Skip to main content

Gaya Hidup

LEGOLAND Malaysia bina semula ruang yang tampilkan SG jelang SG60

Anggaran Waktu Membaca:
LEGOLAND Malaysia bina semula ruang yang tampilkan SG jelang SG60

LEGOLAND Malaysia beri 'hadiah' istimewa buat SG sempena ulang tahunnya ke-60. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

ISKANDAR PUTERI: Kalau anda pernah ke LEGOLAND di Johor, anda pasti tahu tentang MINILAND, iaitu tempat di mana mercu tanda ikonik 17 negara Asia, termasuk Singapura, dibina semula menggunakan bongkah LEGO.

Menariknya, versi ‘mini’ Singapura di sana baru-baru ini diberi nafas baharu dan dilancarkan semula pada Jumaat (1 Ogos), hanya beberapa hari sebelum kota Singa menyambut ulang tahunnya yang ke-60. 

Related article image
MINILAND Singapore dirasmikan oleh (dari kiri) Naib Presiden Legoland Malaysia Resort CS Lim, Naib Konsul Kementerian Ehwal Luar Singapura Lim En Wei dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Johor, Nurazlin Abu Talib pada Jumaat lalu (1 Ogos). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Saya dan rakan sekerja, Syafeera Md Sofian, berpeluang menjadi antara yang pertama meninjau-ninjau MINILAND Singapore yang telah diperbaharui itu.

Tak sangka pula… melihat sendiri ‘hadiah’ ulang tahun dari LEGOLAND Malaysia untuk Singapura buat saya berasa terharu. Manakan tidak, sambutan SG60 bukan sahaja diraikan oleh rakyat Singapura, tetapi juga di seberang tambak.

Related article image
Wartawan Syazwani Sanep (kanan) dan Syafeera Md Sofian (kiri) berpeluang menjadi antara yang pertama meninjau-ninjau MINILAND Singapore yang telah diperbaharui.

MINILAND Singapore cukup realistik sehingga kami dapat merasakan seolah-olah masih berpijak di tanah air sendiri. Ada Taman di Pesisiran, Marina Bay Sands, Singapore Flyer... semuanya binaan LEGO yang baru siap dibina.

Menurut LEGOLAND, ini kali pertama MINILAND Singapore diberi nafas baharu sejak ia dibuka pada 2012.

Berikut 5 perkara menarik tentang MINILAND SG yang benar-benar buat saya kagum:

1. MARINA BAY SANDS MODEL TERTINGGI DI MINILAND 

Diperbuat rapi menggunakan batu bata LEGO, beberapa struktur ikonik Singapura, termasuk Singapore Flyer dan Jambatan Helix, kini dipamerkan di MINILAND SG yang 'baharu'.

Tidak ketinggalan, bangunan Marina Bay Sands yang berdiri setinggi 4 meter, sekali gus menjadikannya model tertinggi di MINILAND setakat ini.

Related article image
Pertunjukan pancuran air diiringi muzik di hadapan Marina Bay Sands sebenar, turut dipersembahkan di MINILAND Singapore. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Pertunjukan pancuran air diiringi muzik, yang seringkali menjadi tarikan bagi pelawat Marina Bay Sands sebenar setiap malam, turut dipersembahkan di sana.

Bukan itu sahaja... Roda Singapore Flyer setinggi 3.4 meter yang dibina juga boleh berpusing!

Related article image
Roda Singapore Flyer setinggi 3.4 meter yang dibina juga boleh berpusing. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

2. LEBIH 1,600 MINILANDERS HIDUPKAN SUASANA HIRUK-PIKUK SG

Sebanyak 1,600 Minilander (figura kecil LEGO menyerupai manusia) ‘dikerahkan’ ke MINILAND Singapore untuk menghidupkan suasana kehidupan seharian negara ini.

Related article image
Sebanyak 1,600 Minilander (figura kecil LEGO menyerupai manusia) ‘dikerahkan’ ke MINILAND Singapore untuk menghidupkan suasana kehidupan seharian negara ini. Antaranya yang dipaparkan termasuk kegiatan menonton wayang terbuka (kiri) dan melihat pelancong menaiki bas merah dua tingkat (kanan). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Butirannya sangat teliti dan "spot-on", seolah-olah anda sendiri berada di sana. Antara yang dipaparkan:

  • Menonton wayang terbuka
  • Membeli aiskrim potong
  • Menghadiri konsert
  • Melihat pelancong menaiki bas merah dua tingkat
  • Menggunakan khidmat kongsi kereta elektrik BlueSG

Setiap satu mencerminkan kehidupan bandar Singapura yang dinamik dan berwarna-warni. 

3.  PANCURAN AIR MERLION ANTARA CIRI INTERAKTIF PELBAGAI DERIA

MINILAND SG juga memperkenalkan elemen interaktif. Dari sekadar menekan butang, pengunjung kini boleh ‘memancutkan’ air dari mulut Merlion!

Ini pasti antara yang menjadi kegemaran si cilik!

Related article image
Dari sekadar menekan butang, pengunjung kini boleh ‘memancutkan’ air dari mulut Merlion. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Melihat gelagat kanak-kanak yang beraksi dengan ‘Merlion’ itu, saya sendiri tidak kering gusi. Ada juga Minilander yang ‘basah kuyup’ dek pancutan air tersebut!

Bagi yang suka bersaing, anda boleh cuba permainan “One-Table-Left Race”, di mana dua keluarga LEGO berlumba untuk “chope” meja terakhir di sebuah pesta makanan.

Jelas sekali, ini gambaran nyata budaya unik Singapura. Siapa lagi yang suka "chope" atau letak paket tisu atas meja tempat awam, kalau bukan kita? Hehe...

4. SEJARAH PEMBANGUNAN SG DISULAM DALAM PAMERAN 

Menariknya, walaupun versi ‘mini’ Singapura sama moden seperti keadaan sekarang, MINILAND turut menyelitkan pelbagai kisah sejarah pembangunan negara.

Related article image
Tugu Sir Stamford Raffles ditampilkan di MINILAND Singapore. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Saya agak terkejut melihat tugu Sir Stamford Raffles, sosok penting dalam sejarah Singapura, serta bangunan bersejarah seperti Boat Quay, yang suatu ketika dahulu menjadi nadi perdagangan maritim negara.
Related article image
Boat Quay, yang suatu ketika dahulu menjadi nadi perdagangan maritim negara disertakan di MINILAND Singapore. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Suasana di pusat penjaja turut dipamerkan, menonjolkan satu lagi aspek penting dalam warisan budaya Singapura yang diiktiraf UNESCO.
Related article image
Suasana di pusat penjaja turut dipamerkan di MINILAND Singapore, menonjolkan satu lagi aspek penting dalam warisan budaya Singapura yang diiktiraf UNESCO. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

5. LEBIH 1.5 JUTA BATU BATA LEGO DIGUNAKAN, AMBIL MASA 16,000 JAM!

Melihat betapa luasnya MINILAND Singapore, saya sukar membayangkan usaha dan tenaga yang dilaburkan untuk membangunkannya.

Namun Legoland Malaysia menjelaskan bahawa projek naik taraf ini melibatkan lebih 1.5 juta batu bata LEGO dan mengambil masa 16,000 jam untuk disiapkan.

Ini kemudian membuat saya tertanya-tanya, apakah kepentingan MINILAND Singapore bagi LEGO Malaysia sehingga mereka sanggup melaburkan begitu banyak tenaga dan wang untuk memberi penghormatan kepada Singapura?

Related article image
Pengarah Penjualan dan Pemasaran LEGOLAND Malaysia Resort, Cik Thila Munusamy ketika ditemui BERITA Mediacorp di majlis pelancaran MINILAND Singapore, di Legoland Malaysia pada Jumaat (1 Ogos). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Menjawab pertanyaan saya, Pengarah Penjualan dan Pemasaran LEGOLAND Malaysia Resort, Cik Thila Munusamy berkata:

"Berdasarkan geografi, (Johor dan Singapura) memang sangat dekat. Singapura adalah salah satu destinasi utama di rantau ini. Singapura mempunyai kepelbagaian budaya serta struktur unik... Sudah tiba masanya kami membayangkan semula MINILAND Singapore, ikut rupa latar langit Singapura pada masa sekarang."

Cik Thila turut menarik perhatian bahawa pelancaran MINILAND Singapore berwajah baharu itu, sejajar dengan kempen Visit Johor Year 2026 (VJY 2026).

Legoland Malaysia giat memperhebat usaha menarik lebih ramai pelancong dalam tahun-tahun akan datang, di tengah pesatnya perkembangan rentas sempadan menerusi Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

Yang pasti, MINILAND Singapore bukan sahaja menarik buat kanak-kanak, malah mampu memikat dan membuat pengunjung dewasa seperti saya berasa seronok.

Related article image
Wartawan Syafeera Md Sofian dan Syazwani Sanep bergambar di hadapan MINILAND Singapore. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

TAWARAN EKSKLUSIF SG60 LEGOLAND MALAYSIA!

Di samping melancarkan MINILAND Singapore, LEGOLAND Malaysia turut menyajikan tawaran istimewa buat rakyat Singapura sempena SG60. 

Anda boleh menjimat sehingga S$60 apabila anda beli 3 atau lebih pas tahunan untuk mengunjungi kesemua:

  • Taman Tema LEGOLAND Malaysia 
  • Taman Tema Air LEGOLAND Malaysia 
  • SEA LIFE

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menyusuri laman ini. Anda boleh menikmati tawaran itu sehingga 15 Ogos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita