort optimis dengan masa depan aktiviti pelancongan di Malaysia yang akan kembali pulih selepas terjejas akibat kemelut pandemik COVID-19, terutama apabila perjalanan merentas negeri dibenarkan semula baru-baru ini.
(Gambar: BERNAMA)
ISKANDAR PUTERI: Legoland Malaysia Resort optimis dengan masa depan aktiviti pelancongan di Malaysia yang akan kembali pulih selepas terjejas akibat kemelut pandemik COVID-19, terutama apabila perjalanan merentas negeri dibenarkan semula baru-baru ini.
Pengarah Bahagian CS Lim berkata pembukaan semula daya tarikan Legoland amat bermakna kepada perniagaan dan pekerjanya, namun begitu, keselamatan tetap menjadi keutamaan.
“Sambutan yang kami terima daripada orang ramai amat menggalakkan walaupun kapasiti terhad. Kami telah melihat sokongan menyeluruh daripada rakyat Malaysia, seperti pemegang pas tahunan, pelawat, kerajaan dan rakan kongsi kami.
“Sebahagian daripada tindak balas positif ini boleh dikaitkan dengan cara Legoland Malaysia Resort menyesuaikan diri dengan norma baru industri pelancongan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pengendali taman tema itu mengumumkan pembukaan semula secara penuh bermula 14 Okt dengan taman air mulai Rabu (27 Okt) termasuk hotel dan SEA Life Malaysia.
“Tetamu boleh menjangkakan beberapa peraturan di Legoland Malaysia Resort akan berbeza sedikit, dengan prosedur operasi standard (SOP) dipertingkatkan untuk memastikan resort itu mematuhi standard keselamatan tertinggi tanpa menjejaskan pengalaman bermain dan pembelajaran," jelas Lim.
Syarikat itu juga akan melaksanakan penutupan penyenggaraan mingguan (satu hari) untuk Taman Tema dan Taman Air Legoland, justeru, tetamu disarankan supaya menyemak hari operasi melalui laman web Legoland Malaysia Resort sebelum merancang perjalanan masing-masing.
Dalam pada itu, Lim berkata untuk memastikan tetamu mereka teruja untuk melawat Legoland Malaysia Resort dalam beberapa minggu akan datang, pakej pelancongan baru serta lanjutan tempoh sah pas tahunan turut disediakan.
“Selain daripada persiapan kesihatan dan keselamatan, tetamu akan dapat merasakan daya tarikan baru kami, Planet Legoland. Ia adalah pengalaman membina yang mengasyikkan yang menggalak kanak-kanak dan ibu bapa mereka untuk melepaskan imaginasi dengan membina, merungkai serta membina semula dunia impian menggunakan blok Lego," tambah beliau.
Melangkah ke hadapan, Lim berkata syarikatnya bercadang untuk memperkenalkan cara yang inovatif dan lebih banyak perkongsian bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Legoland Malaysia Resort, menggiatkan semula pelancongan di Johor sambil meningkatkan keyakinan untuk perjalanan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia Resort M. Thila berharap kerajaan dapat menyediakan insentif cukai dan pelepasan cukai untuk pemain industri pelancongan memulihkan industri tersebut selepas terjejas teruk akibat kesan COVID-19.
Beliau juga berharap kerajaan menerusi Bajet 2022 akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk mempromosikan pelancongan dalam usaha merancakkan pelancongan domestik.
"Tahun ini kami bergantung kepada pelancongan domestik dan Malaysia mempunyai banyak destinasi unik untuk ditawarkan," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.