Skip to main content

Gaya Hidup

LEGOLAND diiktiraf Pusat Austisme Bertauliah pertama di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
LEGOLAND diiktiraf Pusat Austisme Bertauliah pertama di Malaysia

LEGOLAND Malaysia Resort menyediakan pengalaman mesra pengunjung untuk semua peringkat usia. (Gambar: LEGOLAND Malaysia Resort)

Diterbitkan : 26 Feb 2025 11:49PM Dikemas Kini : 26 Feb 2025 11:54PM
SINGAPURA: LEGOLAND Malaysia Resort kini diiktiraf sebagai Pusat Austisme Bertauliah (CAC) pertama di Malaysia.

Ini merupakan satu pencapaian besar dan langkah penting dalam mempertingkat kemudahan akses dan amalan-amalan inklusif di daya tarikan dan taman bertema di Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen resort tersebut untuk menyediakan pengalaman yang mesra pengunjung untuk semua.

Demikian diumumkan oleh Lembaga Antarabangsa Pensijilan dan Piawaian Pendidikan Berterusan (IBCCES) pada Rabu (26 Feb).

CAC dianugerahkan kepada pertubuhan-pertubuhan yang sudah selesai menjalani latihan kesedaran autisme dan deria serta menerima pentauliahan bagi kakitangan barisan hadapan, selain syarat-syarat lain, termasuk audit di lokasi.

"Diiktiraf sebagai Pusat Autisme Bertauliah adalah pencapaian bermakna bagi kami dan kami bangga meraih prestasi cemerlang ini," kata Naib Presiden LEGOLAND Malaysia Resort, CS Lim.

"LEGOLAND Malaysia sentiasa fokus untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang seronok dan manis untuk dikenang bagi kanak-kanak dan keluarga dari pelbagai latar belakang.

"Sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia, kami komited untuk mengorak langkah mewujudkan persekitaran yang mudah diakses dan fleksibel, yang akan memenuhi keperluan rencam pengunjung kami. Kami akan terus memainkan peranan untuk menjadikan taman ini inklusif dan mesra pengunjung," kata beliau.
Related article image
LEGOLAND Malaysia Resort menyediakan pengalaman mesra pengunjung untuk semua peringkat usia. (Gambar: LEGOLAND Malaysia Resort)
APA YANG DITAWARKAN?

Untuk mereka yang memerlukan askes mudah, laman LEGOLAND Malaysia kini turut menyediakan panduan tentang rasa, bunyi, dan lain-lain untuk setiap tempat menarik. Panduan ini ringkas dan ada juga yang lebih terperinci.

Ini membolehkan pengunjung mengetahui terlebih dahulu bagaimana rasanya apabila menaiki setiap permainan atau mengunjungi satu-satu kawasan sebelum mereka datang ke taman tema itu. Ini sekali gus membantu keluarga lebih bersedia supaya lawatan mereka selesa dan seronok.

Papan panduan deria juga dipasang di semua lokasi permainan dalam teman tema itu.

Lebih banyak kemas kini dan peningkatan akan diumumkan kelak apabila ia dilaksanakan.

LATIHAN DAN PENTAULIAHAN IBBCES

Dengan 1 daripada setiap 100 kanak-kanak di dunia mengalami autisme, banyak keluarga berdepan kesukaran untuk mencari kegiatan-kegiatan sesuai di mana insan yang mereka sayang itu boleh berasa selesa dan diterima.

Pengalaman di luar rumah seringkali mencabar disebabkan kakitangan yang tidak terlatih, persekitaran yang tidak selesa dan kurangnya maklumat tentang kesedaran deria selain kegiatan mesra deria.

Untuk menangani keperluan penting ini, IBBCES menawarkan latihan khusus dan program-program pentauliahan yang direka bagi daya tarikan, hotel, taman haiwan, akuarium dan lokasi rekreasi lain.

Program-program ini menawarkan pengetahuan penting tentang autisme, strategi komunikasi berkesan dan amalan-amalan terbaik untuk mewujudkan pengalaman positif.

Ia dibangunkan dengan mengambil kira pandangan dan saranan pakar dalam industri, individu autistik. Lantaran itu latihan tersebut melengkapkan pesertanya dengan kemahiran yang dapat memastikan lawatan parta pengunjung bermakna dan indah.

Pentauliahan tersebut termasuk pendidikan berterusan, sokongan daripada IBCCES, dan pembaharuan berkala untuk menjaga standard.

LEGOLAND Malaysia Resort pertama kali dibuka pada 15 September 2012 dan merupakan taman tema Legoland terbesar di Asia.

Dengan lebih 40 permainan dan tarikan di tanah seluas 73 ekar di Johor, ia menawarkan pelbagai pengalaman untuk pengunjung pelbagai peringkat usia.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita